Connect with us

Antarabangsa

New Zealand wajibkan warganegara Israel dedah butiran perkhidmatan IDF sebagai syarat kemasukan

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Foto: Gambar sekadar hiasan.
  • Kerajaan New Zealand kini menghendaki warganegara Israel yang memohon visa pelancong untuk mendedahkan butiran perkhidmatan ketenteraan mereka sebagai syarat kemasukan ke negara itu.
  • Pemohon visa diminta untuk menyatakan tarikh perkhidmatan ketenteraan, lokasi pangkalan, kor dan unit yang mereka sertai, kem tentera tempat mereka bertugas, pangkat, butiran tugas mereka, serta nombor ID ketenteraan mereka.
  • Sekurang-kurangnya seorang tentera yang berkhidmat di Gaza semasa peperangan yang sedang berlangsung menentang Hamas telah ditolak kemasukan ke New Zealand.

Kerajaan New Zealand kini menghendaki warganegara Israel yang memohon visa pelancong untuk mendedahkan butiran perkhidmatan ketenteraan mereka sebagai syarat kemasukan ke negara itu.

Setakat ini, sekurang-kurangnya satu individu telah ditolak kemasukan selepas memberikan maklumat tersebut, lapor The Times of Israel.

Warganegara Israel yang berada dalam usia perkhidmatan simpanan yang memohon visa pelancong ke New Zealand diminta untuk melaporkan samada mereka telah berkhidmat dalam Angkatan Pertahanan Israel (IDF) atau tidak.

Mereka yang mengesahkan bahawa telah berkhidmat diminta untuk mengisi borang soal selidik yang terperinci mengenai perkhidmatan ketenteraan mereka.

Dalam soal selidik pertama, pemohon visa diminta untuk menyatakan tarikh perkhidmatan ketenteraan, lokasi pangkalan, kor dan unit yang mereka sertai, kem tentera tempat mereka bertugas, pangkat, butiran tugas mereka, serta nombor ID ketenteraan mereka.

Dalam soal selidik kedua, mereka diminta menjawab soalan berikut:

  1. “Adakah anda terlibat dengan mana-mana perkhidmatan perisikan, kumpulan, atau agensi penguatkuasaan undang-undang?”
  2. “Adakah anda terlibat dengan mana-mana kumpulan atau organisasi yang menggunakan atau mempromosikan keganasan atau pelanggaran hak asasi manusia untuk mencapai matlamat mereka?”
  3. “Adakah anda pernah melakukan atau terlibat dalam jenayah perang, jenayah terhadap kemanusiaan, atau pelanggaran hak asasi manusia?”

Mereka yang tidak dapat mendedahkan butiran perkhidmatan ketenteraan mereka atas alasan keselamatan tidak dikecualikan daripada mengisi borang soal selidik.

Akibatnya, mereka tidak dapat melengkapkan borang tersebut dan tidak memperoleh visa.

Sekurang-kurangnya seorang tentera yang berkhidmat di Gaza semasa peperangan yang sedang berlangsung menentang Hamas telah ditolak kemasukan ke New Zealand.

Beliau mendakwa bahawa penolakan itu adalah akibat langsung daripada jawapan yang diberikan dalam soal selidik tersebut, sambil menyatakan bahawa beliau tidak terlibat dalam jenayah perang di Gaza.

Australia dilapor turut melaksanakan dasar yang serupa, dan sekurang-kurangnya dua warganegara Israel telah ditolak kemasukannya ke negara tersebut.-The Merdeka Times

Author