Connect with us

Antarabangsa

(VIDEO) Visi Palestin akan beralih kepada “One state solution” – Ilan Pappé

Penyelesaian satu negara atau one state solution dalam isu konflik Palestin-Israel semakin mendapat perhatian dan berkembang dalam kalangan golongan muda, terutama di Palestin.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
A.R. Khan

Published

on

Foto: Sejarawan Israel, Ilan Pappé.

KUALA LUMPUR – Penyelesaian satu negara atau one state solution dalam isu konflik Palestin-Israel semakin mendapat perhatian dan berkembang dalam kalangan golongan muda, terutama di Palestin.

Perkara itu dikongsikan Sejarawan Israel, Ilan Pappé ketika menyatakan pandangan beliau mengenai penyelesaian satu negara dengan mengkritik tindakan Pihak Berkuasa Palestin yang masih bercakap tentang penyelesaian dua negara atau two state solution.

“Pertama sekali, ya, jadi saya rasa perkara ini sedang berubah pantas, apa yang penting ialah perubahan kedudukan rakyat Palestin di Tebing Barat, atau di bawah Pihak Berkuasa Palestin (PA) yang secara rasminya di bawah kepimpinan yang hanya bercakap mengenai penyelesaian dua negara.

“Bilangan orang yang menyokong penyelesaian satu negara sedang berkembang dengan pesat saban hari, setiap hari, saya mengetahuinya kerana saya ahli pergerakan yang dipanggil One Democratic State Campaign, dan kami bekerja di Tebing Barat, di Gaza dan di dalam Israel.

“Dan bilangannya semakin meningkat terutamanya dalam kalangan generasi muda dan kita harus ingat, masyarakat Palestin adalah antara yang termuda di dunia. 50 peratus daripada rakyat Palestin di mana sahaja mereka berada, berada di bawah 18 tahun,” kata Ilan dalam temu bualnya dengan Dareen Abughaida dalam slot Center Stage terbitan Al Jazeera disiarkan di Youtube pada 25 Februari lalu.

Ilan ditanya Dareen apakah beliau percaya idea solusi satu negara  akan mendapat momentum dari segi sokongan dan pencapaiannya.

Profesor di Universiti Exeter itu optimis bahawa dalam jangka masa sederhana, visi penyelesaian satu negara untuk warga Palestin dapat dikecapi.

“Jika kamu lakukan tinjauan di kalangan anak muda Palestin, saya teka.. saya tidak tahu (secara tepat), saya tiada datanya, tetapi rasa saya, majoriti yang sangat besar akan memilih penyelesaian satu negara.

“Dan kamu boleh melihatnya kerana golongan muda lebih banyak menggunakan internet berbanding generasi tua dan mereka kurang berpecah.. Kurang berpuak-puak.

“Jadi saya fikir kita pasti.. saya benar-benar pasti mengenainya. Saya tidak tahu secara pastinya bila, tetapi dalam jangka masa sederhana akan datang, saya fikir bahawa visi yang diisytiharkan oleh Palestin, malah visi yang diinstitusikan, akan beralih kepada penyelesaian satu negara,” katanya.

Ditanya mengenai penerimaan dalam kalangan Yahudi zionis terhadap konsep penyelesaian itu, Ilan menjawab pendapat kelompok itu tidak relevan kerana selagi mereka berfahaman zionis, mereka tidak akan mahu menyelesaikan ketidakadilan yang dilakukan zionis ke atas warga Palestin. – The Merdeka Times

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *