Antarabangsa
Tel Aviv beritahu Damsyik, Tentera Israel akan kekal di zon penampan Bukit Golan
- Menurut akhbar Israel Yedioth Ahronoth, Pegawai Israel menyampaikan mesej tersebut kepada kepimpinan baru Syria, mengatakan bahawa tentera mereka tidak akan menarik diri dari kawasan yang dirampasnya itu.
- Kenyataan dan tindakan ini dibuat zionis selepas pemimpin de facto Syria, Hayat Tahrir al-Sham (HTS), Abu Mohammad al-Golani, menyatakan kumpulannya tidak akan terlibat dalam konflik dengan Tel Aviv.
TEL AVIV — Tentera penjajah Israel dilapor memberitahu pentadbiran baru Syria bahawa pasukan mereka akan kekal di kawasan yang digelar sebagai “zon penampan” di Bukit Golan yang sedang diduduki kini.
Menurut akhbar Israel Yedioth Ahronoth, Pegawai Israel menyampaikan mesej tersebut kepada kepimpinan baru Syria, mengatakan bahawa tentera mereka tidak akan menarik diri dari kawasan yang dirampasnya itu.
“Kami akan menyekat sebarang cubaan oleh militan untuk memasuki selatan Syria. Kami hanya akan mempertimbangkan penyerahan semula “zon penampan” kepada pihak yang diyakini akan bertanggungjawab terhadap perkara ini dalam kalangan kerajaan baharu Syria.
“Namun selagi perkara itu tidak berlaku, kami akan terus menjaga keselamatan kami sendiri,” kata mesej tersebut.
Kenyataan dan tindakan ini dibuat zionis selepas pemimpin de facto Syria, Hayat Tahrir al-Sham (HTS), Abu Mohammad al-Golani, menyatakan kumpulannya tidak akan terlibat dalam konflik dengan Tel Aviv.
Tentera Israel merampas kawasan zon penampan di Bukit Golan beberapa jam selepas kumpulan bersenjata menguasai ibu negara Syria, Damsyik pada 8 Disember lalu, yang mengakibatkan kejatuhan kerajaan Presiden Bashar al-Assad.
Tentera Israel telah menduduki Bukit Golan, Syria sejak Perang Enam Hari 1967.
Israel menolak untuk menarik pasukannya atau mengembalikan wilayah tersebut meskipun terdapat desakan oleh Resolusi Majlis Keselamatan PBB 242. – The Merdeka Times