Connect with us

Terkini

Pelesenan media sosial burukkan lagi sekatan kebebasan bersuara

Kerajaan Malaysia perlu menghentikan sebarang keputusan tergesa-gesa mengenai pelesenan media sosial kerana ia berpotensi memburukkan lagi sekatan ke atas kebebasan bersuara.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Hidayah Sani

Published

on

Foto: Gambar sekadar hiasan.
  • Kerajaan Malaysia perlu menghentikan sebarang keputusan tergesa-gesa mengenai pelesenan media sosial kerana ia berpotensi memburukkan lagi sekatan ke atas kebebasan bersuara.
  • ARTICLE 19 dan Centre for Independent Journalism (CIJ) dalam kenyataan bersama menyatakan mereka maklum berkenaan pengumuman kerajaan berkaitan suatu pengawalseliaan baharu yang akan diperkenalkan untuk syarikat media sosial mendapatkan lesen di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia (CMA) 1998.
  • Ia dilihat sebagai percubaan mengawal platform media sosial dan mempunyai implikasi luas terhadap kebebasan bersuara seperti dijamin Perlembagaan Persekutuan Malaysia.
  • “Tambahan pula, terdapat kebimbangan semakin meningkat bahawa langkah-langkah pengawalseliaan sedemikian boleh menimbulkan ancaman besar terhadap nilai-nilai demokratik asas yang mendasari tadbir urus negara dan prinsip asas Seksyen 3(3) CMA, yang menyatakan “tiada apa-apa dalam CMA yang boleh ditafsirkan sebagai membenarkan penapisan internet”,” kata ARTICLE 19 dan CIJ pada Isnin.

KUALA LUMPUR — Kerajaan Malaysia perlu menghentikan sebarang keputusan tergesa-gesa mengenai pelesenan media sosial kerana ia berpotensi memburukkan lagi sekatan ke atas kebebasan bersuara.

ARTICLE 19 dan Centre for Independent Journalism (CIJ) dalam kenyataan bersama menyatakan mereka maklum berkenaan pengumuman kerajaan berkaitan suatu pengawalseliaan baharu yang akan diperkenalkan untuk syarikat media sosial mendapatkan lesen di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia (CMA) 1998.

Bagaimanapun, ia dilihat sebagai percubaan mengawal platform media sosial dan mempunyai implikasi luas terhadap kebebasan bersuara seperti dijamin Perlembagaan Persekutuan Malaysia.

“Tambahan pula, terdapat kebimbangan semakin meningkat bahawa langkah-langkah pengawalseliaan sedemikian boleh menimbulkan ancaman besar terhadap nilai-nilai demokratik asas yang mendasari tadbir urus negara dan prinsip asas Seksyen 3(3) CMA, yang menyatakan “tiada apa-apa dalam CMA yang boleh ditafsirkan sebagai membenarkan penapisan internet”. 

“Pertubuhan masyarakat madani (CSO), termasuk ARTICLE 19 dan CIJ, yang sebelum ini terlibat dalam perundingan, telah menyuarakan kebimbangan kami kepada kerajaan mengenai kemungkinan penetapan pelesenan ke atas platform media sosial untuk menyederhanakan kandungan berbahaya.

“Kami telah menasihati kerajaan agar tidak membuat keputusan tergesa-gesa dan menekankan perlunya pertimbangan menyeluruh terhadap implikasi dan pihak berkepentingan terlibat,” kata ARTICLE 19 dan CIJ pada Isnin.

Kerajaan Madani menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) pada Sabtu lalu memaklumkan semua perkhidmatan media sosial dan pesanan internet yang mempunyai sekurang-kurangnya 8 juta pengguna berdaftar di Malaysia perlu memohon Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).

SKMM dilaporkan memaklumkan langkah itu akan dikuatkuasakan pada 1 Januari tahun depan selepas kerangka kawal selia baharu diperkenalkan pada 1 Ogos.

Ia selaras keputusan Jemaah Menteri bahawa perkhidmatan media sosial dan pesanan Internet perlu mematuhi undang-undang Malaysia bagi memerangi peningkatan kes jenayah siber, termasuk penipuan dalam talian, buli siber dan jenayah seksual terhadap kanak-kanak.

Mengulas lanjut, ARTICLE 19 dan CIJ berkata sebarang kerangka pengawalseliaan untuk platform media sosial mesti berdasarkan prinsip ketelusan, akauntabiliti dan perlindungan hak asasi manusia. 

Katanya, ia harus merangkumi keperluan meningkatkan ketelusan dalam keputusan penyederhanaan kandungan dan memperbaiki sistem untuk menyelesaikan pertikaian yang timbul daripada keputusan berkenaan.

“Kerajaan disyorkan mengambil langkah-langkah berikut iaitu menubuhkan majlis media sosial yang akan mempromosikan kerangka pengawalseliaan bebas berbilang pihak berkepentingan.

“Menubuhkan jawatankuasa bebas untuk mengkaji punca utama ucapan kebencian dan buli siber dan seterusnya membangunkan pelan tindakan komprehensif, menggunakan Rabat Plan of Action sebagai kerangka kerja.

“Dan meningkatkan program pendidikan dan kesedaran yang bertujuan membina masyarakat berdaya tahan berpandukan standard penciptaan kandungan beretika dan bertanggungjawab, serta literasi digital yang mencukupi untuk memerangi kandungan berbahaya,” katanya.

ARTICLE 19 dan CIJ berkata untuk mencapai hasil lebih baik dalam menangani kandungan media sosial yang berbahaya dan melindungi pengguna, kerajaan mesti mempertimbangkan semula rancangan semasa dan berunding lebih komprehensif dengan pertubuhan-pertubuhan CSO. 

Ia diperlukan kerana menangani kandungan berbahaya secara berkesan melangkaui hanya penyederhanaan kandungan, sebaliknya turut melibatkan cara menangani punca utama isu seperti ucapan kebencian, buli siber dan keganasan berasaskan jantina, katanya. — The Merdeka Times

Sokong TMT media berani, benar & bebas di https://support.themerdekatimes.com/

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *