Terkini
(VIDEO) Benarkah Gen Z lemah?
KUALA LUMPUR — Generasi lama yang menyifatkan generasi sekarang, termasuk generasi Z dan Alpha, sebagai lemah dan mudah murung dilihat seakan-akan lupa bahawa merekalah yang membentuk generasi berkenaan.
Psikologis Klinikal, Aiman Amri berkata generasi lama sering melabelkan generasi sekarang dengan pelbagai istilah yang merendahkan seperti “generasi strawberi”, “sunat laser” dan pelbagai lagi istilah negatif.
Aiman berkata tindakan generasi lama itu, termasuk menyalahkan generasi sekarang kerana mudah kemurungan, tidak akan menyelesaikan sebarang permasalahan sebaliknya ia mewujudkan tembok yang akan membuatkan kedua-dua generasi tersebut terasing.
Istilah “Generasi Strawberi” merujuk kepada sifat-sifat yang dianggap kurang kuat dan tidak mampu menahan tekanan, termasuk dalam berdepan dugaan hidup.
“Cuma persoalan dekat sini, yang saya terfikir lah, yang membentuk generasi tu adalah generasi kita (yang melabel generasi sekarang itu-ini) juga.
“Contoh macam saya, saya tak boleh kata mereka sebab saya punya anak generasi Beta tahun 2021 dan 2023…Tapi kalaulah saya nak menyalahkan generasi Beta bila saya dah semakin dewasa dan menyalahkan remaja bermaksud saya menyalahkan anak sendiri, (yang merupakan) adalah hasil acuan daripada saya sendiri.
“Jadi sama juga dengan generasi yang lama, dia menyalahkan generasi sekarang kata mudah kemurungan… Benda ni tak akan menyelesaikan masalah.
“Malah dia membina tembok yang akan mengasingkan antara generasi lama dan generasi baru maka berlaku lah istilah seperti pakcik makcik Facebook dengan kanak-kanak Twitter ataupun generasi remaja TikTok dia mengasingkan mengikut media sosial pula,” kata Aiman menerusi program Analisis bersama Finaz Yunus bertajuk ‘Lebih 900,000 Kanak-kanak, Remaja Alami Penyakit Mental. Apa Punca?’ yang bersiaran di YouTube The Merdeka Times.
Aiman berkata apa yang membezakan generasi sekarang dan terdahulu adalah mereka mempunyai grit atau kecekalan yang tinggi, analoginya ialah kemampuan mengetap gigi dan meneruskan perjalanan walaupun berdepan cabaran.
Katanya, ia umpama seorang generasi lama yang mempunyai kereta akan menggunakan keretanya ‘sampai lunyai’ atau mereka akan bekerja dalam jangka waktu lama semata-mata untuk mencari nafkah tanpa memikirkan tekanan atau kemurungan diri.
“Itu ada pada generasi Boomers, generasi X, generasi Y sekalipun kan mereka ada grit di mana kita kena terus buat sebab waktu itu istilah seperti emosi, kemurungan itu adalah istilah-istilah yang macam asing.
“Even macam ustaz (katakan tadi) zaman dulu mana ada perkataan depresi saya percaya tak ada lah apa depresi what anxiety you know bipolar tak wujud lah benda tu kan tapi simptom tu sebenarnya sudah wujud cuma label tu tiada.
“…Tapi sebab label tu belum ada, menyebabkan apa yang mereka alami tu dia just dismiss… Ni terus je, lanyak sampai lunyai kan,” kata Aiman.
Mengulas lanjut, Aiman berkata beliau percaya antara yang menyumbang kepada peningkatan statistik anak muda menghadapi masalah kesihatan mental adalah kerana adanya kesedaran dalam kalangan kelompok itu, sekali gus menyaksikan mereka berusaha mendapatkan bantuan seperti berjumpa pakar.
“Ramai yang macam, “oh ni lemah ni, asyik-asyik depress, asyik-asyik murung, asyik sikit-sikit anxiety… Ni pun nak kena panic attack,” sedangkan bila mereka berani untuk mengatakan bahawa aku sedang kemurungan bukan senang tau nak cakap benda itulah tanda kekuatan,” katanya. — The Merdeka Times