Terkini
Siasat punca 10,000 pelajar SPM tidak hadir kertas BM — PAS
- Timbalan Ketua Pemuda PAS, Mohd Hafez Sabri berkata KPM perlu mengambil langkah agresif untuk memastikan calon-calon SPM itu tidak keciciran sehingga memberi kesan terhadap mereka dan negara pada masa akan datang.
- “Mata pelajaran Bahasa Melayu merupakan mata pelajaran teras dan wajib lulus untuk seseorang calon itu mendapatkan SPM. Ketidakhadiran mereka dalam peperiksaan tersebut akan memberi kesan terhadap masa depan mereka,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Selasa.
- Isu ketidakhadiran 10,000 calon SPM itu turut mendapat perhatian pempengaruh dan bekas guru, Mohd Fadli Salleh (Cikgu Fadli) yang meminta KPM melihat statistik calon yang tidak hadir itu sama ada datang daripada pedalaman, kepulauan, luar bandar atau bandar.
- Timbalan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA UKM), Dr Anuar Ahmad pula dipetik berkata antara faktor utama yang menyebabkan ketidakhadiran pelajar SPM adalah ponteng sekolah.
KUALA LUMPUR — Kementerian Pendidikan (KPM) digesa menyiasat punca sebenar berkenaan ketidakhadiran 10,000 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dalam peperiksaan bertulis subjek teras Bahasa Melayu, baru-baru ini.
Timbalan Ketua Pemuda PAS, Mohd Hafez Sabri berkata KPM perlu mengambil langkah agresif untuk memastikan calon-calon SPM itu tidak keciciran sehingga memberi kesan terhadap mereka dan negara pada masa akan datang.
Difahamkan, kegagalan kertas Bahasa Melayu akan membawa kepada kegagalan keseluruhan peperiksaan SPM kerana Bahasa Melayu adalah syarat wajib lulus SPM.
“Angka ini (10,000) bukan sahaja suatu angka yang mengejutkan tetapi juga memberi gambaran bahawa terdapat masalah besar yang sedang melanda sistem pendidikan negara.
“Mata pelajaran Bahasa Melayu merupakan mata pelajaran teras dan wajib lulus untuk seseorang calon itu mendapatkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Ketidakhadiran mereka dalam peperiksaan tersebut akan memberi kesan terhadap masa depan mereka.
“Selain itu, SPM dianggap peperiksaan awam paling penting bagi seorang pelajar sehingga ia dijadikan sebagai penanda aras dalam mengukur tahap sistem pendidikan negara,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Selasa.
Pada 2 Januari lalu, media melaporkan peratusan kehadiran calon SPM di hari pertama ujian bertulis peperiksaan itu mencapai 97 peratus, setakat jam 10 pagi Khamis.
Bagaimanapun, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata pihaknya sedang mengesan kira-kira 10,000 calon SPM yang belum mengesahkan kehadiran mereka.
Jumlah keseluruhan calon SPM 2024 adalah seramai 402,956 pelajar di 3,337 buah pusat peperiksaan di seluruh negara.
Isu ketidakhadiran 10,000 calon SPM itu turut mendapat perhatian pempengaruh dan bekas guru, Mohd Fadli Salleh (Cikgu Fadli) yang meminta KPM melihat statistik calon yang tidak hadir itu sama ada datang daripada pedalaman, kepulauan, luar bandar atau bandar.
“Dah dapat statistik kat mana paling ramai tak hadir, kena kaji pula punca kenapa mereka tak hadir. Masalah kewangan? Masalah pengangkutan? Masalah kesihatan? Masalah tak ada semangat dan tiada yang push?
“Dah jumpa masalah, senang la nak selesaikan. Ni benda sama berulang saban tahun sejak dulu lagi. Tak ada kajian details ke kenapa dan apa punca?,” katanya di ruangan komen Facebooknya pada Jumaat lalu.
Pada 2023, lebih 10,000 pelajar tidak hadir untuk peperiksaan SPM, manakala pada 2022, jumlah ketidakhadiran mencatatkan lebih 14,000 calon.
Dalam pada itu, Facebook MINDA UKM turut memuat naik hantaran yang menyatakan bahawa Timbalan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA UKM), Dr. Anuar Ahmad juga ada memberikan pandangan mengenai masalah 10,000 pelajar SPM yang tidak mengesahkan kehadiran mereka pada 2024.
Anuar dipetik berkata walaupun ada penurunan dalam jumlah ketidakhadiran pelajar SPM sejak beberapa tahun kebelakangan, angka tersebut tetap membimbangkan.
“Isu utama yang ditekankan adalah keciciran pembelajaran, di mana pelajar kehilangan motivasi kerana mereka merasa tertinggal dalam pembelajaran dari peringkat awal, terutamanya di tingkatan 1 hingga 3. Akibatnya, ramai yang memilih untuk tidak hadir peperiksaan SPM.
“Antara faktor utama yang menyebabkan ketidakhadiran pelajar SPM adalah ponteng sekolah. Beliau menjelaskan bahawa banyak pelajar yang tidak hadir peperiksaan SPM sebenarnya telah mengalami masalah seperti sering ponteng sekolah atau mempunyai isu disiplin yang menghalang mereka daripada meneruskan pembelajaran.
“Selain itu, ada juga pelajar yang berhenti sekolah untuk bekerja atau terlibat dalam masalah peribadi dan mendirikan rumah tangga. Faktor-faktor ini turut menyumbang kepada keputusan mereka untuk tidak hadir peperiksaan SPM,” tulis Facebook MINDA UKM pada Isnin. — The Merdeka Times