Terkini
Penduduk bantah penjualan arak di KK Mart Salak Selatan
- Penduduk Muslim di sekitar Bandar Sri Permaisuri, Cheras di sini membantah permohonan KK Mart Salak Selatan untuk menjual arak di premis itu.
- Bantahan itu dibuat selepas kedai serbaneka itu menaikkan notis memohon lesen menjual arak dari DBKL di premis itu, awal bulan ini.
- Antara faktor bantahan itu adalah supaya ia menghormati sentimen penduduk setempat, terutamanya penduduk Muslim, dan faktor kes kemalangan akibat mabuk di kawasan itu.
- Penduduk Bandar Sri Permaisuri, Mohamad Na’im Mohamad Najib berkata beliau membantah penjualan arak di kedai serbaneka itu kerana ia menyentuh sensitiviti masyarakat Muslim yang dilarang menjual arak, apatah lagi terdapat pekerja Muslim di KK Mart itu.
- Na’im ketika dihubungi The Merdeka Times (TMT) pada Rabu berkata, beliau memulakan bantahan itu selepas menyedari Notis Pemberitahuan Permohonan Lesen Menjual Minuman Keras DBKL yang ditampal di KK Mart itu sekitar 6 November lalu.
KUALA LUMPUR — Penduduk Muslim di sekitar Bandar Sri Permaisuri, Cheras di sini membantah permohonan KK Mart Salak Selatan untuk menjual arak di premis itu.
Bantahan itu dibuat selepas kedai serbaneka itu menaikkan notis memohon lesen menjual arak dari Dewan Bandar Raya Kuala Lumpur (DBKL) di premis itu, awal bulan ini.
Antara faktor bantahan itu adalah supaya ia menghormati sentimen penduduk setempat, terutamanya penduduk Muslim, dan faktor kes kemalangan akibat mabuk di kawasan itu.
Penduduk Bandar Sri Permaisuri, Mohamad Na’im Mohamad Najib berkata beliau membantah penjualan arak di kedai serbaneka itu kerana ia menyentuh sensitiviti masyarakat Muslim yang dilarang menjual arak, apatah lagi terdapat pekerja Muslim di KK Mart itu.
Na’im berkata, dalam tempoh dua tahun ini, terdapat beberapa kes kemalangan berlaku membabitkan pemandu mabuk di sekitar kawasan itu, termasuk di hadapan KK Mart terbabit, sekaligus menimbulkan kegusaran dan kebimbangan penduduk setempat.
Katanya, penjualan arak itu juga dikhuatiri mengganggu perniagaan restoran Muslim atau Mamak di kawasan sama.
“Di atas KK Mart ini ada kelas mengaji. Jadi ada orang-orang datang mengaji… Kanak-kanak dan sebagainya, jadi kita risau antara sebab ini (arak yang dijual di KK Mart) juga mungkin ada pemabuk dan sebagainya jadi membahayakan keselamatan bagi pelajar-pelajar, anak-anak pelajar juga,” kata Na’im ketika dihubungi The Merdeka Times (TMT) pada Rabu.
Na’im berkata beliau memulakan bantahan itu selepas menyedari Notis Pemberitahuan Permohonan Lesen Menjual Minuman Keras DBKL yang ditampal di KK Mart itu sekitar 6 November lalu.
Susulan itu, beliau bertindak mengiklankan Notis Pemberitahuan terbabit di Facebook untuk memaklumkan kepada masyarakat setempat berkenaan notis berkenaan dan menghantar emel bantahan kepada DBKL, namun tidak menerima sebarang maklum balas daripada pihak berkuasa tempatan itu.
TMT turut melihat foto Notis Pemberitahuan itu yang dikongsikan seorang sumber di mana kandungan notis itu antara lain menyatakan sebarang bantahan orang ramai hendaklah dikemukakan kepada Lembaga Pelesenan Eksais Wilayah Persekutuan sama ada di alamat atau emel dinyatakan dalam notis tersebut.
Sumber yang hanya ingin dikenali sebagai Abu Talhah, individu yang turut membantah penjualan arak di KK Mart Salak Selatan itu, memaklumkan perkara terbabit kepada TMT dengan harapan ia mendapat perhatian dan tindakan sewajarnya pihak terbabit, terutama DBKL.
Menurut Abu Talhah, sebagai orang Islam adalah menjadi kewajiban untuk pihaknya melaksanakan amar makruf nahi mungkar dan bantahan dilakukan mengikut saluran undang-undang sebagaimana dibenarkan DBKL menerusi notis berkenaan.
“…Dah ada dua kemalangan dipercayai oleh orang mabuk… Tapi Alhamdulillah, masih belum ada kemalangan nyawa itu yang kita nak elakkan sebab belum ada penjualan arak secara berleluasa dah jadi macam ni.
“Kalau dah ada (jual arak) esok, tak mustahil benda boleh berlaku jadi mencegah itu lebih baik.
“Betul DBKL (juga) perlu meraikan kehendak masyarakat semuanya, baik non-Muslim dan juga Muslim sebab kita masyarakat majmuk di Malaysia, kita faham itu… cuma daripada tiada kepada ada, untuk dibanyakkan lagi harus difikirkan sebab kadar kemalangan akibat pemandu mabuk tidak pernah turun.
“Paling (penting) sekali benda ini sudah berlaku dua kali pun di sini kemalangan akibat pemandu mabuk dan kita pula di sini ada kedai restoran makan Muslim, betul-betul bersebelahan KK (Mart) dan ada NGO Islam di atasnya (premis itu) jadi kurang sesuai kalau diadakan sebegitu… sensitiviti umat Islam.
“Kedai lain dah sedia ada, beli sajalah di kedai lain mengapa perlu dibanyakkan lagi? Dan KK (Mart) boleh jual semua barang dengan mendapat sokongan umat Islam lebih banyak tanpa menjual benda haram sedemikian,” kata Abu Talhah. — The Merdeka Times