Antarabangsa
Kebakaran hutan California musnahkan puluhan rumah ibadat

- Berpuluh rumah ibadat musnah dalam kebakaran.
- Penganut ikrar untuk bantu jiran terkesan selain terus dengan kepercayaan.
CALIFORNIA — Kejadian kebakaran di California di Amerika Syarikat telah menyebabkan puluhan rumah ibadat musnah. Pemimpin rumah ibadat di kawasan tersebut bagaimanapun berikrar akan terus dengan kepercayaan mereka selain menghulurkan bantuan kepada mereka yang terkesan.
Salah seorang daripada mereka, Najeeba Syeed yang baru-baru ini mendirikan solat Jumaat di Masjid Al-Taqwa di kawasan tersebut. Katanya, beliau telah bertahun solat di masjid berkenaan ketika tinggal di Selatan California.
Seminggu selepas itu, Syeed yang merupakan seorang Profesor Teologi dan Perbandingan Agama diberitahu mengenai kebakaran tersebut yang mengakibatkan Masjid Al-Taqwa rentung.
Syeed yang juga penerima kerusi El Huburi berkata masjid berkenaan mempunyai sejarah dalam kerjasama antara kepercayaan.
Tambahnya, ekoran kebakaran itu, semua pemimpin penganut agama bekerjasama membantu masyarakat mereka.
Menurut Los Angeles Times, sekurang-kurangnya empat kebakaran hutan sedang berlaku di Selatan California.
Sebelas orang dilaporkan maut dan lebih daripada 12,000 struktur bangunan terbakar, termasuk sekurang-kurangnya sebilangan rumah ibadat. Antaranya adalah Kuil Yahudi Pasadena, Gereja Katolik Corpus Christi dan lebih 10 gereja Protestan. -The Merdeka Times
