Politik
Dakwaan Tengku Zafrul sertai PKR: Bukti tiada keikhlasan dalam kerjasama politik BN-PH
- Ura-ura Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dari BN dikatakan akan menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) bukan sahaja merobek maruah Barisan Nasional (BN), tetapi juga membuktikan tiada keikhlasan dalam kerjasama politik BN-PH, sekali gus mengesahkan bahawa jajaran politik ini hanyalah untuk kepentingan diri sendiri semata-mata, kata Ketua Penerangan Pemuda MCA.
- Neow Choo Seong berkata tindakan melompat parti juga berupaya mencetuskan ketidakstabilan politik sekaligus bercanggah titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim semasa Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen Ke-15 pada 26 Februari 2024 lalu yang mahu melihat kestabilan politik di negara ini, demi memacu pertumbuhan ekonomi lebih baik.
- Pihaknya seru kepimpinan BN memandang serius isu itu dan berwaspada dengan ‘musuh dalam selimut’.
- “Pemuda MCA juga bersependapat dengan Pemuda UMNO supaya hubungan BN-PH ini dikaji semula demi kebaikan masa depan BN.
- “Melainkan kita rela dipergunakan oleh pihak lain demi kepentingan mereka, dan membiarkan mereka bertambah kuat manakala parti kita pula dibiarkan semakin lemah,” katanya menerusi hantaran di Facebook di sini hari ini.
KUALA LUMPUR — Ura-ura Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dari BN dikatakan akan menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) bukan sahaja merobek maruah Barisan Nasional (BN), tetapi juga membuktikan tiada keikhlasan dalam kerjasama politik BN-PH, sekali gus mengesahkan bahawa jajaran politik ini hanyalah untuk kepentingan diri sendiri semata-mata, kata Ketua Penerangan Pemuda MCA.
Neow Choo Seong berkata tindakan melompat parti juga berupaya mencetuskan ketidakstabilan politik sekaligus bercanggah titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim semasa Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen Ke-15 pada 26 Februari 2024 lalu yang mahu melihat kestabilan politik di negara ini, demi memacu pertumbuhan ekonomi lebih baik.
Choo Seong yang juga Pengarah Komunikasi Pemuda BN berkata pihaknya menyeru kepimpinan BN memandang serius isu itu dan berwaspada dengan ‘musuh dalam selimut’.
Beliau berkata dalam masa sama, BN perlu fokus dalam usaha memperkuat dan memperkukuhkan parti.
“Jika tidak, BN akan terus dipermainkan, dipijak dan hanya ‘melukut di tepi gantang’.
“Pemuda MCA juga bersependapat dengan Pemuda UMNO supaya hubungan BN-PH ini dikaji semula demi kebaikan masa depan BN.
“Melainkan kita rela dipergunakan oleh pihak lain demi kepentingan mereka, dan membiarkan mereka bertambah kuat manakala parti kita pula dibiarkan semakin lemah,” katanya menerusi hantaran di Facebook di sini hari ini.
Semalam, BERNAMA melaporkan Tengku Zafrul yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO menegaskan bahawa beliau belum membuat sebarang keputusan berhubung khabar angin penyertaannya ke PKR.
Tengku Zafrul berkata beliau berpegang kepada prinsip apabila membuat sesuatu keputusan akan melakukan dengan penuh adab dan memaklumkan secara rasmi kepada pucuk pimpinan partinya.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Presiden PKR mengesahkan terdapat perbincangan awal berhubung penyertaan Tengku Zafrul ke dalam parti itu yang terbuka untuk menerima mana-mana individu yang boleh menyumbang kepada parti. — The Merdeka Times