Terkini
PTPTN pertimbang henti beri pinjaman kepada kursus dengan rekod bayaran balik rendah
- Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sedang mempertimbangkan untuk menghentikan pembiayaan kepada kursus universiti yang merekodkan kadar bayaran balik rendah.
- Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata ia sebahagian daripada usaha dengan universiti tempatan untuk menggalakkan bayaran balik dalam kalangan peminjam.
- “Jadi untuk kursus dengan kadar bayaran balik kurang 30 peratus itu, mungkin kami akan menghentikan pembiayaan untuk kursus itu bagi universiti tertentu,” katanya dipetik Buletin TV3 menerusi Webinar KRI – Kepentingan Individu vs Kolektif: Dilema Pinjaman Pendidikan di Kuala Lumpur pada Khamis.
KUALA LUMPUR — Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sedang mempertimbangkan untuk menghentikan pembiayaan kepada kursus universiti yang merekodkan kadar bayaran balik rendah.
Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata ia sebahagian daripada usaha dengan universiti tempatan untuk menggalakkan bayaran balik dalam kalangan peminjam.
“Jadi untuk kursus dengan kadar bayaran balik kurang 30 peratus itu, mungkin kami akan menghentikan pembiayaan untuk kursus itu bagi universiti tertentu.
“Untuk (manfaat) semua orang, universiti juga perlu membantu mewujudkan tabiat yang baik untuk memupuk tingkah laku pembayaran dalam kalangan pelajar,” katanya dipetik Buletin TV3 menerusi Webinar KRI – Kepentingan Individu vs Kolektif: Dilema Pinjaman Pendidikan di sini pada Khamis.
Ahmad Dasuki berkata bagaimanapun pembiayaan akan diteruskan bagi kursus dengan kadar bayaran balik yang tinggi.
Usaha itu juga dapat menerapkan budaya pengurusan kewangan yang baik selepas graduasi, selain tumpuan untuk melunaskan hutang PTPTN.
Dalam perkembangan lain, media sebelum ini melaporkan RM32.29 bilion pinjaman PTPTN, daripada RM71.3 bilion berada dalam kategori ‘sepatutnya dibayar balik’ oleh 2,716,110 peminjam.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata jumlah pinjaman yang sepatutnya dibayar balik itu direkodkan hingga 31 Disember 2023. — The Merdeka