Connect with us

Politik

(VIDEO) Isu Batu Puteh: Syed Saddiq persoal peranan menteri tidak bantah dalam Kabinet

WhatsApp
Facebook0
Twitter

Published

on

KUALA LUMPUR — Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mempersoalkan peranan sebenar barisan jemaah menteri kerana tiada satu pun yang bangkit menolak  keputusan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir berhubung isu Pulau Batu Puteh ketika ia dibentangkan dalam Kabinet 2018.

Beliau berkata, ketika itu, hanya seorang Ahli Parlimen yang bukan dalam kalangan jemaah menteri yang membantah dan tidak bersetuju dengan Dr Mahathir berhubung isu itu.

Katanya, dengan kecuaian dapatan yang ada dalam Laporan Suruhanjaya Diraja (RCI) Batu Puteh yang dikenakan ke atas Dr Mahathir, ia berkemungkinan besar dikenakan terhadap mana-mana pemimpin, termasuklah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Sekiranya kecuaian seperti itu boleh dijenayahkan pada masa kini,  risiko yang tinggi akan dikenakan ke atas setiap keputusan kerajaan Malaysia dan ia boleh disemak dan dijenayahkan pada bila-bila masa sahaja sehingga berlakunya ‘Slippery Slope’ sehingga mendorong mana-mana pimpinan kerajaan disumbat ke  tirai besi.

“Kalau hari ini kecuaian boleh dijenayahkan, pada masa akan datang setiap satu keputusan yang kerajaan lakukan, boleh dijenayah jenayahkan sehingga ramai individu boleh dipenjarakan,” katanya ketika membahaskan Laporan RCI Bagi Mengkaji Pengendalian Perkara berkaitan dengan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan di  Dewan Rakyat pada Khamis.

Syed Saddiq menegaskan adalah menjadi tanggungjawab jemaah menteri untuk menangguhkan perbicaraan RCI sekiranya terdapat kelompongan dan kekurangan bukti berhubung isu Batu Puteh.

“Sejujurnya saya sangkakan bahawa pihak di sebelah sana, akan cuba menjenayahkan Tun Dr Mahathir  dengan bawa bukti berkotak-kotak, rasuah berbilion Ringgit, yang disimpan di Taiwan, Israel, Hong Kong, yang mereka bicarakan pada sebelum ini,

“Tapi tidak sangka akhirya ia bukan kes rasuah,  kes Dr Mahathir hanyalahh dituduh menjadi  Pro- Singapura walaupun keputusan itu dibuat pada tahun 2018,” katanya. 

Bekas Presiden Parti MUDA itu turut memetik  beberapa butiran daripada laporan RCI yang mendapati Dr Mahathir membuat keputusan sebegitu dengan mendapatkan pandangan daripada barisan penjawat awam terlebih dahulu.

“Tun Dr Mahathir memanggil peguamcara 1 dan peguamcara 2  untuk memberi nasihat kepadanya,

“Peguamcara 1 dan peguamcara 2 akhirya berkata,  mereka tidak mempunyai maklumat yang mencukupi sampai ditegur oleh suruhanjaya (RCI)  tersebut, ketidakhadiran mereka merupakan pengabaian tugas,

“Mereka turut tidak bangkit dan bangun berdiam diri, turut ditegur di dalam ini,” katanya.

Syed Saddiq berkata negara tidak akan ada kestabilan politik yang menormalisasikan politik balas dendam sehingga ke akhirnya, jika tiada sebarang usaha dilaksanakan.

Laporan RCI mendedahkan bahawa kerajaan di bawah pentadbiran Dr Mahathir membuat keputusan secara sepihak bagi menarik balik permohonan semakan semula keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang mengesahkan hak Singapura terhadap Batu Puteh pada 2008.

Keputusan ICJ menyatakan bahawa Malaysia memiliki Batuan Tengah dan hak ke atas Tubir Selatan akan ditentukan berdasarkan perairan yang dikuasai oleh negara tersebut.

Menurut laporan itu, tindakan Dr Mahathir berisiko untuk dikenakan tindakan jenayah di bawah Seksyen 415(b) Kanun Keseksaan, dengan kemungkinan dihukum mengikut Seksyen 417 dan 418 kanun yang sama. — The Merdeka Times

 

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *