Agama
Syirik terlibat dalam upacara ‘blessing’ kereta
“Dosa yang paling besar adalah menyekutukan (sesuatu) kepada Allah” (Sahih Bukhari, no 6919).
“Dosa yang paling besar adalah menyekutukan (sesuatu) kepada Allah” (Sahih Bukhari, no 6919).
Baru-baru ini, tular satu video di media sosial memaparkan seorang penjual kereta berbangsa Melayu menyediakan beberapa barangan upacara blessing untuk pelanggannya beragama Hindu.
Video tersebut mengundang pelbagai reaksi, namun penjual kereta itu mengatakan bahawa tindakannya adalah satu tradisi lama yang dirasakan wajar bagi menghormati kepercayaan agama lain.
“I did this out of respect for people of diverse faiths. It felt like the right thing to do in our multicultural society (Saya melakukan ini kerana menghormati kepercayaan berbeza. Saya rasa ia perkara yang perlu dilakukan dalam masyarakat kita yang pelbagai),” katanya kepada Free Malaysia Today (FMT) pada Jumaat.
Tindakannya dipuji FMT sehingga diangkat sebagai headline laporannya, ‘Kudos for saleswoman who helped customer’s car blessing’. (Tahniah kepada penjual kereta wanita yang bantu upacara ‘blessing’ pelanggannya)
Adakah portal itu ingin memaksudkan jika komuniti bukan Muslim terlibat dalam upacara keagamaan lain yang bercanggah dengan kepercayaan agama tersebut, maka mereka boleh dipuji dan dianggap toleransi?
Malah rata-rata wargamaya bukan Muslim turut memberi komentar positif dan menyokong, malah berdoa agar penjual kereta itu dimurahkan rezeki dek upacara tersebut.
Mereka percaya upacara ‘blessing’ kereta itu dapat memberi keberkatan yang boleh menghilangkan energi negatif dan meningkatkan rezeki.
Dalam tradisi Hindu, amalan blessing kereta ini dinamakan Vaahan Puja adalah upacara doa yang sememangnya dilakukan penganut Hindu sejurus memperoleh kenderaan baru.
Sama seperti dalam video tersebut, upacara itu memerlukan dua bahan pemujaan seperti limau dan kelapa yang memiliki simbolik kepercayaan tersendiri.
Di mana mereka perlu meletakkan limau di bawah setiap tayar kereta dan kemudiannya memandu ke atas limau tersebut sebagai simbol hilangnya tenaga negatif.
Setelah itu, mereka akan memecahkan sebiji kelapa di sebelah kereta sehingga menampakkan pulpa putih yang dianggap sebagai simbol kebersihan dan kesucian.
Sepanjang upacara tersebut, mereka akan sentiasa membaca mantra-mantra dan doa untuk memohon berkat Tuhan. Percaya bahawa berkat itu dapat menghilangkan energi negatif dan mengurangkan risiko kemalangan sewaktu memandu kenderaan tersebut.
Maka adil untuk kita katakan Vaahan Puja adalah upacara keagamaan Hindu yang jelas bercanggah dengan akidah kepercayaan Islam dan bukan tradisi Islam.
Ini kerana berdoa dan meminta keberkatan daripada tuhan selain Allah untuk keselamatan diri adalah syirik (menyekutukan Allah dengan perkara lain).
Memetik artikel laman web Hindu, Jagat Guru Rampal Ji menyatakan penganut Hindu juga dilarang, malah disifatkan bodoh berdoa kepada tuhan lain selain tuhan-tuhan Hindu.
Sudah terangan-terangan tuhan yang disembah mereka berbeza dengan Muslim. Sekiranya seseorang Muslim bersikap lewa dalam isu akidah asbab bertoleransi, dikhuatiri boleh tergelincir dalam lubang syirik.
‘Syirik adalah menjadikan sekutu bagi Allah yang mana dia berdoa kepadanya seperti dia berdoa kepada Allah, atau takut kepadanya, atau mengharap kepadanya atau dia mencintainya sebagaimana kecintaan kepada Allah, atau dia melakukan satu jenis daripada jenis-jenis ibadah’. (Syeikh ‘Abd al-Rahman al-Sa’di dalam kitab al-Qaul al-Sadid fi Maqasid al-Tauhid)
Walaupun dikatakan si penjual kereta itu tidaklah menyertai upacara Vaahan Puja tersebut, namun beliau menyediakan bahan-bahan pujaan atas kerelaannya sendiri selama bertahun-tahun.
Itu yang menimbulkan keraguan, sedangkan Rasulullah SAW bersabda:
“Siapa pun yang mengajak kepada kesesatan, maka ia akan mendapat dosa sebanyak yang diperoleh orang-orang yang mengikutinya tanpa mengurangi dosa mereka sedikitpun”. (Sahih Muslim, no 2674) – The Merdeka Times
Penafian: Artikel yang disiarkan The Merdeka Times ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak semestinya menggambarkan pendirian Editorial The Merdeka Times dalam isu yang dikupas.