Connect with us

Kolumnis

Tidak perlu paranoid & Islamofobia, pindaan Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan bukan semata-mata menyentuh isu Islam

TIDAK dinafikan bahawa Perlembagaan Persekutuan merupakan undang-undang tertinggi negara Malaysia sebagaimana Perkara 4 (1) Perlembagaan Persekutuan secara jelas menyatakan sedemikian.

Avatar

Published

on

Foto: Gambar sekadar hiasan.

TIDAK dinafikan bahawa Perlembagaan Persekutuan merupakan undang-undang tertinggi negara Malaysia sebagaimana Perkara 4 (1) Perlembagaan Persekutuan secara jelas menyatakan sedemikian.

Namun di bawah peruntukan sama juga iaitu di Fasal 3 menerangkan berkenaan kesahan mana-mana undang-undang dibuat Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak boleh semata-mata dipersoalkan berkenaan kuasa gubalan undang-undang yang diperuntukkan melainkan rujukan ke Mahkamah untuk menentusahkan kesahan undang-undang digubal Parlimen dan/atau DUN tersebut.

Parlimen merangkumi tiga komponen utama iaitu Yang Di-Pertuan Agong (YDPA), Dewan Rakyat dan Dewan Negara adalah merupakan badan gubalan undang-undang Persekutuan. 

Maka doktrin pengasingan kuasa perlu difahami dengan tuntas dan jelas berbanding semata-mata penggantungan kepada doktrin struktur asas (BSD) yang dihujahkan sebahagian individu sebagai suci dan tidak boleh digubal. 

Oleh demikian, penghayatan kepada sejarah undang-undang negara bukan hanya tertakluk kepada penafsiran harfiah, tetapi wujudnya pelbagai bentuk tafsiran perundangan untuk diambil kira dan diimbal baik bagi memelihara ruh dan prinsip penggubal undang-undang (lawmaker) negara kita. 

Parlimen selaku badan gubalan undang-undang Persekutuan diasingkan dengan Badan Eksekutif (Cabinet) dan Badan Kehakiman (Judiciary) adalah komponen penting untuk menyemak imbang (check & balance) sebarang kuasa yang diperuntukkan ke atas Badan Eksekutif dan Badan Kehakiman, begitu juga sebaliknya.

Memandangkan Perlembagaan Persekutuan merupakan undang-undang tertinggi negara, adakah peruntukan-peruntukan di dalam Perlembagaan Persekutuan dihalang secara total daripada sebarang pindaan kepadanya? 

Jawapannya adalah merujuk kepada peruntukan Perkara 159 Perlembagaan Persekutuan yang memberikan kuasa pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan ke atas Parlimen. 

Jika dirujuk kepada Perkara 159 Fasal 4 Perlembagaan Persekutuan secara jelas membenarkan pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan menurut Fasal 3 yang melibatkan Perkara 74 Perlembagaan Persekutuan iaitu hal perkara undang-undang Persekutuan dan Negeri yang menyentuh secara langsung kepada Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan (Senarai Persekutuan, Senarai Bersama dan Senarai Negeri).

Justeru, dakwaan sebahagian pihak bahawa sebarang percubaan kepada pindaan Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan akan menyinggung Doktrin Struktur Asas dan memusnahkan semangat Perjanjian Malaysia adalah suatu yang tidak patut dinyatakan tanpa melihat dan menghayati terlebih dahulu semangat dan ruh Perlembagaan Persekutuan. 

Sebagai tambahan, Pindaan Perlembagaan tersebut memberi kebebasan dan autonomi lebih luas kepada DUN untuk pinda Kesalahan Jenayah Syariah Negeri masing-masing, termasuk negeri Sarawak dan Sabah. 

Justeru, pindaan tersebut langsung tidak mengganggu gugat atau mengancam Perjanjian Malaysia (MA63) sepertimana didakwa seorang wakil rakyat dari Sarawak.

Pindaan kepada Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan bukan hanya semata-mata menyentuh isu Islam (tidak perlu paranoid dan Islamofobia) tetapi isu-isu melibatkan perihal-perihal Persekutuan dan Negeri sebagaimana terkandung di dalam Jadual Kesembilan (Senarai Persekutuan, Senarai Bersama dan Senarai Negeri). 

Misalan pindaan kepada Jadual Kesembilan dapat dilihat melibatkan isu pengurusan industri perkhidmatan air negara yang dipinda di bawah Senarai Bersama Jadual Kesembilan memberi suatu impak yang besar dan amat baik kepada negara.

Kenapa tidak kepada pindaan berkenaan kuasa gubalan Persekutuan dan Negeri dalam melibatkan perihal agama Islam, termasuk tetapi tidak terhad kepada perincian dan pengkategorian spesifik di bawah Senarai 1 Senarai Persekutuan, item 4 Jadual Kesembilan di bawah Undang-undang dan tatacara sivil dan jenayah dan pentadbiran keadilan termasuk, perenggan (h) iaitu berkenaan pewujudan kesalahan berkenaan dengan mana-mana perkara yang termasuk dalam Senarai Persekutuan atau yang diperkatakan oleh undang-undang Persekutuan dengan Senarai 2 Senarai Negeri, item 1.

Akhir kalam, hayati, fahami dan kenal bukan sekadar tahu berkenaan peruntukan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan yang secara terang lagi bersuluh memberi jaminan bahawa agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana Bahagian Persekutuan meskipun Islam ialah agama bagi Persekutuan. – The Merdeka Times

Muhammad Hariz Md Yusoff adalah Timbalan Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM).

