Connect with us

Antarabangsa

Menteri ekstremis mahu Israel ‘rampas’ Tebing Barat pada 2025

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Foto: Menteri Kewangan Israel, Bezalel Smotrich
  • Menteri Kewangan Israel, Bezalel Smotrich telah mengarahkan persiapan untuk “pengilhakan” Tebing Barat yang diduduki sebelum Presiden terpilih Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengambil alih jawatan pada Januari 2025, lapor media Israel dan media antarabangsa.
  • Menteri ekstremis berhaluan kanan itu dalam kenyataan pada Isnin menyuarakan harapannya bahawa pentadbiran baharu di Washington akan mengiktiraf desakan Israel untuk mengisytiharkan “kedaulatan” ke atas wilayah yang diduduki.
  • Pengilhakan (annexation) merujuk kepada tindakan pentadbiran dan konsep undang-undang antarabangsa mengenai pengambilalihan wilayah sesebuah negara berdaulat secara paksa oleh negara lain.
  • Mengingkari undang-undang antarabangsa, Smotrich mengisytiharkan “satu-satunya cara untuk menghapuskan ancaman negara Palestin daripada agenda adalah dengan menggunakan kedaulatan Israel ke atas penempatan di Judea dan Samaria (Tebing Barat)”.

Menteri Kewangan Israel, Bezalel Smotrich telah mengarahkan persiapan untuk “pengilhakan” Tebing Barat yang diduduki sebelum Presiden terpilih Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengambil alih jawatan pada Januari 2025, lapor media Israel dan media antarabangsa.

Menteri ekstremis berhaluan kanan itu dalam kenyataan pada Isnin menyuarakan harapannya bahawa pentadbiran baharu di Washington akan mengiktiraf desakan Israel untuk mengisytiharkan “kedaulatan” ke atas wilayah yang diduduki.

Pengilhakan (annexation) merujuk kepada tindakan pentadbiran dan konsep undang-undang antarabangsa mengenai pengambilalihan wilayah sesebuah negara berdaulat secara paksa oleh negara lain.

Smotrich telah mengarahkan Bahagian Penempatan dan Pentadbiran Awam, kedua-duanya di bawah Kementerian Pertahanan Israel, untuk memulakan persiapan bagi infrastruktur yang diperlukan untuk melaksanakan dasar ini.

Tindakan pengilhakan Tebing Barat yang diduduki pada 2025 itu akan menamatkan “ancaman” negara Palestin, kata Smotrich.

Tindakan itu, jika dilaksanakan, akan bertentangan dengan undang-undang antarabangsa yang menetapkan Tebing Barat sebagai berada di bawah wilayah Palestin yang diduduki.

Bercakap pada mesyuarat Parti Zionisme Agama, yang diketuainya, Smotrich turut mengucapkan tahniah kepada Donald Trump atas kemenangan pilihan raya presiden AS minggu lalu, demikian menurut akhbar harian Israel, Yedioth Ahronoth dipetik dalam laporan Anadolu.

Smotrich turut mengkritik pentadbiran AS semasa di bawah Presiden Joe Biden antara lain kerana tidak mahu bekerjasama dengannya.

Dia berkata kemenangan Trump membawa peluang berharga untuk Israel, dengan mengatakan bahawa dalam penggal pertamanya, pada 2017-2021, “Trump mengetuai langkah penting, termasuk menempatkan semula Kedutaan AS ke Baitulmaqdis, mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel, mengiktiraf kedaulatan Israel ke atas Golan Heights, dan menghalalkan penempatan di Yudea dan Samaria (nama alkitabiah untuk Tebing Barat).”

Smotrich turut memuji Perjanjian Abraham, yang menormalisasikan hubungan antara Israel, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Bahrain dan Maghribi.

“Kami hampir menggunakan kedaulatan ke atas penempatan di Judea dan Samaria (Tebing Barat) sebelum pentadbiran Biden,” kata Smotrich. “Sekarang, sudah tiba masanya untuk bertindak”.

Mengingkari undang-undang antarabangsa, Smotrich mengisytiharkan “satu-satunya cara untuk menghapuskan ancaman negara Palestin daripada agenda adalah dengan menggunakan kedaulatan Israel ke atas penempatan di Judea dan Samaria (Tebing Barat)”. – The Merdeka Times

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *