Terkini
JAWI nilai semula SOP keselamatan masjid
- JAWI diarahkan menilai semula SOP keselamatan masjid susulan kejadian seorang lelaki kurang siuman menggangu jemaah di Masjid At-Taqwa Taman Tun Dr Ismail (TTDI), Rabu lepas.
- Menteri Agama, Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata pihaknya telah mengarahkan JAWI untuk menjalankan siasatan rapi memandangkan masjid itu terletak di bawah bidang kuasa pengawasan jabatan berkenaan.
- Semalam Ketua Polis Daerah Brickfields, ACP Ku Mashariman Ku Mahmood mengesahkan suspek membuat kekecohan termasuk merosakkan televisyen di masjid itu, mengalami masalah mental sejak April 2022.
KUALA LUMPUR — Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) diarahkan menilai semula prosedur operasi standard (SOP) keselamatan masjid susulan kejadian seorang lelaki kurang siuman menggangu jemaah di Masjid At-Taqwa Taman Tun Dr Ismail (TTDI), Rabu lepas.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata pihaknya telah mengarahkan JAWI untuk menjalankan siasatan rapi memandangkan masjid itu terletak di bawah bidang kuasa pengawasan jabatan berkenaan.
“Saya telah meminta Pengarah JAWI yang baharu Hanifuddin Roslan untuk membuat siasatan terperinci termasuk menilai semula aspek keselamatan yang perlu diberi perhatian untuk ditambah baik,” katanya.
Mohd Na’im berkata demikian kepada pemberita semasa ditemui di Majlis Perasmian Kompleks Akademik Kolej Universiti Antarabangsa Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWPUCMI) di sini hari ini.
Semalam Ketua Polis Daerah Brickfields, ACP Ku Mashariman Ku Mahmood mengesahkan suspek membuat kekecohan termasuk merosakkan televisyen di masjid itu, mengalami masalah mental sejak April 2022. — BERNAMA