Antarabangsa
99.9 peratus pengurusan mayat menerusi pembakaran, Muslim Jepun dilema tiada tanah kubur

- Pembakaran mayat merupakan amalan utama di Jepun dan lebih daripada 99.9 peratus tanah perkuburan di Jepun menjalankan upacara pembakaran mayat.
- Muslim di Jepun memerlukan tapak pengebumian baru berikutan peningkatan jumlah komuniti tersebut.
- “Saya rasa kerajaan harus lebih prihatin tentang kekurangan perhatian terhadap kepelbagaian budaya walaupun Jepun selama ini mengakui sebagai negara yang mempunyai masyarakat berbilang budaya,” kata Gabenor Yoshihiro Murai.
JEPUN — Muslim di Jepun memerlukan tapak pengebumian baru berikutan peningkatan jumlah komuniti tersebut.
Menurut agensi berita Kyodo,walaupun terdapat pihak yang tidak menyambut baik cadangan penyediaan tapak kubur baharu buat muslim di Jepun, namun masih ada beberapa kerajaan tempatan menyatakan kesediaan mereka terhadap perkara itu.
Pembakaran mayat merupakan amalan utama di Jepun dan lebih daripada 99.9 peratus tanah perkuburan di Jepun menjalankan upacara pembakaran mayat.
Hal ini menimbulkan kebimbangan dalam kalangan Muslim mengenai pilihan pengebumian mereka, memandangkan Islam melarang keras pembakaran mayat.
Disember lalu, Gabenor Wilayah Miyagi, Yoshihiro Murai menyatakan tanah perkuburan baharu sedang dipertimbangkan selepas wilayah tersebut menandatangani memorandum dengan Indonesia pada 2023 untuk menyediakan pekerja bagi kawasan tempatan.
“Saya rasa kerajaan harus lebih prihatin tentang kekurangan perhatian terhadap kepelbagaian budaya walaupun Jepun selama ini mengakui sebagai negara yang mempunyai masyarakat berbilang budaya,” kata Gabenor Murai.
Murai menambah sesuatu perlu dilakukan kerana tiada tanah perkuburan di wilayah tersebut.
Dalam pada itu, rancangan untuk menubuhkan tanah perkuburan baharu di bandar Hiji, yang terletak di barat daya Jepun dibatalkan selepas Datuk Bandar Tetsuya Abe lantang menyatakan penentangannya terhadap perkara tersebut dengan mendakwa ia menjejaskan kesihatan awam.
Jepun kini memiliki kira-kira 10 tanah perkuburan agama yang terkemuka.
Undang-undang Jepun tidak mengharamkan pengebumian di tanah dan ia diletakkan di bawah bidang kuasa kerajaan tempatan samada mahu menyediakan tanah perkuburan atau tidak.
Menurut profesor Universiti Waseda, Hirofumi Tanada, setakat 2024, populasi muslim di Jepun dianggarkan berjumlah 350,000. – The Merdeka Times
