- Hukuman sebatan terhadap individu pertama di Terengganu yang melakukan kesalahan khalwat berulang akan dilaksanakan pada 27 Disember depan di Masjid Al-Muktafi Billah Shah Kuala Terengganu.
- Pelaksanaan hukuman sebat itu sepatutnya dilaksanakan pada 6 Disember lalu, namun ditangguhkan susulan permohonan semakan yang difailkan kepada Mahkamah Rayuan Syariah pada 3 Dis lalu.
- “Keputusan ini dibuat sebulat suara oleh Panel Mahkamah Rayuan Syariah Terengganu.”
- “Maklumat lanjut berhubung prosedur operasi standard (SOP) pelaksanaan hukuman akan dikeluarkan oleh pihak berkuasa sebelum hukuman dilaksanakan kelak,” kata Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Terengganu, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi dipetik media tempatan hari ini.
KUALA LUMPUR — Hukuman sebatan terhadap individu pertama di Terengganu yang melakukan kesalahan khalwat berulang akan dilaksanakan pada 27 Disember depan di Masjid Al-Muktafi Billah Shah Kuala Terengganu.
Pelaksanaan hukuman sebat itu sepatutnya dilaksanakan pada 6 Disember lalu, namun ditangguhkan susulan permohonan semakan yang difailkan kepada Mahkamah Rayuan Syariah pada 3 Dis lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Terengganu, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata Mahkamah Rayuan Syariah Terengganu yang bersidang 11 Disember lalu memutuskan permohonan semakan yang dibuat teratur dan selaras Seksyen 18 Enakmen Mahkamah Syariah (Terengganu) 2001.
Katanya, hasil persidangan itu mahkamah turut memutuskan hukuman enam sebatan dan denda RM4,000 atau enam bulan penjara sekiranya gagal menjelaskan denda sebagaimana keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu pada 20 November lalu juga dikekalkan.
“Keputusan ini dibuat sebulat suara oleh Panel Mahkamah Rayuan Syariah Terengganu.
“Maklumat lanjut berhubung prosedur operasi standard (SOP) pelaksanaan hukuman akan dikeluarkan oleh pihak berkuasa sebelum hukuman dilaksanakan kelak,” katanya dipetik media tempatan hari ini.
Muhammad Khalil berkata hukuman sebatan dikenakan terhadap pesalah jenayah takzir itu sebagai pengajaran supaya individu lain tidak melakukan dan mengulangi kesalahan.
Beliau berkata pelaksanaan hukuman sebatan takzir itu juga bertujuan menunjukkan perbezaan antara sebatan sivil dan syariah.
Pada 20 November lalu, media melaporkan seorang tukang rumah menjadi individu pertama di Terengganu dikenakan enam hukuman sebatan di khalayak ramai di sebuah masjid di Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu kerana kesalahan khalwat berulang.
Hukuman itu diputuskan Hakim Kanan Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu, Kamalruazmi Ismail selepas tertuduh, Mohd Affendi Awang, 42, mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 31 (a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) Pindaan 2022 kerana berkhalwat.
Sebelum ini, tertuduh pernah didenda RM2,700 atau tiga bulan penjara selepas mengaku salah bagi pertuduhan khalwat pada 11 Julai 2023 di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Kemaman. — The Merdeka Times