Connect with us

Terkini

Pelajar TVET GiatMARA wajib jalani ujian khas bacaan al-Fatihah, fardu ain

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Hidayah Sani

Published

on

Foto: Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki
  • “Semua pelajar latihan TVET GiatMARA saya minta untuk diwajibkan melalui ujian khas bacaan Al-Fatihah dan Fardu Ain. Jika gagal, MARA akan buat program khas intervensi pengukuhan fardu ain.
  • “Mungkin ada pihak memandang remeh, tapi daripada pengalaman pegawai-pegawai GiatMARA ada pelajar yang tunggang -langgang bacaan al-Fatihah mereka. Jika Fatihah pun bermasalah, macam mana ibadah asas solat nak disempurnakan. Ini belum lagi aspek-aspek fardu ain dan bacaan al-Quran yang lain,” kata Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menerusi hantaran di Facebook hari ini.

KUALA LUMPUR — Semua pelajar latihan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) GiatMARA diwajibkan melalui ujian khas bacaan Al-Fatihah dan Fardu Ain, kata Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Asyraf Wajdi berkata meskipun kemungkinan ada yang melihatnya sebagai perkara remeh, namun daripada pengalaman pegawai-pegawai GiatMARA didapati masih ada pelajar yang bacaan al-Fatihah mereka tidak betul.

“Semua pelajar latihan TVET GiatMARA saya minta untuk diwajibkan melalui ujian khas bacaan Al-Fatihah dan Fardu Ain. Jika gagal, MARA akan buat program khas intervensi pengukuhan fardu ain.

“Mungkin ada pihak memandang remeh, tapi daripada pengalaman pegawai-pegawai GiatMARA ada pelajar yang tunggang -langgang bacaan al-Fatihah mereka. Jika Fatihah pun bermasalah, macam mana ibadah asas solat nak disempurnakan. Ini belum lagi aspek-aspek fardu ain dan bacaan al-Quran yang lain,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Foto: Tangkap layar hantaran Facebook Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Asyraf Wajdi berkata agenda TVET Negara mesti diintegrasikan dengan elemen pembinaan jati diri dan kerohanian.

Beliau berkata pihaknya tidak mahu sekadar melahirkan pekerja mahir, sebaliknya menginginkan juga pekerja yang mempunyai jati diri, akal budi dan sahsiah terpuji.

Katanya, elemen keagamaan yang menjadi teras utama pembentukan jati diri ini juga mestilah diperkasakan dalam kalangan pelajar TVET.

“Sebab itulah, dalam memastikan agenda Kerajaan dan aspirasi Pengerusi Majlis TVET Negara untuk memartabatkan agenda TVET ini, MARA wajib ambil tanggungjawab sebagai perintis dan peneraju program TVET berimpak tinggi dan pada masa sama menekankan aspek pembinaan insaniah yang holistik dari segi rohani, jasmani, intelek dan emosi.

“Ini kerana MARA adalah institusi terbesar dalam penyedian program TVET dengan jumlah institusi sebanyak 270 IPMA yang menawarkan pelbagai kursus TVET termasuk 232 GiatMARA seluruh Malaysia,” kata Asyraf Wajdi.

Dalam pada itu, seorang pengguna Facebook bernama Nonnie Mn meninggalkan komen memuji pendekatan GiatMARA yang bukan sahaja memberi peluang kepada pelajar untuk mempelajari kemahiran malah agama juga tidak diketepikan.

Foto: Tangkap layar Asyraf Wajid membalas komen pengguna Facebook di ruangan media sosialnya.

Menurut laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, di dalam mazhab Imam al-Syafie membaca surah al-Fatihah di dalam solat merupakan salah satu daripada rukun-rukun solat dan ia wajib dibaca di dalam setiap rakaat samaada solat sunat ataupun fardhu. Sekiranya seseorang itu tidak membaca surah al-Fatihah di dalam mana-mana rakaat maka solatnya itu tidak sah. — The Merdeka Times

Author