Agama
Asyarah Mubasyarah: Setia Abu Bakar tiada tandingan
“Kali pertama aku melihat orang menangis kerana gembira. Selama ini aku hanya melihat orang menangis kerana sedih”.
“Kali pertama aku melihat orang menangis kerana gembira. Selama ini aku hanya melihat orang menangis kerana sedih”.
Inilah kata-kata Saidatina Aisyah RA yang menceritakan rasa teruja dan girang ayahandanya, Saidina Abu Bakar RA apabila terpilih menjadi peneman hijrah Rasulullah SAW ke Madinah dan satu-satunya sahabat yang mendapat penghormatan.
Walaupun pada saat itu adalah waktu kemuncak di mana umat Islam sedang ditindas dan Rasulullah SAW diancam bunuh bahkan diburu kaum Musyrikin Makkah yang enggan menerima dakwah mengesakan Allah.
Secara logik, manusia pasti akan menjauhkan diri daripada apa jua yang berbahaya dan mengancam nyawa.
Namun, tidak bagi lelaki dengan gelaran ‘As-Siddiq’ yang sentiasa membenarkan setiap bait kata Rasulullah SAW ini, walaupun dirinya maklum menjadi pendamping Rasulullah SAW pada saat itu merupakan suatu misi berbahaya.
Tanpa sedikitpun keraguan, Abu Bakar RA sangat bergembira apabila dirinya yang dipilih Allah seakan mendapat penghormatan untuk mengorbankan nyawanya demi Nabi Allah SAW jika ada sebarang situasi yang tidak diingini berlaku.
Ini boleh dilihat pada sepanjang sirah perjalanan hijrah, Abu Bakar RA sangat mengambil berat akan kesejahteraan Nabi dan sentiasa melindungi Nabi, memastikan tiada yang menyerang Nabi SAW secara mengejut sama ada manusia mahupun haiwan.
Sewaktu mereka sampai di gua, Abu Bakar berkata, “Demi Allah, jangan engkau masuk sehingga aku masuk terlebih dahulu. Jika di dalamnya ada sesuatu, biarlah aku yang terkena dan bukan engkau”.
Apabila Abu Bakar mendapati di dinding gua itu ada lubang-lubang. Maka beliau mengoyakkan kain pakaiannya untuk menutupi semua lubang.
Dan apabila tiada lagi kain yang boleh menutupi, Abu Bakar menggunakan kedua-dua kakinya untuk menutup lubang itu. Sejurus itu, barulah beliau membenarkan Nabi Allah SAW masuk ke dalam gua.
Pernah ada satu kisah menceritakan kaki Abu Bakar yang berpijak pada lubang itu telah disengat. Namun, beliau tidak bergerak sedikitpun kerana khuatir Rasulullah SAW terjaga daripada rehatnya.
Sedemikian besarnya kasih Abu Bakar terhadap Rasulullah SAW, jaminan keselamatan dan kesejahteraan Nabi mendahului dan menenggelamkan segala kepentingan dan kenikmatan dirinya.
Bahkan apabila musuh kaum Musyrikin Makkah yang memburu mereka kian menghampiri hanya beberapa langkah, Abu Bakar RA menjadi tersangat takut dan risau.
“Wahai Nabi Allah, jika ada orang antara mereka yang menunduk sedikit untuk melihat ke dalam, pasti dia melihat kita,” kata Abu Bakar.
Rasulullah menegur sahabat baiknya dengan berkata; “Diam, wahai Abu Bakar. Kita ini berdua dan Allah-lah yang ketiga.”
“Jangan sedih (takut) kerana sesungguhnya Allah bersama-sama dengan kita.” (Surah At-Taubah: 40)
Kita yakin bahawa Abu Bakar RA bukanlah takut atau risau akan keselamatan dirinya kerana sepanjang hayat Abu Bakar RA, beliau sentiasa bersedia untuk mengorbankan nyawanya demi Allah.
Jelas apa yang dikhuatirinya adalah keselamatan Rasulullah SAW yang akan dicederakan dan lebih teruk lagi, dibunuh musuh Islam. Sekiranya Nabi Allah tiada maka, wahyu Ilahi juga akan terhenti.
Atas sebab yang sama juga, kadang-kadang Abu Bakar RA akan berjalan di hadapan Nabi dan pada masa lain, beliau akan berada di belakang Nabi.
Apabila Rasulullah SAW bertanya kepadanya mengapa sentiasa menukar-nukar posisi, Abu Bakar RA menjawab: “Apabila aku ingat ada orang yang menunggu untuk menyerangmu, aku akan berjalan di hadapanmu. Dan apabila aku ingat ada orang yang akan mengejarmu, aku akan berjalan di belakangmu”.
Inilah lelaki pertama dijamin syurga Allah yang sanggup menghadapi segala kemungkinan demi melindungi Rasulullah SAW, walaupun nyawanya sendiri dalam bahaya.
Ketabahan dan kesetiaan Abu Bakar merupakan manifestasi dari iman yang kukuh dan cinta yang mendalam kepada Rasulullah SAW yang tiada bandingan.
Itulah manifestasi dari apa yang Nabi SAW sabdakan: “Demi (Tuhan) yang diriku berada dalam tangannya, tidak beriman seseorang kamu sehingga aku lebih dikasihinya dari dirinya, bapanya dan anaknya.” (Sahih Bukhari, No. 14) – The Merdeka Times
Penafian: Artikel yang disiarkan The Merdeka Times ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak semestinya menggambarkan pendirian Editorial The Merdeka Times dalam isu yang dikupas.