Kolumnis
Mega Street Dakwah 2024 bakal berlangsung minggu depan
Barangkali, ramai sekarang yang memilih untuk berdakwah di media sosial berikutan capaiannya yang lebih luas dan kemudahan teknologi.
Namun, itu tidaklah bermakna dakwah di lapangan atau secara “turun padang” tidak lagi penting hanya kerana capaian audiens yang “terhad”.
Hakikatnya, dakwah secara langsung dengan masyarakat masih relevan dan sering memberikan kesan yang lebih peribadi, berbanding dakwah yang hanya berfokus pada penyampaian mesej secara umum.
Melalui interaksi bersemuka, kita dapat lebih memahami situasi, pandangan dan perasaan seseorang terhadap agama Islam, sekaligus dapat menyentuh hati mereka.
Ini adalah sesuatu yang sukar dicapai hanya melalui skrin kerana keperluan untuk setiap individu itu berbeza-beza.
Bayangkan kita pasti mempunyai pilihan makanan tersendiri atau cara masakan tertentu yang dimahukan. Setiap orang ada citarasa mereka masing-masing.
Tetapi apabila kita order makanan di mesin pelayan automatik, sayangnya ia hanya boleh mengambil order secara pukal dan tidak boleh disesuaikan dengan kehendak dan citarasa kita. Begitulah juga dengan dakwah.
Interaksi manusia sebenarnya memberikan ruang personalisasi yang masih tidak dapat digantikan oleh teknologi.
Tidak dinafikan teknologi masa kini sememangnya memudahkan, namun ia tidak akan mampu menyentuh hati sepertimana yang dilakukan secara langsung.
“Serulah ke jalan Tuhanmu dengan hikmah dan nasihat yang baik, serta bantahlah mereka dengan cara yang lebih baik…” (Surah An-Nahl, 16:125)
Mega Street Dakwah 2024: Peluang Menyentuh Hati Masyarakat
Selaras dengan amanah dakwah yang terpikul di bahu setiap Muslim, Multiracial Reverted Muslims (MRM) akan menganjurkan Mega Street Dakwah 2024, satu inisiatif dakwah besar-besaran yang bakal berlangsung serentak di 10 negeri di seluruh Malaysia pada 21 Disember 2024.
Berlandaskan tema “Brothers in Faith” (Saudara Seiman), program ini bertujuan menyampaikan mesej Islam dengan penuh hikmah kepada masyarakat.
Program ini turut menyatukan pelbagai organisasi dakwah terkemuka di Malaysia berganding bahu menyampaikan mesej Islam. Antaranya adalah:
- International Islamic Information & Dawah Centre (IIDAC)
- Gabungan Dakwah Malaysia (GDM), Terengganu
- Komuniti Dakwah Ipoh, Perak
- Islamic Propagation Society International (IPSI), Pulau Pinang
- Dewan Muslimat PAS Negeri Johor (DMPNJ)
- Haluan, Negeri Sembilan
- Yayasan Kebajikan At-Tibyan, Kuantan
- Perlis Centre of Wisdom (PCW), Perlis
- Quranic Youth Club (QYC), IIUM
- Sultan Abdul Samad Jamek Mosque, Kuala Lumpur
- Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA) PERKIM
- Universiti Malaysia Terengganu (UMT) PERKIM
- Gabungan Dakwah Malaysia (GDM), Melaka
Dakwah bukanlah hanya tugas eksklusif ustaz dan ustazah sahaja.
Sebagai umat Islam, kita bertanggungjawab untuk menyampaikan kebenaran Islam, walau sekecil mana sekalipun usaha itu.
Sebagaimana sabda Rasulullah SAW: “Sampaikan daripadaku walaupun satu ayat.” (Sahih Bukhari, No. 3461)
Diharapkan melalui Mega Street Dakwah, dapat mendekati masyarakat, menjalin hubungan mendalam dan memperkenalkan mereka kepada keindahan Islam secara langsung.
Jangan lepaskan peluang menjadi sebahagian daripada usaha dakwah ini. Setiap langkah kalian mungkin menjadi sebab terbukanya pintu hidayah kepada insan lain.
Daftar sekarang melalui kod QR dalam poster di atas. Pendaftaran akan ditutup pada 19 Disember 2024. – The Merdeka Times
Penafian: Artikel yang disiarkan The Merdeka Times ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak semestinya menggambarkan pendirian Editorial The Merdeka Times dalam isu yang dikupas.