Terkini
Harga lantai belian padi dinaikkan kepada RM1,500

- Berkuatkuasa Ahad ini.
- Penguatkuasaan diumumkan Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu dalam Sesi Penerangan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
- Penyelarasan harga lantai belian padi itu dapat membantu pesawah serap kenaikan kos pengeluaran padi dan seterusnya menambah pendapatan mereka.
- “Hari ini, bukan sahaja pesawah mendapat berita gembira tetapi pengguna juga turut lega apabila harga jualan maksima Beras Putih Tempatan (BPT) kekal RM2.60 sekilogram,” katanya.
KUALA LUMPUR — Kerajaan bersetuju menaikkan harga lantai belian padi daripada RM1,300 kepada RM1,500 per metrik tan berkuatkuasa Ahad ini.
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam kenyataan media berkata, perkara itu telah diumumkan Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu dalam Sesi Penerangan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
KPM berkata penyelarasan harga lantai belian padi itu dapat membantu para pesawah menyerap kenaikan kos pengeluaran padi dan seterusnya menambah pendapatan mereka.
“Hari ini, bukan sahaja pesawah mendapat berita gembira tetapi pengguna juga turut lega apabila harga jualan maksima Beras Putih Tempatan (BPT) kekal RM2.60 sekilogram.
“Bagi mengekalkan harga jualan BPT, Kerajaan MADANI akan memperuntukkan sekitar RM150 juta kepada pengilang padi untuk tempoh 6 bulan pertama tahun ini.
“Melalui inisiatif ini, 24 juta kampit BPT berat 10 kilogram (RM26.00) akan mula berada di pasaran secara berperingkat dalam tempoh 6 bulan pertama tahun ini,” kata KPKM.
Kementerian itu juga berkata pengumuman berkenaan diharapkan dapat memberikan solusi ’menang-menang’ kepada pesawah, pengilang dan pengguna.
Menurut BERNAMA, pada 2023, kerajaan menaikkan harga lantai belian padi kepada RM1,300 per metrik tan daripada RM1,200 per metrik tan sejak 2014.
Bagaimanapun, Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH) baru-baru ini mahu kerajaan mempertimbangkan cadangan pertubuhan itu untuk menaikkan harga lantai padi daripada RM1,300 per metrik tan kepada RM1,800 per metrik tan.
Pengerusi PeSAWAH, Abdul Rashid Yob dilaporkan berkata hal itu merupakan antara dua usul yang disenaraikan dalam satu memorandum yang diserahkan kepada Pejabat Perdana Menteri (PMO) pada 27 Januari 2025.
Beliau berkata tuntutan oleh pesawah di seluruh negara itu dilihat munasabah memandangkan harga lantai ketika ini sudah tidak relevan berikutan kenaikan kos diesel dan benih padi, maka kenaikan harga padi itu penting bagi memastikan kelangsungan hidup pesawah dan menjamin bekalan makanan negara. — The Merdeka Times
