Terkini
Minum arak bukan ajaran mana-mana agama, pemimpin tidak perlu jadi ‘pembela’ – Pakar Perlembagaan

- Mana-mana pemimpin di negara ini tidak perlu berusaha menjadi juara membela arak kerana meminum minuman beralkohol bukan ajaran mana-mana agama, kata Pakar Perlembagaan, Profesor Madya Dr Muhammad Fathi Yusof.
- Langkah Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) perluaskan kawasan larangan penjualan arak atau minuman keras secara runcit dan borong di kawasan majoriti penduduk Melayu beragama Islam disifatkan sebagai wajar kerana ia kawasan majoriti penduduk Muslim dan sepatutnya bukan Islam yang minoriti tidak perlu berkeras memaksa penjualan arak dibenarkan di kawasan tersebut.
- Isu arak adalah isu sensitif bagi Muslim dan dalam hal ini ia berkaitan usaha untuk membina persekitaran yang sihat untuk generasi anak-anak, termasuk remaja justeru para pemimpin sama ada Islam atau bukan Islam, perlu menyedari prinsip tersebut.
- “Alangkah sedih, bila menteri pun gagal memahami soal sensitiviti umat Islam. Lebih-lebih lagi sebagai menteri yang memegang portfolio kerajaan tempatan.Walau pun beliau tiada kuasa memberikan arahan, namun komen itu terlalu berat sebelah dan mendedahkan kesombongannya,” kata Muhammad Fathi yang difahamkan ditujukan kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.
KUALA LUMPUR — Mana-mana pemimpin di negara ini tidak perlu nak jadi juara membela arak kerana meminum minuman beralkohol bukan ajaran mana-mana agama, kata Pakar Perlembagaan, Profesor Madya Dr Muhammad Fathi Yusof.
Menurut Muhammad Fathi soal hak untuk membuka perniagaan arak juga tidak ada kaitan dengan kebebasan beragama bukan Islam kerana menjalankan perniagaan arak bukan perintah mana-mana agama.
Beliau juga mengingatkan supaya tiada mana-mana pihak mengaitkan isu itu dengan kebebasan beragama bukan Islam, kerana sekiranya ada yang terlalu terdesak ketagihkan arak, mereka boleh ke tempat lain di luar kawasan majoriti Muslim untuk mendapatkan arak.
Katanya, yang menyifatkan langkah Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) untuk memperluaskan kawasan larangan penjualan arak atau minuman keras secara runcit dan borong di kawasan majoriti penduduk Melayu beragama Islam sebagai wajar kerana ia kawasan majoriti penduduk Muslim dan sepatutnya bukan Islam yang minoriti tidak perlu berkeras memaksa penjualan arak dibenarkan di kawasan tersebut.
“(dalam hal ini) Masyarakat bukan Islam hanya tidak dibenarkan menjalankan perniagaan arak, bukannya dilarang meminum arak!
“Keputusan itu dibuat selepas tinjauan dilakukan oleh MBI dengan melihat jumlah tuntutan yang disuarakan penduduk dan keperluan semasa di kawasan berkenaan… Ia bukan langkah semborono dan diktator.
“Kawalan itu dibuat selepas wujud bantahan kuat dari penduduk… Ringkasnya tindakan itu berasaskan amalan demokratik,” kata Muhammad Fathi menerusi hantaran di Facebook di sini hari ini.
Hantaran Facebook itu turut disertakan dengan tangkap layar beberapa artikel tempatan bertajuk, “MBI kaji tambah lokasi kawasan larangan jualan arak di kawasan majoriti Melayu-Islam”; “Sokong hasrat MBI larang jual arak di kawasan majoriti Muslim” dan “‘Apabila premis jual arak, yang tak boleh minum jangan belilah’ – Kor Ming serta kenyataan bekas Naib Presiden MCA, Ti Lian Ker yang turut mengulas isu sama.
Mengulas lanjut, Muhammad Fathi menegaskan isu arak adalah isu sensitif bagi Muslim dan dalam hal ini ia berkaitan usaha untuk membina persekitaran yang sihat untuk generasi anak-anak, termasuk remaja justeru para pemimpin sama ada Islam atau bukan Islam, perlu menyedari prinsip tersebut.
“Alangkah sedih, bila menteri pun gagal memahami soal sensitiviti umat Islam. Lebih-lebih lagi sebagai menteri yang memegang portfolio kerajaan tempatan.
“Walau pun beliau tiada kuasa memberikan arahan, namun komen itu terlalu berat sebelah dan mendedahkan kesombongannya,” kata Muhammad Fathi yang difahamkan ditujukan kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.

Foto: Tangkap layar hantaran Facebook EY Fathi (Muhammad Fathi).
Dalam pada itu, beliau juga berkata satu alasan yang dangkal apabila menyatakan penjualan arak tidak boleh dikawal pihak berkuasa tempatan (PBT) berikutan ia adalah komoditi yang sah kerana disebut dalam undang-undang berkaitan percukaian dan lain-lain.
Muhammad Fathi menjelaskan bahawa sesuatu barangan yang dikenakan cukai, tidak bermakna tidak boleh dikawal oleh undang-undang lain.
Tambahnya, langkah kawalan ke atas penjualan arak melalui kuasa PBT adalah jelas, tepat, berperlembagaan dan tidak wajar dipertikaikan kerana sememangnya menjadi kuasa PBT untuk mengawal premis perniagaan supaya menepati keperluan, kehendak dan sensitiviti rakyat yang tinggal di sesuatu kawasan.

Foto: Tangkap layar hantaran Facebook Ti Lian Ker yang dimuat naik Muhammad Fathi di Facebook-nya.
“Kita mengharapkan agar bumi Malaysia ini ditadbir oleh manusia yang mampu menjaga rakyat dan agama… Kewujudan prinsip ‘Islam adalah agama Persekutuan’ dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan seolah-seolah tidak ada erti bagi sesetengah pihak yang begitu galak ingin membudayakan arak, hatta di kawasan majoriti umat Islam.
“Padahal isu penjualan arak di kawasan majoriti Islam ini hanya sekadar soal sensitiviti umat Islam dan keselesaan untuk bermasyarakat dalam komuniti sendiri, bukan pun soal menguatkuasakan undang-undang Islam ke atas bukan Islam tapi cara pihak-pihak tertentu mengulasnya kelihatan seolah-olah seperti masyarakat bukan Islam ditindas dan dianiaya.
“Perlu diingat juga meminum arak adalah dosa besar bagi Muslim bahkan arak menjadi ibu kepada kejahatan kerana ia boleh mendorong kepada maksiat dan jenayah… Meminum arak juga bukan ajaran mana-mana agama jadi tidak perlulah mana-mana pemimpin menjadi juara membela arak,” kata Muhammad Fathi. — The Merdeka Times
