Terkini
Sebar risalah Kristian: Hentikan tindakan bercanggah Perlembagaan – Menteri Agama
- Semua pihak diminta menghentikan sebarang tindakan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang negara kerana ia boleh membawa keresahan awam, khususnya dalam kalangan umat Islam.
- Menteri Agama, Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar menegaskan perkara itu susulan video tular beberapa individu yang dilaporkan cuba menyebarkan agama Kristian di hadapan sebuah pasar raya di Desa Setapak di sini, baru-baru ini.
- “Sekiranya terbukti mana-mana pihak telah melakukan perkara yang bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang, mereka perlu dibawa ke muka pengadilan,” katanya menerusi kenyataan media semalam.
KUALA LUMPUR — Semua pihak diminta menghentikan sebarang tindakan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang negara kerana ia boleh membawa keresahan awam, khususnya dalam kalangan umat Islam.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar menegaskan perkara itu susulan video tular beberapa individu yang dilaporkan cuba menyebarkan agama Kristian di hadapan sebuah pasar raya di Desa Setapak di sini, baru-baru ini.
Mohd Na’im meminta semua pihak supaya menghormati dan akur kepada Perlembagaan Persekutuan bagi memelihara keharmonian dalam bernegara.
“Apa-apa tindakan yang bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang negara perlulah dihentikan kerana ia boleh membawa keresahan awam khususnya dalam kalangan umat Islam.
“Semua pihak adalah dimohon untuk bertenang dan memberikan kepercayaan penuh kepada pihak Polis Diraja Malaysia dalam membuat siasatan terperinci.
“Sekiranya terbukti mana-mana pihak telah melakukan perkara yang bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang, mereka perlu dibawa ke muka pengadilan,” katanya menerusi kenyataan media semalam.
Media sebelum ini melaporkan tular satu video berdurasi 54 saat yang memaparkan tiga individu, termasuk dua warga asing berkulit putih, yang dirakam sedang menyebarkan risalah kepada orang ramai di hadapan sebuah pasar raya di Desa Setapak.
Semalam, Berita Harian melaporkan polis telah membuka kertas siasatan berhubung dakwaan cubaan penyebaran risalah agama Kristian di tempat awam di Desa Setapak di sini pada Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Mohamad Lazim Ismail berkata pihaknya menerima maklumat daripada pengadu iaitu individu yang merakam insiden berkenaan pada malam hari sama.
Ketika ini, polis sedang mengesan tiga individu terbabit bagi membantu siasatan kes.
Mohamad Lazim berkata pada masa ini kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 298A, Kanun Keseksaan iaitu bagi kesalahan berkaitan sebarang perlakuan yang menyebabkan ketidakharmonian, perpecahan atau permusuhan, kebencian atau niat jahat atas alasan agama. — The Merdeka Times