Antarabangsa
Arab Saudi komited sokong Syria – Al-Sharaa

- Lawatan Presiden sementara Syria, Ahmad al-Sharaa ke Arab Saudi itu boleh memberi isyarat strategi kerajaannya untuk menjauhi pengaruh Iran.
- Pemimpin yang digulingkan Bashar Assad disokong oleh Tehran.
Presiden sementara Syria, Ahmad al-Sharaa, mendarat di Arab Saudi pada Ahad untuk lawatan antarabangsa pertamanya sejak kumpulan pemberontaknya menggulingkan bekas Presiden Bashar al-Assad pada Disember.
Selepas bertemu Putera Mahkota Mohammed bin Salman, presiden sementara Syria berkata Arab Saudi komited untuk menyokong negara yang dilanda perang itu.
“Kami mengadakan pertemuan yang panjang di mana kami merasakan dan mendengar keinginan yang tulus untuk menyokong Syria dalam membina masa depannya,” kata al-Sharaa dalam satu kenyataan di Telegram.
Lawatan presiden sementara Syria ke Riyadh ini dilihat sebagai strategi kerajaan tersebut untuk mengeratkan hubungan dengan negara-negara Teluk sekaligus menjauhi pengaruh Iran.
Iran dilapor telah membelanjakan kira-kira 30 hingga 50 bilion dolar di Syria dalam usaha memastikan kestabilan rejim Bashar Assad sepanjang 13 tahun lalu.
Arab Saudi sebaliknya didakwa sebagai antara negara-negara Arab yang telah menyalurkan dana kepada kumpulan pejuang yang cuba menggulingkan Bashar Assad semasa Perang Saudara Syria. – The Merdeka Times
