Terkini
(VIDEO) Mengapa pesakit mental tidak sayang diri sendiri?
KUALA LUMPUR — Kenyataan yang menyatakan bahawa individu yang mempunyai masalah kesihatan mental kurang kemahiran ihsan kendiri atau sikap kasih sayang dan belas kasihan terhadap diri sendiri adalah betul.
Psikologis Klinikal, Aiman Amri berkata ini kerana sekiranya kita melihat kepada prespektif individu yang didiagnosis menghidap kemurungan, mereka akan mempunyai tiga sudut pandang negatif dalam hidup mereka membabitkan pandangan negatif pada diri sendiri, orang sekeliling atau dunia dan masa depan.
Aiman berkata ini merujuk kepada teori daripada seorang ahli psikologi iaitu Aaron Beck yang telah digunakan di seluruh dunia iaitu ‘negative triad’ yang menerangkan penyakit kemurungan.
“Dia kata orang yang menghadapi depression ni ada tiga benda negatif dalam hidup dia iaitu dia ada pandangan negatif pada diri sendiri di mana dia rasa dia tak guna, tiada nilai, dia rasa macam aku ni dah tak ada harapan untuk sembuh.
“Kemudian dia ada negative view about others or the world… Dia melihat macam tak ada seorang pun faham aku, “kalau aku cerita pun bukannya orang faham pun. Kalau aku beritahu nanti orang akan judge aku”…. Negative view about the world.
“Lagi satu dia ada negative view about the future di mana masa depan dia rasa macam, “buat apa aku nak hidup… Dah tak guna dah aku dekat sini kan…. Bukannya aku sembuh pun…. Kalau pergi hospital pun makan ubat nanti balik macam ni juga”.
“Dia ada hilang harapan daripada semua menyebabkan benda ni dia akan terus jadi loop dan akhirnya dia bawa pada dia akan rasa macam dah tak ada ihsan daripada diri aku. Siapa aku? Kenapa aku nak kena terus kuat?,” kata Aiman menerusi program Analisis bersama Finaz Yunus bertajuk ‘Lebih 900,000 Kanak-kanak, Remaja Alami Penyakit Mental. Apa Punca?’.
Program terbitan Studio Merdeka itu yang bersiaran di YouTube The Merdeka Times di sini pada Khamis turut menampilkan Pengarah Institut Ulama Al-Juwaini, Ahmad Syamil Mohd Esa dan People Living With Experience (PLWE), Sollahuddin Ikram.
Mengulas isu sama dari sudut pandang PLWE, Ikram berkata beliau ketika diuji dengan penyakit mental sewaktu berusia 16 tahun pernah berada dalam fasa penafian (in denial) yang mana beliau mengatakan pada diri sendiri bahawa beliau ‘okey’ sedangkan ia sebaliknya.
Ikram berkata disebabkan beliau dalam fasa penafian itu beliau mengganggap apa yang dirasakan (simptom penyakit mental) ketika itu adalah kerana beliau tidak cukup efektif jadi beliau memaksa diri untuk lebih efektif.
“Tak apalah… Aku ni macam kena efektif lagi ni hidup ni. Macam kena improve lah, semakin lama kan kita kata kita akan ada improvement pada diri.
“Tapi lama kelamaan, semakin saya buat itu, semakin saya rasa sakit. Semakin rasa sakit, semakin rasa kosong…. Rasa kosong yang membebani diri…. Sampai macam nak menangis pun air mata tak keluar sebab tangki air mata itu sudah hilang.
“Sebab setiap pagi mahu melakukan kerja sekolah, aktiviti seharian yang sangat penat dan it like terlalu penat exhausted yang tiada noktah dia,” kata Ikram.
Sementara itu, Aiman berkata apabila seseorang yang mempunyai penyakit mental sudah berada dalam situasi sebegitu, elemen spiritual boleh membantu mereka untuk keluar, tetapi kerana individu itu sudah ‘tenggelam’ dalam situasi itu dan tidak mendapat sokongan orang sekeliling maka dia akan terperangkap dalam ‘lingkaran kemurungan’.
“Bila orang sudah ada penamat ke penghujung macam itu… elemen spirituality itu yang boleh membantu dia untuk keluar tapi sebab dia dah terus tenggelam (dan) tenggelam (dalam keadaan tersebut) dan tak ada sokongan orang sekeliling dan akhirnya dia akan terus jadi loop lah sebab itu depression digelar sebagai the loop of depression sebab dia semakin dalam semakin dalam (terperangkap dalam lingkaran),” katanya. — The Merdeka Times