Connect with us

Antarabangsa

TikTok nafi laporan penjualan kepada Elon Musk ekoran ancaman sekatan AS

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Foto: Bilionair teknologi, Elon Musk
  • TikTok secara tegas menafikan laporan yang mendakwa China sedang mempertimbangkan penjualan operasi aplikasi itu di Amerika Syarikat (AS) kepada bilionair teknologi, Elon Musk sebagai langkah untuk mengelakkan sekatan nasional.
  • “Kami tidak mahu mengulas tentang cerita rekaan semata-mata,” kata jurucakap TikTok kepada Variety ketika ditanya mengenai dakwaan tersebut.

TikTok secara tegas menafikan laporan yang mendakwa China sedang mempertimbangkan penjualan operasi aplikasi itu di Amerika Syarikat (AS) kepada bilionair teknologi, Elon Musk sebagai langkah untuk mengelakkan sekatan nasional.

Laporan yang diterbitkan Bloomberg itu, memetik sumber yang tidak dinamakan yang mendakwa pegawai China sedang menilai Musk sebagai calon pembeli.

“Kami tidak mahu mengulas tentang cerita rekaan semata-mata,” kata jurucakap TikTok kepada Variety ketika ditanya mengenai dakwaan tersebut.

Menurut Bloomberg, perbincangan kerajaan China melibatkan kemungkinan syarikat Musk, X (sebelum ini dikenali sebagai Twitter), untuk memperoleh operasi TikTok di AS dan menggabungkan kedua-dua perniagaan tersebut.

Laporan tersebut menekankan bahawa ByteDance, syarikat induk TikTok yang berpusat di Beijing, mungkin dipaksa untuk menjual operasi AS-nya di bawah undang-undang AS yang akan datang yang menyasarkan aplikasi-aplikasi yang dikawal oleh musuh asing.

Bloomberg bagaimanapun tidak pasti samada sebarang perbincangan langsung telah berlaku antara Musk, TikTok, dan ByteDance.

Musk, yang memiliki Tesla, SpaceX, dan X, tidak memberikan sebarang komen mengenai laporan tersebut.

TikTok kini berhadapan dengan tarikh akhir yang kritikal kerana undang-undang baharu AS, iaitu Akta Perlindungan Rakyat Amerika daripada Aplikasi yang Dikawal Musuh Asing, dijangka berkuat kuasa pada 19 Januari ini.

Undang-undang tersebut akan melarang Apple, Google, dan perkhidmatan web daripada mengedarkan TikTok kecuali ByteDance menjual pegangan sahamnya kepada entiti dari negara yang tidak bermusuhan dengan AS. – The Merdeka Times

Author