Terkini
Calon PH nafi jentera kempen langgar peraturan pilihan raya
Calon Pakatan Harapan (PH), Pang Sock Tao menafikan dakwaan beliau dan jentera parti melanggar peraturan pilihan raya ketika berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB).

- Calon Pakatan Harapan (PH), Pang Sock Tao menafikan dakwaan beliau dan jentera parti melanggar peraturan pilihan raya ketika berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB).
- Pang, 31, yang dipertaruhkan mewakili Kerajaan Perpaduan, sebaliknya yakin beliau dan jentera parti mematuhi segala peraturan pilihan raya dan undang-undang yang ditetapkan.
- “Kita berkempen secara berhemah, pembangkang boleh bersuara apa sahaja namun fokus kita (adalah) untuk pastikan kemenangan berpihak kepada Kerajaan Perpaduan,” katanya kepada pemberita selepas meninjau proses pengundian awal di Dewan Serbaguna Maktab Polis Diraja Malaysia di Hulu Selangor, hari ini.
- Bekas Setiausaha Akhbar kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu berkata demikian mengulas dakwaan Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan seperti dilaporkan media semalam bahawa kerajaan menyalahgunakan aset untuk berkempen pada PRK KKB.
- Hari pengundian bagi PRK berkenaan ditetapkan pada Sabtu ini
KUALA LUMPUR — Calon Pakatan Harapan (PH), Pang Sock Tao menafikan dakwaan beliau dan jentera parti melanggar peraturan pilihan raya ketika berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB).
Pang, 31, yang dipertaruhkan mewakili Kerajaan Perpaduan, sebaliknya yakin beliau dan jentera parti mematuhi segala peraturan pilihan raya dan undang-undang yang ditetapkan.
“Kita berkempen secara berhemah, pembangkang boleh bersuara apa sahaja namun fokus kita (adalah) untuk pastikan kemenangan berpihak kepada Kerajaan Perpaduan,” katanya kepada pemberita selepas meninjau proses pengundian awal di Dewan Serbaguna Maktab Polis Diraja Malaysia di Hulu Selangor, hari ini
Bekas Setiausaha Akhbar kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu berkata demikian mengulas dakwaan Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan seperti dilaporkan media semalam bahawa kerajaan menyalahgunakan aset untuk berkempen pada PRK KKB.
Laporan itu menyebut, Takiyuddin berkata Perikatan Nasional (PN) akan memfailkan petisyen di Mahkamah Pilihan Raya sekiranya PH menang pada PRK berkenaan.
Terdahulu, Pang tiba di pusat pengundian awal kira-kira pukul 9.05 pagi dan meluangkan masa selama 15 minit untuk meninjau proses berkenaan yang berlangsung dalam keadaan cuaca baik.
Turut meninjau perjalanan proses pengundian awal di dewan itU ialah calon PN Khairul Azhari Saut.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan peratusan keluar menunaikan tanggungjawab bagi undi awal adalah sebanyak 24 peratus setakat 9 pagi tadi.
Selain Dewan Serbaguna Maktab Polis Diraja Malaysia, pengundian awal juga berlangsung di Rejimen Semboyan Divisyen ke-4 Infantri, Kem Erskine yang dibuka serentak pada 8 pagi dan akan ditutup pada 5 petang ini.
PRK yang menyaksikan pertembungan empat penjuru membabitkan Pang, Khairul Azhari, Hafizah Zainuddin (Parti Rakyat Malaysia) dan Nyau Ke Xin (Bebas), diadakan susulan kematian penyandangnya Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lepas akibat kanser.
Hari pengundian bagi PRK berkenaan ditetapkan pada Sabtu ini. — BERNAMA
