Kolumnis
Pesta Perahu Naga kisah tragis bunuh diri
Persatuan Malaysian Chinese Muslim Association (MACMA) Melaka baru-baru ini dikecam hebat netizen berbangsa Cina kerana membuat makanan Zongzi versi halal iaitu ketupat pulut berinti ayam sempena Pesta Perahu Naga yang akan disambut pada Isnin depan.
Persatuan Malaysian Chinese Muslim Association (MACMA) Melaka baru-baru ini dikecam hebat netizen berbangsa Cina kerana membuat makanan Zongzi versi halal iaitu ketupat pulut berinti ayam sempena Pesta Perahu Naga yang akan disambut pada Isnin depan.
Menurut MACMA Melaka, tujuan mereka berbuat sedemikian adalah untuk mengekalkan tradisi budaya Cina dalam perayaan tersebut.
Namun, usaha itu tidak disambut baik segelintir netizen berbangsa Cina yang mengecam tindakan mereka seperti ‘bersungguh-sungguh’ hendak menampakkan identiti kecinaan walaupun sesudah memeluk agama Islam.
Penulis tidak mahu mengulas tentang betul atau salah tindakan MACMA, namun penulis percaya barangkali niat MACMA adalah untuk membina jambatan harmoni antara masyarakat Cina bukan Muslim sebagai cara berdakwah yang perlu dihormati.
Penulis lebih tertarik dan bersetuju dengan salah satu komentar netizen bukan Muslim yang mempersoalkan tindakan MACMA itu.
“Dah masuk Islam tak perlu paksa diri sambut Duan Wu (Pesta Perahu Naga), kena tahu Duan Wu adalah untuk mengenang Qu Yuan. Adakah Muslim pun mengenang Qu Yuan,” katanya.
Ulasan ini membuka satu sudut pandang berbeza iaitu Muslim seharusnya memahami akar pensejarahan terlebih dahulu sebelum merayakan sesuatu perayaan bukan Muslim.
Muslim perlu bijak menilai dan berfikiran kritis bukan hanya disebabkan ianya perayaan budaya, ia wajar dirayakan. Banyak faktor perlu dinilai agar selari dengan prinsip Islam.
Pesta Perahu Naga punyai sejarah tragis
Tradisi menyambut Pesta Perahu Naga adalah daripada kisah memperingati tokoh penyajak Qu Yuan semasa Zaman Peperangan Antara Negeri (Warring States Period).
Qu Yuan juga merupakan penasihat diraja Negeri Chu yang amat setia kepada Raja Qingxiang. Kesetiaannya digambarkan dalam sajaknya ‘Li Sao’(离骚) yang menyamakan hubungannya dengan Maharaja seperti cinta kepada sang kekasih.
Oleh sebab itu, apabila baginda raja termakan hasutan-hasutan menteri lain sehingga baginda hilang kepercayaan serta menuduhnya pengkhianat, Qu Yuan merasa dikhianati dan hilang harapan untuk hidup. Akhirnya, beliau memilih untuk membunuh diri dengan terjun ke dalam sungai Miluo.
Semasa hidupnya, Qu Yuan amat dikenali dalam kalangan rakyat tempatan. Dikatakan legenda menceritakan apabila mereka menyedari beliau cuba menenggelamkan dirinya, mereka bergegas menaiki bot ke tengah sungai dan berusaha menyelamatkannya atau sekurang-kurangnya mengambil jasadnya.
Namun, mereka tidak menjumpainya dan bimbang ikan-ikan akan memakan jasadnya, mereka memukul gendang serta melemparkan ketupat nasi (zongzi) ke dalam sungai dengan harapan ikan akan memakan nasi berbanding jasad Qu Yuan.
Begitulah diceritakan tradisi Pesta Perahu Naga bermula dan ia diteruskan dari generasi ke generasi sehinggalah ke hari ini. Ia bermula demi mengingati Qu Yuan yang membunuh diri.
Kesimpulan
Walaupun kini Pesta Perahu Naga hanyalah dianggap sebagai keraian budaya yang menghormati semangat patriotisme Qu Yuan, namun kita tidak boleh menafikan akar pensejarahan pesta tersebut adalah juga memperingati kisah tragisnya.
Maka, apabila kisah tragis yang diraikan dan dirayakan dengan meriah saban tahun, ia seolah-olah seperti cubaan ‘meromantisasikan’ tindakan bunuh diri.
Sedangkan hakikatnya, tindakan itu bukan sahaja tidak diterima dalam Islam tetapi kebudayaan lain seperti Buddhisme juga memandang tindakan bunuh diri sebagai tindakan yang bertentangan dengan prinsip Pancasila yang pertama iaitu ‘menahan diri dari membunuh makhluk hidup’.
Sarjana Buddha, Master Sheng Yen turut menyatakan, tidak kira bagaimana atau semulia mana objektif seseorang membunuh diri sendiri, ia tetap salah dalam agama Buddha.
Oleh sebab itu, kita harus menilai dengan lebih kritis di sebalik perayaan ini. Merayakan tindakan bunuh diri, walaupun dalam konteks sejarah dan budaya, boleh membawa kepada salah tafsir yang serius kepada masyarakat.
Bagi penulis, tindakan tersebut tidak boleh dianggap sebagai sesuatu yang ‘heroik’ atau romantik yang perlu dirayakan, tetapi lebih kepada tragedi yang patut diambil iktibar bahawa bunuh diri bukanlah penyelesaian kepada masalah. –The Merdeka Times
Penafian: Artikel yang disiarkan The Merdeka Times ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak semestinya menggambarkan pendirian Editorial The Merdeka Times dalam isu yang dikupas.