Terkini
Imej Melayu perlu dijenamakan semula — Prof Murad Merican
KUALA LUMPUR — Orang Melayu perlu kembali yakin dan percaya kepada Sejarah dan Pendidikan Melayu agar tidak lagi diganggu gugat kedudukannya, sekaligus mencapai penyatuan sesama Melayu.
Profesor Sejarah Sosial dan Intelektual, Institusi Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC), Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Profesor Datuk Dr Ahmad Murad Merican berkata, bagi membentuk keyakinan itu orang Melayu perlu menelaah dan memahami kembali tentang asal-usul, identiti, dan kehebatan Melayu.
“Memahami kembali sejarah, identiti orang Melayu, sifat orang Melayu, kebolehan orang Melayu jadi ini akan menjurus kepada satu bentuk keyakinan,” kata Prof Murad kepada The Merdeka Times.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai lambakan isu menggugat kedudukan dan hak-hak istimewa bangsa Melayu di negara ini, di Forum ‘Penyatuan Melayu’ di Hotel Adamson, Kuala Lumpur pada Sabtu.
Murad turut menjelaskan, pendidikan yang berteraskan agama dan ketuhanan adalah asas kekuatan orang Melayu.
Beliau berkata, orang Melayu perlu menerapkan semula nilai-nilai agama di dalam sistem pendidikan kebangsaan supaya ia bukan lagi sekadar pengajaran semata-mata.
“Sejarah membuktikan bahawa pendidikan tradisional Melayu, yang berasaskan agama melalui Masjid dan Madrasah, telah membentuk jati diri orang Melayu sebagai bangsa yang beradab dan berilmu,” ujarnya.
Ujarnya, dengan memahami sejarah dan menghayati pendidikan tradisional, orang Melayu akan dapat membina semula kepercayaan terhadap kebolehan bangsa sendiri.
Mengulas lanjut, Murad juga menyarankan untuk menjenamaan semula imej Melayu bagi memastikan bangsa Melayu dapat terus maju dan dihormati di peringkat antarabangsa.
“Maksudnya menjenamakan semula bahasa Melayu, bangsa Melayu dan ekonomi Melayu,” Kata Murad.
Beliau menegaskan, penting untuk melayu mengawal kembali naratif arus perdana di negara ini supaya Melayu kekal menjadi bangsa yang berjaya di peringkat nasional dan global. – The Merdeka Times.