Antarabangsa
Udara bandar besar Asia Tenggara antara paling tercemar di dunia

- Lima bandar terbabit adalah Ho Chi Minh City yang menduduki tempat kedua paling tercemar, diikuti oleh Phnom Penh dan Bangkok masing-masing keempat dan kelima.
- Kira-kira 300 sekolah di Bangkok ditutup minggu ini, menurut pentadbiran bandar.
- Di bandar terbesar di Vietnam, IQAir berkata paras zarah halus yang boleh disedut di Bandaraya Ho Chi Minh adalah 11 kali lebih tinggi daripada paras yang disyorkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia.
BANGKOK — Udara bandar-bandar besar di Asia Tenggara dikenalpasti antara lima tercemar di dunia, demikian menurut organisasi pemantau udara IQAir.
Lima bandar terbabit adalah Ho Chi Minh City yang menduduki tempat kedua paling tercemar, diikuti oleh Phnom Penh dan Bangkok masing-masing keempat dan kelima.
Pencemaran udara berpunca daripada gabungan pembakaran tanaman, pencemaran industri dan lalu lintas yang padat.
Di Bangkok, Thailand, kabut tebal kelihatan menutupi latar langit bandar itu.
Akibatnya, pekerja terutamanya mereka yang menghabiskan sebahagian besar masa mereka di luar rumah, menderita.
Menurut Menteri Pengangkutan, Suriya Juangroongruangkit, sebagai usaha untuk membendung pencemaran, kerajaan menyediakan perkhidmatan pengangkutan awam percuma selama seminggu.
Kira-kira 300 sekolah di Bangkok ditutup minggu ini, menurut pentadbiran bandar.
Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra berkata dalam catatan media sosialnya bahawa syarikat dan agensi kerajaan harus membenarkan kakitangan bekerja dari rumah untuk mengurangkan penggunaan kereta dan tapak pembinaan harus menggunakan penutup habuk.
Di bandar terbesar di Vietnam, IQAir berkata paras zarah halus yang boleh disedut di Bandaraya Ho Chi Minh adalah 11 kali lebih tinggi daripada paras yang disyorkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia.
Kerajaan di Asia Tenggara mendesak penyelesaian jangka panjang untuk mengurangkan pencemaran, termasuk mengenakan cukai karbon dan menggalakkan penggunaan kenderaan elektrik. — The Merdeka Times
