Terkini
Sijil halal pembekal tidak jadikan produk diperakui halal – JAKIM

- KP JAKIM, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee berkata penggunaan sijil halal pembekal tidak melayakkan sesuatu produk diperakui halal.
- Perakuan halal hanya boleh diperakui pihak berautoriti setelah memenuhi standard dan prosedur pensijilan halal Malaysia yang merangkumi aspek pengendalian, penyediaan, dan pemprosesan.
- “Dalam konteks pensijilan halal Malaysia, mana-mana produk atau perkhidmatan tidak boleh diperihal halal dan ditanda dengan halal selagi mana tiada pengesahan mahupun perakuan daripada Pihak Berautoriti Pensijilan Halal Malaysia,” kata Datuk Dr Sirajuddin.
- Kenyataan itu sebagai respon kepada laporan akhbar yang dikeluarkan Berita Harian bertarikh 15 Januari 2025 bertajuk “Bahan mentah sandwich kontroversi ada sijil halal JAKIM”.
KUALA LUMPUR — Hanya kerana bahan mentah atau ramuan yang digunakan dalam sesuatu produk daripada pembekal mempunyai sijil halal, ia tidak secara automatik menjadikan keseluruhan produk itu halal.
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee berkata penggunaan sijil halal pembekal tidak melayakkan sesuatu produk diperakui halal.
Ini kerana sesuatu produk hanya boleh diperakui halal oleh pihak berautoriti setelah memenuhi standard dan prosedur pensijilan halal Malaysia yang merangkumi aspek pengendalian, penyediaan, dan pemprosesan secara keseluruhan.
“Dalam konteks pensijilan halal Malaysia, mana-mana produk atau perkhidmatan tidak boleh diperihal halal dan ditanda dengan halal selagi mana tiada pengesahan mahupun perakuan daripada Pihak Berautoriti Pensijilan Halal Malaysia,” katanya menerusi kenyataan media di sini.
Kenyataan itu sebagai respon kepada laporan akhbar yang dikeluarkan Berita Harian bertarikh 15 Januari 2025 bertajuk “Bahan mentah sandwich kontroversi ada sijil halal JAKIM”.
Universiti Malaya (UM) baru-baru ini mengarahkan penutupan serta-merta dua premis kedai serbaneka 24 jam dalam kampusnya susulan dakwaan penemuan produk pek sandwic diragui status halal.

Foto: Kenyataan Media JAKIM berkaitan laporan berita sijil halal bahan mentah produk ham and cheese sandwich.
JAKIM turut mengesahkan produk makanan ‘ham dan cheese’ yang dijual di sebuah kedai serbaneka di UM didapati tidak mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM), kesalahan mengikut Akta Perihal Dagangan 2011 iaitu Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011, lapor Kosmo.
Shake And Bake Cafe Sdn Bhd semalam dalam satu kenyataan media berkata penghasilan sandwich itu menggunakan roti, keju dan kepingan daging ayam.
Katanya, kepingan daging ayam yang digunakan dalam sandwich tersebut mempunyai sijil halal yang sah daripada JAKIM.
Sirajuddin berkata pihaknya sekali lagi menegaskan bahawa pemeriksaan dijalankan bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) pada 10 Januari lalu mendapati produk ‘Ham and Cheese Sandwich‘ berkenaan bukan sahaja tidak mempunyai SPHM, malah syarikat yang menghasilkan produk tersebut juga bukan pemegang SPHM.
Berikutan itu tindakan undang-undang di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 [Akta 730] iaitu Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 telah diambil oleh pihak KPDN.
“Oleh itu, JAKIM menggesa pengusaha-pengusaha di luar sana supaya cakna terhadap peruntukan undang-undang yang digunapakai bagi mengelakkan perkara sebegini berulang,” katanya.
Dalam perkembangan lain, JAKIM dan KPDN disaran mengkaji semula keperluan meningkatkan nilai denda bagi premis yang menyalahgunakan sijil halal.
Timbalan Mufti Wilayah, Jamali Mohd Adnan berkata saranan itu penting supaya tiada lagi pihak yang cuba memperdayakan masyarakat dengan cara memalsukan sijil halal.
“Kami mendapati isu salah guna tanda halal turut dikesan membabitkan produk sandwic dikeluarkan sebuah syarikat baru-baru ini,” katanya dipetik Kosmo. — The Merdeka Times
