Terkini
Lawyers for Liberty sangkal kenyataan polis boleh periksa telefon bimbit orang awam

- Lawyers for Liberty (LFL) sangkal kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berhubung hak pihak berkuasa untuk periksa telefon bimbit orang awam.
- Koordinator Perundangan LFL, Yu Ying Ying berkata polis tiada hak memeriksa telefon bimbit seseorang itu melainkan ketika dalam proses siasatan yang sedang berlangsung.
- “Undang-undang yang disebut oleh Ketua Polis Negara itu tidak menyokong dakwaan bahawa ‘tiada siapa boleh mempertikaikan kuasa polis untuk memeriksa telefon bimbit di sekatan jalan raya’.
- “Polis mesti bertindak hanya dalam batas kuasa yang diberikan kepada mereka oleh undang-undang. Jika tidak, tindakan mereka akan menjadi tidak sah dan boleh dikenakan tindakan undang-undang atau tuntutan ganti rugi di mahkamah” katanya.
KUALA LUMPUR — Lawyers for Liberty (LFL) menyangkal kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berhubung hak pihak berkuasa untuk memeriksa telefon bimbit orang awam.
Koordinator Perundangan LFL, Yu Ying Ying berkata polis tidak berhak memeriksa telefon bimbit seseorang itu melainkan ketika dalam proses siasatan yang sedang berlangsung.
Ying Ying berkata pemeriksaan itu juga mesti tertumpu kepada individu yang terlibat atau sedang dikesan dalam skop siasatan jenayah dengan syak wasangka munasabah terhadap penglibatan mereka.
Beliau juga menyifatkan kenyataan Razarudin tidak sah daripada segi undang-undang, menggalakkan tindakan tidak sewajarnya oleh anggota polis dan menimbulkan ancaman terhadap kebebasan awam.
“Undang-undang yang disebut oleh Ketua Polis Negara itu tidak menyokong dakwaan bahawa ‘tiada siapa boleh mempertikaikan kuasa polis untuk memeriksa telefon bimbit di sekatan jalan raya’.
“Polis mesti bertindak hanya dalam batas kuasa yang diberikan kepada mereka oleh undang-undang. Jika tidak, tindakan mereka akan menjadi tidak sah dan boleh dikenakan tindakan undang-undang atau tuntutan ganti rugi di mahkamah.
“Sehubungan itu, kerajaan tidak boleh berdiam diri dan mesti memastikan bahawa polis bertindak mengikut undang-undang,” katanya dipetik media tempatan di sini semalam.
Razarudin pada Isnin dilaporkan berkata polis mempunyai hak untuk memeriksa telefon bimbit orang awam sekiranya ada syak wasangka atau maklumat berhubung seseorang disyaki melakukan kesalahan.
Menurut beliau perkara berkenaan termaktub di bawah Seksyen 23 (1) Kanun Prosedur Jenayah iaitu bagi maksud memastikan tiada sebarang komunikasi berunsur lucah, jelik, mengugut dan mengancam seseorang selain tindakan itu dibenarkan berdasarkan kesalahan di bawah peruntukan undang-undang Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998.
Kenyataan Razarudin dibuat sebagai respon kepada video tular yang mempersoalkan tindakan polis menahan seseorang dan memeriksa telefon bimbit.
Bagaimanapun, Ying Ying menjelaskan bahawa tiada satu pun peruntukan yang disebut, termasuk Seksyen 3(3) Akta Polis, memberikan hak kepada polis untuk memeriksa telefon bimbit orang ramai semasa sekatan jalan raya.
“Seksyen ini tidak memberi kuasa kepada polis untuk memeriksa telefon bimbit sesuka mereka semasa sekatan jalan raya atau di tempat lain. Pemeriksaan rutin telefon bimbit adalah dilarang oleh undang-undang,” katanya dipetik Malaysiakini.
Ying Ying menegaskan bahawa Seksyen 249 CMA mesti dibaca bersama Seksyen 247 dan 248, yang membenarkan polis memeriksa telefon bimbit hanya semasa pencarian dan apabila mempunyai sebab munasabah untuk mempercayai kesalahan CMA telah dilakukan.
Selain itu, Ying Ying juga berkata bahawa Seksyen 292 Kanun Keseksaan mahupun Seksyen 23(1) Kanun Tatacara Jenayah tidak merujuk kepada kuasa polis untuk menggeledah telefon bimbit individu.
Tegasnya, undang-undang yang dipetik oleh IGP tidak menyokong dakwaannya dan mengingatkan orang ramai supaya berwaspada terhadap hak mereka. — The Merdeka Times
