Antarabangsa
Polio kembali ancam Pakistan akibat penularan dari Afghanistan

- Dalam satu komen yang diterbitkan di The Lancet, Zulfiqar Bhutta berkata punca kenaikan kes polio adalah kerana penularan kes-kes poliovirus liar dari Afghanistan.
- “Ia telah merebak ke seluruh daerah di Pakistan. Kami kalah di saat kemenangan hampir dalam genggaman, semua strain genetik poliovirus liar yang terdapat di Pakistan berasal dari Afghanistan,” jelasnya.
- Bhutta, yang kembali ke Afghanistan pada Disember lalu, berkata bahawa Taliban juga tidak membenarkan pegawai perubatan wanita bekerja selain menghalang pelaksanaan program awam, termasuk vaksinasi.
ISLAMABAD – Pada tahun 2020, seluruh wilayah Afrika diumumkan bebas daripada poliovirus liar dan meninggalkan hanya dua negara yang masih gagal dihentikan penyebaran penyakit tersebut iaitu Afghanistan dan Pakistan.
Namun pada tahun 2023, program imunisasi besar-besaran telah membawa kejayaan buat Pakistan apabila hanya enam kes melibatkan virus tersebut di negara itu.
Bagaimanapun menurut pengamal perubatan di Hospital Kanak-kanak di Toronto, Kanada, Zulfiqar Bhutta, kes polio kembali meningkat dengan 73 kes dilaporkan pada 2024.
“Ia telah merebak ke seluruh daerah di Pakistan. Kami kalah di saat kemenangan hampir dalam genggaman,” kata Bhutta.
Dalam satu komen yang diterbitkan di The Lancet, Bhutta berkata punca kenaikan kes polio adalah kerana penularan kes-kes poliovirus liar dari Afghanistan.
“Semua strain genetik poliovirus liar yang terdapat di Pakistan berasal dari Afghanistan,” jelasnya.
Bhutta mengetuai kumpulan yang bekerja dalam strategi imunisasi kanak-kanak di kawasan konflik.
Beliau terlibat dalam ujian vaksin poliovirus yang terbesar di Afghanistan dan Bhutta juga menyatakan kerjasama dengan Taliban sebelum ini baik sekali sehinggalah setahun yang lalu.
Jelasnya, program pembasmian poliovirus telah menghadapi pelbagai halangan sejak pengambilalihan Taliban di Afghanistan pada 2021.
Pegawai kesihatan awam melaporkan terdapat keraguan dalam kalangan masyarakat sehinggakan mereka enggan untuk menerima vaksin ditambah keadaan sanitasi yang buruk, dan ketidak-amanan serantau telah merosakkan usaha vaksinasi.
Bhutta, yang kembali ke Afghanistan pada Disember lalu, berkata bahawa Taliban juga tidak membenarkan pegawai perubatan wanita bekerja selain menghalang pelaksanaan program awam, termasuk vaksinasi.
Kini, pihak berkuasa kesihatan tidak mempunyai data yang boleh dipercayai mengenai jumlah kes polio di Afghanistan.
Poliovirus boleh menyebabkan kelumpuhan dalam kes yang kronik, terutamanya pada kanak-kanak, dan boleh membawa maut jika virus tersebut menyerang otot pernafasan.
“Ia adalah virus yang tidak mahu dibasmi, jadi dengan sedikit ruang, ia akan tersebar lebih luas,” kata Bhutta. – The Merdeka Times