Penafian: Artikel yang disiarkan The Merdeka Times ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak semestinya menggambarkan pendirian Editorial The Merdeka Times dalam isu yang dikupas.

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *





Kolumnis

Bukankah sambut hari raya Aidilfitri sehari sahaja, bukan sebulan?

SEAKAN menjadi adat tradisi di Malaysia, Hari Raya Aidilfitri amat sinonim dengan ‘perayaan sebulan’ di mana ia akan diraikan selama sebulan setelah sebulan berpuasa pada bulan Ramadan.

Research And Development MRM

Published

on

Foto: Gambar sekadar hiasan.

SEAKAN menjadi adat tradisi di Malaysia, Hari Raya Aidilfitri amat sinonim dengan ‘perayaan sebulan’ di mana ia akan diraikan selama sebulan setelah sebulan berpuasa pada bulan Ramadan.

Ia merupakan musim perayaan yang sangat dinantikan dan dirai penuh kegembiraan di mana waktu ini digunakan untuk menziarahi ke rumah keluarga dan rakan-rakan bagi merapatkan lagi hubungan silaturrahim.

Selama sebulan juga, terutamanya masyarakat Melayu Muslim, rumah-rumah mereka akan ‘dibuka’ dengan menghidangkan pelbagai juadah dan rumah dihias cantik untuk menyambut tetamu yang datang.

Namun, persoalan yang sering timbul adalah ‘Adakah tradisi ‘raya sebulan’ ini bertepatan dengan syariat Islam? Bukankah Islam hanya menganjurkan sehari sahaja dalam menyambut Aidilfitri, bukannya sebulan?’

Menariknya, persoalan ini telahpun dijawab menerusi artikel ‘Irsyad Al-Fatwa Siri Ke-684: Bolehkah Menyambut Hari Raya selama Sebulan Syawal’ dan ‘Al-Kafi #1296: Sambut Hari Raya Sebulan itu Bid’ah?’ di laman sesawang rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

Artikel itu mengatakan sememangnya Hari Raya Aidilfitri yang disyariatkan hanyalah pada satu Syawal. Ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW ketika baginda tiba di Madinah, penduduk Madinah menyambut dua perayaan. Lalu Baginda SAW bersabda,

“Sesungguhnya Allah telah menggantikan kepada kamu dua hari yang terbaik iaitu Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha.” (Riwayat Ahmad, No. 12362)

Ini bermakna, hanya dua perayaan disyariatkan bagi umat Islam untuk dirayakan atas perintah Allah SWT.

Namun, apakah membezakan hari raya yang disyariatkan dengan hari-hari lain? Bezanya adalah pada amalan ibadat yang khusus diperintahkan untuk dilakukan pada hari tersebut.

Sebagai contoh, Hari Raya Aidilfitri disyariatkan melakukan ibadah solat hari raya, menunaikan zakat fitrah dan takbir yang hanya berlaku pada satu Syawal. Bahkan, pada hari tersebut umat Islam diharamkan berpuasa.

Dan sesudah hari tersebut tidak disyariatkan dengan apa-apa amalan ibadat khusus. Tiada lagi ibadat seperti solat sunat, mandi sunat dan takbir hari raya.

Maka, amalan ziarah-menziarahi sanak saudara bukanlah satu amalan ibadat yang dikhususkan dalam perayaan Aidilfitri. Ia hanyalah suatu tradisi yang baik dan diharuskan dalam Islam.

Mengikut Pejabat Mufti WP, mana-mana adat tradisi yang tidak bertentangan dengan nas-nas syarak, maka hukum asalnya adalah harus. Dalam kaedah Fiqh disebutkan:

“Asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut)” (Al-Asyhbah wa al-Nazoir, ms. 60)

Bahkan tiada sesiapa pun mengikat amalan seperti ziarah-menziarahi, bermaafan, menjamu makan dan seumpamanya hanya mesti diadakan pada hari raya.

Ia sekadar tradisi diamalkan demi mengambil keberkatan bulan Syawal yang mulia.

Kesimpulannya, hari raya Aidilfitri yang disyariatkan sememangnya pada satu Syawal. Namun, tiada masalah untuk menyambut hari raya dengan melakukan ziarah-menziarahi sepanjang Syawal kerana ia merupakan kebiasaan yang baik dan ia diharuskan dalam Islam.

Malah, dalam satu hadis Rasulullah SAW pernah menceritakan betapa cintanya Allah SWT kepada mereka yang menziarahi orang lain. Sabdanya

“Seorang lelaki menziarahi saudaranya di satu perkampungan yang lain. Lalu Allah menghantar malaikat untuk berada di jalan ke kampung yang ingin dia tuju. Apabila lelaki itu sudah mendekat, malaikat itu bertanya: Ke manakah engkau mahu pergi? Jawab lelaki itu: Aku mahu menziarahi saudaraku yang ada di kampung ini. Malaikat berkata: Adakah engkau ada harta yang ingin diberikan kepadanya? Lelaki itu berkata: Tidak. Sesungguhnya aku mencintainya kerana Allah. Malaikat itu berkata: Sesungguhnya aku adalah utusan Allah yang dihantar kepada engkau. Allah mencintai engkau sebagaimana engkau mencintai saudara engkau itu.” (Riwayat Muslim, No. 6714) –The Merdeka Times

Penafian: Artikel yang disiarkan The Merdeka Times ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak semestinya menggambarkan pendirian Editorial The Merdeka Times dalam isu yang dikupas.

Author

Teruskan Membaca

Kata Kunci

Trending