Connect with us

Terkini

Salahkah bukan Muslim buat konten ‘Puasa Ramadan Challenge’?

Beberapa hari lalu, tular video yang dibuat oleh seorang pempengaruh Tiktok yang menegur sebahagian pempengaruh bukan Muslim yang seolah-olah menggunakan bulan Ramadan sebagai konten di media sosial mereka. 

Research And Development MRM

Published

on

Salahkah bukan Muslim buat konten ‘Puasa Ramadan Challenge’?
Foto: Gambar sekadar hiasan.

Beberapa hari lalu, tular video yang dibuat oleh seorang pempengaruh Tiktok yang menegur sebahagian pempengaruh bukan Muslim yang seolah-olah menggunakan bulan Ramadan sebagai konten di media sosial mereka. 

“Realitinya mereka tak suka Islam pun. Tak ada kawan Muslim. Bila ajak belajar Islam bagi alasan sibuk. Islam hanya untuk content,” tegur pempengaruh itu dalam hantaran videonya.

Saya percaya tujuan teguran pempengaruh itu adalah untuk mempertahankan kesucian Islam dan bulan Ramadan yang merupakan bulan keberkatan bagi orang Islam daripada konten-konten yang dikatakan untuk ‘meraih populariti’. 

Sebab bagaikan fenomena apabila menjelangnya Ramadan, ramai yang bukan beragama Islam turut berpuasa bersama dan ada juga yang berkongsi pengalaman mereka berpuasa, bersahur dan beriftar di media sosial. 

Ini bukanlah sesuatu yang asing di Malaysia. Salahkah mereka yang bukan Muslim berpuasa dan ‘menunjuk’ di muka awam?

Berbeza dengan Muslim yang disyariatkan supaya berpuasa keranaNya sepertimana dalam Surah al-Baqarah 2:183; “Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang terdahulu daripada kamu supaya kamu bertaqwa”. 

Orang bukan Muslim sama sekali tidak diwajibkan berpuasa. Jadi, berpuasa kerana Allah tidak terpakai kepada bukan Muslim. 

Apatah lagi bersoal tentang niat, kita sendiri tidak mampu memastikan secara jelas atau mengukur sejauh mana keikhlasan pempengaruh-pempengaruh tersebut membuat hantaran sedemikian. 

Mungkin ada sebahagian bukan Muslim berpuasa semata-mata sebagai konten untuk mengejar views yang tinggi dan raih populariti.

Mungkin ada yang berpuasa untuk kurus dan hendak badan fit. Apa-apa niat mereka sekalipun, itu terserah kepada mereka. 

Namun apa yang pasti, konten bukan Muslim berkait Ramadan seperti ‘Puasa Challenge’ jelas tidak menentang mahupun menghina Islam. 

Secara peribadi, penulis melihat selagi mana konten-konten tersebut adalah konten yang bermanfaat untuk Islam serta tidak menghina, menentang dan mempersendakan Islam, janganlah kita menyempitkan cara pandang serta menghalang mereka untuk berpuasa bersama. 

Sebaliknya, inilah masanya yang sepatutnya digunakan Muslim untuk menyampaikan keunikan bulan Ramadan dan tarikan Islam kepada masyarakat bukan Muslim di platform media sosial. 

Dan bukannya sentiasa bersikap defensif setiap kali bukan Muslim berbicara tentang Islam. Firman Allah SWT: 

“Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu. Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.” (Surah al Mumtahanah 60: 8)

Mengambil ibrah daripada kisah Abu Sufyan, sahabat Nabi yang saat itu belum memeluk Islam telah menyampaikan tentang Islam secara tidak langsung kepada pembesar Rom, Heraclius. 

Setiap persoalan yang diajukan Heraclius telah dijawab dengan benar tanpa menghina Islam meskipun dirinya bukan Muslim yang membuatkan pemerintah Rom itu tertarik dengan Islam. 

Aku (Heraclius) bertanya kepada kamu (Abu Sufyan): ‘Apakah yang diperintahkan terhadap kamu? Lalu kamu nyatakan bahawa dia (Muhammad) memerintahkan kamu menyembah Allah dan tidak menyekutukan-Nya dengan yang lain, melarang kamu menyembah apa yang disembah oleh nenek moyangmu, memerintahkan kamu supaya mengerjakan solat, sedekah..”

