Teknologi
Malaysia duduki tangga teratas dunia minta hapus akaun dan kandungan TikTok
- Platform media sosial TikTok mencatatkan 2,606 permintaan daripada kerajaan Malaysia untuk menyahaktif atau menyekat kandungan di platformnya pada separuh pertama 2024.
- Ia merupakan angka tertinggi dalam kalangan semua kerajaan sepanjang tempoh tersebut.
KUALA LUMPUR – Platform media sosial TikTok mencatatkan 2,606 permintaan daripada kerajaan Malaysia untuk menyahaktif atau menyekat kandungan di platformnya pada separuh pertama 2024.
Ia merupakan angka tertinggi dalam kalangan semua kerajaan sepanjang tempoh tersebut.
Berdasarkan statistik tersebut, angka ini menunjukkan peningkatan sebanyak 39.96% berbanding dengan 1,862 permintaan kepada platform media sosial tersebut pada separuh tahun kedua 2023.
Jumlah ini merangkumi permintaan kerajaan untuk menyahaktif atau menyekat kandungan atau akaun, termasuk permintaan dengan URL yang tidak tepat, menurut terminologi TikTok.
Sebagai respons, TikTok mengambil tindakan terhadap 86% daripada permintaan tersebut.
Dalam tempoh yang sama, TikTok juga mengambil tindakan terhadap 5,296 hantaran dan 423 akaun TikTok akibat pelanggaran undang-undang tempatan.
Selepas Malaysia, Indonesia berada di tempat kedua dengan 778 permintaan penyingkiran kandungan, diikuti oleh Australia (522), Rusia (492), Pakistan (371), dan Turki (295). -The Merdeka Times