Antarabangsa
Pakistan gagalkan cubaan seludup dadah 700 kilogram ke Malaysia
KUALA LUMPUR — Pasukan Anti-Narkotik (ANF) Pakistan berjaya menggagalkan cubaan besar penyeludupan 700 kilogram dadah jenis Methamphetamine atau ‘Ice’ ke Malaysia pada Rabu.
The News International memetik jurucakap ANF melaporkan, pihak berkuasa melakukan tindakan itu berdasarkan maklumat risikan dan telah melakukan serbuan ke atas sebuah kontena penghantaran di Terminal Karachi.
Seorang suspek berasal dari Karachi telah ditahan dalam operasi itu.
Dadah itu dilaporkan disembunyikan di dalam 854 beg kalsium karbonat sebagai usaha untuk mengelak dikesan.
Hasil pemeriksaan rapi, ANF menemukan 28 beg mengandungi bahan terlarang itu.
Difahamkan, penghantaran bahan terlarang itu ditempah sebuah syarikat swasta berpangkalan di Karachi sebelum dijadualkan menuju ke Kuala Lumpur.
Suspek terlibat menguruskan penghantaran itu turut ditahan pihak berkuasa.
ANF mengesahkan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenalpasti dan menahan individu lain yang terlibat di dalam cubaan penyeludupan dadah itu. — The Merdeka Times