Terkini
Buli rakan hingga cedera parah, 12 pelajar UMT ditahan
- Seorang pelajar Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dilaporkan dibuli 12 pelajar universiti itu sehingga mengalami kecederaan serius.
- Mangsa berusia 21 tahun, merupakan pelajar Jurusan Perakaunan, dipercayai dipukul secara bergilir-gilir, dicekik, ditendang, ditumbuk dan dipukul dengan objek tumpul.
- Portal Buletin TV3 melaporkan insiden buli itu berlaku di Kolej Kediaman Pelajar Lelaki UMT pada Ahad lalu, kira-kira jam 1 hingga 5 pagi.
KUALA LUMPUR — Seorang pelajar Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dilaporkan dibuli 12 pelajar universiti itu sehingga mengalami kecederaan serius.
Mangsa berusia 21 tahun, merupakan pelajar Jurusan Perakaunan, dipercayai dipukul secara bergilir-gilir, dicekik, ditendang, ditumbuk dan dipukul dengan objek tumpul.
Portal Buletin TV3 melaporkan insiden buli itu berlaku di Kolej Kediaman Pelajar Lelaki UMT pada Ahad lalu, kira-kira jam 1 hingga 5 pagi.
Mangsa kemudian menghubungi ibu bapanya yang menetap di Melaka sebelum mereka tiba di Kuala Nerus pada Isnin dan membawa mangsa ke Unit Kecemasan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HZNZ) untuk rawatan.
Ketika ini, mangsa ditahan di wad hospital itu untuk rawatan lanjut.
Ibu bapa mangsa telah membuat laporan polis berhubung insiden itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu pada Selasa.
Insiden itu disahkan Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintendent Wan Mohd Zaki Wan Ismail.
Polis bahagian siasatan jenayah IPD Kuala Terengganu telah menjalankan siasatan dan menahan 12 suspek terbabit.
Senjata yang digunakan oleh suspek turut dirampas di kolej kediaman pelajar tersebut.
Kesemua suspek dibawa ke Mahkamah Kuala Terengganu pada hari ini untuk permohonan reman.
Mahkamah membenarkan kesemua suspek direman selama empat hari bermula hari ini sehingga Sabtu.
Kes itu disiasat di bawah seksyen 148 Kanun Keseksaan. — The Merdeka Times