Connect with us

Politik

DAPSY bantah garis panduan Muslim hadiri majlis bukan Islam

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Foto: Ketua DAPSY, Woo Kah Leong
  • Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) tidak bersetuju cadangan mewujudkan garis panduan khusus berkaitan penglibatan orang Islam dalam majlis sambutan perayaan, upacara kematian, kunjungan dan penganjuran majlis di rumah ibadat selain Islam.
  • Ketua DAPSY, Woo Kah Leong menyifatkan garis panduan itu menyekat usaha pemahaman antara satu sama lain dan hanya akan menatijahkan jurang lebih besar antara masyarakat Islam dan bukan Islam.
  • “Undang-undang sedia ada, protokol serta persefahaman sosial sedia ada memadai untuk mengekalkan interaksi yang baik antara masyarakat berbilang kaum dan agama,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Rabu.

KUALA LUMPUR — Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) tidak bersetuju dengan cadangan mewujudkan garis panduan khusus berkaitan penglibatan orang Islam dalam majlis sambutan perayaan, upacara kematian, kunjungan dan penganjuran majlis di rumah ibadat selain Islam.

Ketua DAPSY, Woo Kah Leong menyifatkan garis panduan itu secara tidak langsung menyekat usaha pemahaman antara satu sama lain dan hanya akan menatijahkan jurang lebih besar antara masyarakat Islam dan bukan Islam di negara ini.

Kah Leong yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Bedamar, menegaskan bahawa garis panduan seperti itu juga tidak diperlukan kerana ia hanya akan menambah karenah birokrasi yang membebankan penganjur yang ikhlas dalam mengadakan aktiviti kebudayaan dan perpaduan untuk mengeratkan hubungan silaturahim antara rakyat pelbagai bangsa dan agama.

Pelaksanaan garis panduan sedemikian juga dikatakan akan mengurangkan peluang bagi masyarakat yang berasal daripada latar belakang berbeza untuk saling memahami budaya antara satu sama lain, sekali gus menjarakkan hubungan antara pelbagai kaum di Malaysia.

“DAPSY dengan tegasnya menyeru pihak berkenaan untuk mengekalkan status quo dan membatalkan pelaksanaan garis panduan tersebut.

“Sebaliknya lebih banyak program kebudayaan yang melibatkan pelbagai kaum dan agama perlu dianjurkan bagi menggalakkan rakyat memahami serta menghormati perbezaan budaya masing-masing… Melalui interaksi yang terbuka dan ikhlas, barulah hubungan silaturahim antara masyarakat dapat terus diperkukuhkan demi menjamin keharmonian serta perpaduan negara.

“Di sini, DAPSY menegaskan bahawa tidak ada keperluan untuk memperkenalkan garis panduan baru undang-undang sedia ada, protokol serta persefahaman sosial yang telah terbentuk selama ini sudah memadai untuk mengekalkan interaksi yang baik antara masyarakat berbilang kaum dan agama,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Rabu.

Foto: Tangkap layar hantaran Facebook Woo Kah Leong.

Sebelum ini, Menteri Agama, Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dilaporkan berkata JAKIM kini sedang memuktamadkan satu garis panduan mengenai penglibatan orang Islam dalam sambutan perayaan agama lain, yang merangkumi penglibatan orang Islam dalam majlis sambutan perayaan dan upacara kematian orang bukan Islam serta kunjungan dan penganjuran majlis di rumah ibadat bukan Islam.

Garis panduan itu dilapor akan dimuktamadkan oleh Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) Kali ke-126 yang dijadualkan pada 25 hingga 27 Februari ini.

Mengulas lanjut, Kah Leong berkata sejak kemerdekaan, masyarakat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai agama, kaum dan budaya tidak pernah timbulnya apa-apa isu ekoran kehadiran dan penglibatan kaum mana-mana pun dalam perayaan dan upacara sebegini.

Katanya, DAPSY percaya bahawa rakyat Malaysia, sama ada Muslim atau bukan Muslim, mempunyai kebijaksanaan dan kematangan untuk berinteraksi secara harmoni tanpa perlu campur tangan berbentuk garis panduan tambahan daripada mana-mana pihak berkuasa.

“Selama ini, wakil rakyat dan pemimpin masyarakat sering hadir dalam majlis perayaan pelbagai kaum dan tujuannya bukan untuk beribadah tetapi untuk berdialog dengan komuniti masyarakat yang berbeza demi mengukuhkan perpaduan nasional,” katanya.

Menurut beliau, program yang berlangsung di rumah ibadat bukan Islam bukan sahaja tidak menggugat kepercayaan agama mana-mana pihak, malah menunjukkan nilai keharmonian dan kebersamaan dalam kalangan rakyat yang memiliki latar belakang yang heterogen (kepelbagaian). — The Merdeka Times

Author