Connect with us

Terkini

Jangan bawa pulang hirisan daging babi panggang dari Malaysia – Agensi Makanan Singapura

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Hidayah Sani

Published

on

Foto: Bak kwa (hirisan daging babi panggang)
  • Agensi Makanan Singapura (SFA) mengingatkan penduduk Singapura bahawa mereka masih tidak dibenarkan membawa masuk bak kwa (hirisan daging babi panggang) dari Malaysia buat masa ini.
  • Ini kerana di bawah peraturan semasa Malaysia bukan negara sumber yang diluluskan untuk pengembara membawa masuk daging seperti babi dan lembu untuk kegunaan peribadi.
  • SFA mengeluarkan peringatan itu di Facebook pada 18 Januari lalu selepas beberapa pengguna Facebook berkongsi pengalaman mereka menghadapi kesukaran membawa bak kwa dari Johor ke Singapura, lapor Malaymail pada Ahad.

KUALA LUMPUR — Agensi Makanan Singapura (SFA) mengingatkan penduduk Singapura bahawa mereka masih tidak dibenarkan membawa masuk bak kwa (hirisan daging babi panggang) dari Malaysia buat masa ini.

Menurut SFA, ini kerana di bawah peraturan semasa Malaysia bukan negara sumber yang diluluskan untuk pengembara membawa masuk daging seperti babi dan lembu untuk kegunaan peribadi.

SFA mengeluarkan peringatan itu di Facebook pada 18 Januari lalu selepas beberapa pengguna Facebook berkongsi pengalaman mereka menghadapi kesukaran membawa bak kwa dari Johor ke Singapura, lapor Malaymail pada Ahad.

 

Foto: Tangkap layar hantaran Facebook Singapore Food Agency (SFA).

Dalam satu kes yang menjadi perhatian, seorang pengguna bernama Wang Everleigh meluahkan kekecewaannya di kumpulan Facebook Complaint Singapore, mendedahkan bahawa dia terpaksa membuang bak kwa bernilai S$150 (RM500) di pusat pemeriksaan Kastam Singapura.

Ahli lain di kumpulan Facebook MY SG Road Trip — Eat, Play, Stay Malaysia! turut melaporkan kenderaan mereka diperiksa dengan teliti di sempadan, malah ada yang diminta membuang produk daging yang dibeli sebagai persiapan Tahun Baharu Cina.

Ramai berharap kelulusan Rang Undang-Undang Keselamatan dan Jaminan Makanan (FSSB) pada 8 Januari lalu akan melonggarkan sekatan import daging.

Bagaimanapun, SFA menjelaskan bahawa walaupun rang undang-undang itu bertujuan meningkatkan jumlah daging yang boleh dibawa masuk dari lebih banyak negara, tarikh pelaksanaan untuk had baharu tersebut masih belum diumumkan.

Buat masa ini, garis panduan SFA hanya membenarkan individu membawa masuk sehingga 5kg bak kwa dari negara sumber yang diluluskan seperti Australia dan Jepun.

Sehingga pengumuman selanjutnya, Malaysia masih kekal sebagai negara yang tidak dibenarkan untuk import bak kwa. — The Merdeka Times

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *