Otomobil
20 kereta terlaris di Malaysia, Perodua kekal dominasi kedudukan teratas
KUALA LUMPUR – Perodua kekal mendominasi carta 20 kereta terlaris di Malaysia dengan model terhangat mereka iaitu Bezza, Axia dan Myvi, kekal berada di kedudukan tiga teratas.
Berdasarkan data pendaftaran terkini Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) pada November 2024, Bezza mencatatkan jualan 9,507 unit, disusuli Axia dengan 7,625 unit dan Myvi 6,533 unit terjual.
Jumlah keseluruhan jualan setakat tahun ini (STI) buat ketiga-tiga model, masing-masing berjaya mencapai 91,453 (Bezza), 80,810 (Axia) dan 66,269 (Myvi).
Secara tidak langsung, model terhangat Bezza hampir mencapai jualan 100,000 unit pada tahun ini.
Bagi kedudukan kelima dan keenam, diraih model kereta Alza dengan jumlah jualan 4,118 unit pada November dan diikuti Ativa dengan 2,478 unit terjual.
Aruz pula jauh ketinggalan di kedudukan ke-14 dengan 1,547 unit pada bulan yang sama.
Sementara itu, jenama Proton dengan model Saga berada di kedudukan keempat dengan mencatatkan 5,436 unit pada November.
Proton X50 pula mencatatkan jumlah jualan 1,873 unit pada November dan kini berada di kedudukan ke-10 meninggalkan Honda HR-V dengan jualan 1,923 unit pada kedudukan ke-11.
Di tempat ke-12 dan ke-13, Proton Persona dan S70 masing-masing mencatatkan jualan 1,394 unit dan 1,301 unit pada November.
Menurut data itu, kedudukan ke-7 dan ke-8 disandang Toyoa Vios dan Honda City yang masing-masing menunjukkan jualan 2,742 unit dan 2,130 unit.
Untuk jualan jenama City model Hatchback merangkumi Toyota Vios dipisahkan dengan model Yaris yang berada di kedudukan ke-19 dengan 945 unit terjual.
Model Toyota yang lain khususnya Hilux kekal sebagai trak pikap terlaris di Malaysia dengan kedudukan ke-9 dengan catatan jualan 2,177 unit pada November, Alphard mencatatkan jualan 1,276 unit pada bulan sama, mengatasi jualan model seperti Corolla Cross dan Honda Civic.
Jualan keseluruhan Perodua kini mencapai 325,898 unit, hampir menyamai rekod tahun lalu sebanyak 330,325 unit terjual.
Bagi mencapai sasaran jualan 353,000 unit untuk 2024, Perodua perlu menjual kira-kira 27,000 unit lagi pada bulan ini. — The Merdeka Times