Connect with us

Kolumnis

Boleh ke Muslim ucap Gong Xi Fa Cai?

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Research And Development MRM

Published

on

Foto: Gambar Sekadar Hiasan

“Kawan saya berbangsa Cina, boleh ke saya ucap Gong Xi Fa Cai kepadanya?”

Persoalan ini sering menjadi dilema bagi umat Islam, terutamanya dalam masyarakat majmuk seperti Malaysia. 

Ada yang bimbang ucapan Gong Xi Fa Cai ini melanggar prinsip akidah Islam. Manakala, ada pula yang melihatnya sebagai cara untuk merapatkan jurang perpaduan.

Persoalannya, bagaimana Islam melihat perkara ini? Apakah garis panduan yang telah ditetapkan? 

Menurut Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia pada 2007, hukum memberi ucapan tahniah atau selamat sempena perayaan agama lain tertakluk kepada syarat berikut: 

1) Tidak mengiktiraf, memuji atau memuliakan agama bukan Islam.

2) Tidak menggunakan sebarang simbol atau lambang keagamaan mereka. 

Pendek kata, kata-kata ucapan tersebut tidak mengandungi kesyirikan atau kekufuran yang bertentangan dengan akidah Islam.  Ia hanya boleh berupa kata-kata tahniah yang bersifat umum. 

Jadi, bagaimana dengan Gong Xi Fa Cai? Adakah ia memuji atau mengiktiraf kepercayaan agama lain, atau hanya sekadar ucapan umum sahaja? 

Maksud sebenar ‘Gong Xi Fa Cai’ 

Mari kita teliti maksudnya. Dalam bahasa Mandarin, Gong Xi bermaksud ‘tahniah’ manakala Fa Cai bermaksud ‘bertambah kekayaan’. 

Maka, ucapan Gong Xi Fa Cai boleh diterjemahkan sebagai ‘Tahniah, semoga bertambah kekayaan/rezeki”. 

Ucapan ini amat sinonim dengan perayaan ‘Tahun Baru Cina’ sebagai satu doa untuk kemakmuran seseorang itu. 

Terdapat juga variasi lain dalam dialek Cina tempatan lain seperti: Xīn Nián Kuài Lè  dalam bahasa Mandarin atau ‘Selamat Tahun Baru Cina.’ Kiong Hee Huat Tsai dalam dialek Hokkien atau ‘Kong Hei Fatt Choy’ dalam dialek Kantonis yang bermaksud ‘Moga bertambah kekayaan’. 

Walaupun terdapat sedikit perbezaan dialek, ia membawa maksud yang sama. 

Dikatakan dua aksara pertama ucapan tahniah ini ada berkait dengan sejarah asal-usul Tahun Baru Cina. 

Menurut lagenda, ucapan tahniah tersebut didedikasikan atas kejayaan masyarakat Cina mengalahkan raksasa Nian. 

Namun, berdasarkan praktis yang lebih logik dalam kalangan masyarakat Cina, ia lebih kepada meraikan kejayaan mereka melalui musim sejuk yang mencabar. 

Setelah melihat dari sudut maksud dan sejarahnya, persoalannya, bolehkah Muslim mengucapkan ucapan Selamat Tahun Baru Cina? 

Ucapan Gong Xi Fa Cai tidak bercanggah

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan pada tahun 2016 menegaskan bahawa ucapan Gong Xi Fa Cai adalah harus, kerana ia merupakan ucapan tahniah yang bersifat umum dan tidak bercanggah dengan akidah. 

Malah, ianya satu ucapan yang amat baik untuk diucapkan kepada kenalan yang berbangsa Cina. 

Ini berdasarkan garis panduan yang sudah ditetapkan bahawa tiada masalah untuk mengucapkan ucapan sambutan perayaan bukan Islam asalkan tiada kandungan syiar atau ungkapan keagamaan yang bertentangan dengan prinsip ajaran Islam. 

Bahkan Mufti Pulau Pinang, Prof Madya Datuk Dr Mohd Sukki Othman turut berpandangan sama kerana hukum ini sesuai dengan konteks negeri yang berbilang kaum itu. 

“Namun begitu keharusan ini adalah tertakluk kepada ucapan yang diberikan itu, ia tidak mengandungi syiar atau ungkapan keagamaan yang bertentangan dengan prinsip ajaran Islam,” tegasnya. 

Kesimpulan 

Walaupun begitu, Muslim masih harus berwaspada dan tidak hanya membuta tuli dalam merayakan perayaan-perayaan mereka hanya kerana dibolehkan untuk mengucapkan Gong Xi Fa Cai misalnya. 

Senada dengan pandangan Sheikh Yusuf al-Qaradhawi dalam kitab Fatawa Mu’ashirah yang turut membolehkan ucapan selamat sempena perayaan agama lain. 

Namun, beliau bertegas agar tidak melibatkan diri dalam perayaan tersebut secara mendalam.

“Saya secara tegas melarang percampuran perayaan hari raya atau perayaan bersama antara kaum muslimin dengan orang-orang musyrik dan Ahli Kitab. Sebagaimana kita lihat, tak jarang kaum muslimin turut serta berpesta merayakan hari raya Natal. Begitu pula mereka ikut merayakan Hari Raya Aidilfitri, Aidiladha. Hal ini yang tidak boleh, dilarang,” katanya.  – The Merdeka Times 

Penafian: Artikel yang disiarkan The Merdeka Times ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak semestinya menggambarkan pendirian Editorial The Merdeka Times dalam isu yang dikupas.

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *