Antarabangsa
Penghuni Kem Jenin bergelut untuk hidup, berdepan kekurangan dan keganasan PA

- Penghuni Kem Pelarian Jenin terus menerima tekanan
- Jurucakap PA nafikan penduduk berdepan kesukaran
- Keperluan asas berkurangan dakwa penduduk
- Jenin turut berdepan krisis perubatan
Sudah lebih sebulan penduduk di kem pelarian Jenin berdepan dengan tekanan ekoran kempen keganasan oleh pihak berkuasa Palestin (PA).
Keadaan menjadi lebih buruk bagi 14,000 ribu penduduk di kem berkenaan yang kini berdepan pula dengan kekurangan bekalan makanan, air, elektrik serta perubatan.
Lebih merumitkan lagi kedaaan apabila sekatan pergerakan dikenakan ke atas mereka.
Bagaimanapun Al-Jazeera edisi Bahasa Arab yang memetik jurucakap PA menafikan dakwaan itu.
Menurut jurucakapnya, Anwar Rajab kem berkenaan tidak dikepung seperti didakwa. Sesiapa sahaja boleh keluar masuk. Jelasnya, anggota keselamatan turut membantu mengedarkan air minuman ke rumah-rumah.
Menurut seorang jurucakap, kem berkenaan tidak dikepung seperti yang diberitakan dan sesiapa sahaja boleh bebas keluar masuk tanpa disoal.
Bagaimanapun, penduduk dan pejuang di kem pelarian berkenaan memaklumkan kisah sebaliknya.
Mereka berkata, kereta-kereta perisai mengepung khemah dan menghalang pergerakan keluar masuk. Identiti mereka turut diperiksa .
“Kereta perisai milik pasukan keselamatan turut menghalang semua pintu masuk,
“Kami dipaksa melalui pemeriksaan berulang-ulang kali setiap kali kami melalui pintu pemeriksaan,” menurut seorang penduduk.
Um Suhaib, seorang ibu yang tinggal di dalam kem itu turut memaklumkan keadaan amat berbahaya untuk dirinya keluar mendapatkan keperluan asas seperti makanan.
“Kami sedang berusaha untuk membawa masuk keperluan asas seperti makanan dari luar kem tetapi keadaan amat berbahaya untuk kami keluar rumah.
“Terdapat penembak tepat yang diletakkan di bumbung-bumbung rumah dan kami juga terpaksa melepasi kenderaan berperisai PA.
“Dan setiap kali untuk melintas mereka meminta kad pengenalan kami dan telefon kami diperiksa,” jelasnya.
Tindakan kekerasan PA tidak sahaja menyusahkan penduduk tetapi juga menganggu perkhidmatan perubatan. Klinik UNRWA di kem berkenaan sudah ditutup hampir 40 hari akibat daripada keadaan itu.
Mereka yang sakit juga tidak dapat meninggalkan kem untuk mendapatkan rawatan.
Krisis perubatan ini, terutamanya untuk pesakit tua, kebanyakan mereka mengalami keadaan kronik seperti kencing manis, asma dan kanser.
Dengan keadaan bekalan elekrik yang sering terputus dan farmasi pula tutup menjadikan rawatan perubatan kritikal penting tidak dapat diberikan. – The Merdeka Times
