Agama
Bayaran haji jemaah B40 ditetapkan RM15,000, M40 RM23,500
- Bayaran haji bagi seorang bakal jemaah Muassasah kumpulan B40 yang kali pertama menunaikan ibadah itu ditetapkan pada RM15,000.
- Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Syed Hamadah Syed Othman berkata, bayaran melibatkan kumpulan M40 dan T20 pula masing-masing adalah RM23,500 serta RM33,300.
- Kos haji bagi seorang bakal haji Muassasah untuk musim 1446H/2025M kekal seperti tahun ini iaitu RM33,300 seorang.
KUALA LUMPUR – Bayaran haji bagi seorang bakal jemaah Muassasah kumpulan B40 yang kali pertama menunaikan ibadah itu ditetapkan pada RM15,000.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Syed Hamadah Syed Othman berkata, bayaran melibatkan kumpulan M40 dan T20 pula masing-masing adalah RM23,500 serta RM33,300.
Syed Hamadah berkata TH telah dapat mengekang peningkatan kos bagi musim haji 1446H/2025M dengan kos haji kekal pada RM33,300 bagi seorang jemaah muassasah.
Beliau berkata bagi mengawal kos haji, TH telah berusaha untuk mendapatkan kontrak jangka panjang penerbangan meskipun dalam keadaan harga minyak meningkat.
“Harga penginapan di Tanah Suci juga telah meningkat dengan mendadak akibat daripada pembangunan pesat di Makkah dan Madinah, namun TH telah berjaya mengikat perjanjian dengan pengusaha hotel untuk beberapa tahun akan datang bagi memastikan keterjaminan harga penginapan terkawal,” katanya dipetik media tempatan pada sidang media khas di sini, hari ini.
Untuk rekod, bagi tahun 2024, kadar bayaran haji untuk seorang bakal haji Muassasah kumpulan B40 yang pertama kali menunaikan haji ditetapkan pada RM12,356 seorang, manakala bagi kumpulan M40 pula adalah RM19,152 seorang dan kumpulan T20 dikenakan bayaran penuh kos menunaikan haji iaitu RM33,300 seorang.
Syed Hamadah memaklumkan TH akan meneruskan Bantuan Kewangan Haji secara bersasar bagi musim 1446H/2025M kepada bakal jemaah Muassasah yang pertama kali menunaikan ibadat haji.
“Bantuan Kewangan Haji pada musim haji kali ini dianggarkan berjumlah RM261 juta dan ini menjadikan jumlah terkumpul meningkat kepada lebih RM2.8 bilion dalam masa 25 tahun.
“Jumlah bantuan yang besar ini telah memberikan kesan langsung terhadap kemampanan kewangan TH dan pulangan kepada pendeposit,” katanya.— The Merdeka Times