Heraclius berkata: “Inilah sifat para Nabi, sesungguhnya aku telah mengetahui bahawa dia akan keluar akan tetapi aku tidak mengetahui bahawa dia berasal dari kalangan kamu, sekiranya apa yang kamu katakan itu benar, maka telah hampir masa bahawa dia akan menguasai tanah yang berada di bawah tapak kakiku. Sekiranya ada harapan untukku menemuinya, maka aku akan bersungguh-sungguh untuk menemuinya. Kalau aku berada di sampingnya makan aku akan mencuci kedua-dua kakinya.” (Sahih al Bukhari, no 2941) 

Maka, saya berpendapat trend-trend sebegini mampu menjangkau lebih ramai orang untuk mengenali Islam dengan lebih dekat yang sepatutnya dimanfaatkan.   

Sepertimana trend popular ‘bukan Muslim membaca al-Qur’an’ (Non-Muslim reading the Qur’an) yang digerakkan oleh Megan Rice, seorang pempengaruh Tiktok yang berjaya menarik jutaan views untuk mengetahui tentang ajaran Islam yang sebenar.

Foto: Bermula sekadar trend di Tiktok, kini menjadi Muslim.

Sebagai seorang tidak beragama pada ketika itu, Rice sangat terinspirasi dengan kesabaran rakyat Palestin yang kini dalam konflik peperangan tetapi tidak pernah menyalahkan takdir. 

Apabila video miliknya tular, ramai netizen memberi komen ‘Well yeah, girl, that’s Islam. Have you read the Qur’an? You should probably read the Qur’an. (Saudari, itulah Islam. Sudahkah anda membaca al-Qur’an? Anda mungkin perlu membaca al-Qur’an) 

Bermula sekadar daripada komentar warga netizen yang mendorongnya membaca al-Qur’an, tanpa jemu, Rice berkongsi dengan lebih 600,000 orang pengikutnya pada setiap hari tentang ayat Al-Qur’an yang dibacanya dan berasa kagum bagaimana kitab suci itu mampu menjawab semua persoalannya. 

Sehingga akhirnya berjaya menjadi satu trend di Tiktok yang diikuti oleh pempengaruh-pempengaruh bukan Muslim lain. 

Alhamdulillah dengan izin Allah SWT, penggerak trend itu sendiri memeluk agama Islam pada November lalu dan menjadi asbab pempengaruh bukan Muslim lain turut memeluk agama Islam. 

Hanya dengan bercerita dan berkongsi mengenai al-Qur’an sahaja dapat mempromosi Islam di kawasan-kawasan dan individu-individu yang Muslim tidak mampu untuk santuni.

Ini satu trend yang menarik, bermanfaat dan tidak berat sebelah kerana ia datang daripada mereka yang bukan beragama Islam. 

Jika pendapat itu hanya diterangkan Muslim, semestinya masyarakat menganggap bahawa Muslim hanya menceritakan perkara-perkara baik sahaja dan menyembunyikan perkara buruk dalam agama Islam. 

Sepatutnya kita yang beragama Islam rasa tertampar dan terpukul kerana bukan Muslim yang lebih aktif dan bersemangat berkongsi mengenai Islam berbanding kita. 

Bukannya memerli mereka yang bukan Muslim hendak mendekati dan mengenali Islam atas tiket ‘raih populariti’ atau ‘menunggangi’ agama dan merasakan Islam hanya eksklusif untuk Muslim. –The Merdeka Times  

Penafian: Artikel yang disiarkan The Merdeka Times ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak semestinya menggambarkan pendirian Editorial The Merdeka Times dalam isu yang dikupas.

Author

Terkini

Susu formula, makanan bayi ikut piawaian makanan tempatan dan dunia – Nestle Malaysia

Produk susu formula dan makanan bayi Nestle Malaysia mematuhi piawaian antarabangsa dan peraturan makanan tempatan.

Wartawan TMT

Published

on

Foto: Gambar sekadar hiasan.
  • Produk susu formula dan makanan bayi Nestle Malaysia mematuhi piawaian antarabangsa dan peraturan makanan tempatan.
  • Nestle Malaysia berkata ia termasuk keperluan pelabelan khusus dalam produk mereka yang mengikut had ambang untuk karbohidrat dan gula tambahan.
  • Katanya, susu formula bayi Nestle dan Wyeth menggunakan laktosa sebagai sumber tunggal karbohidrat. 
  • “Begitu juga bijirin bayi Nestle mematuhi kedua-dua piawaian antarabangsa dan peraturan makanan Malaysia.
  • “Di mana sahaja produk kami dijual, profil pemakanannya mematuhi semua peraturan tempatan yang terpakai,” kata Nestle Malaysia dalam kenyataan yang dipetik New Straits Times semalam.
  • Kenyataan itu mengulas mengenai kajian Public Eye dan International Baby Food Action Network (IBFAN) yang mendapati tahap gula tambahan yang tinggi dalam produk Nestle menyasarkan bayi di Asia, Afrika dan Amerika Latin.

KUALA LUMPUR – Produk susu formula dan makanan bayi Nestle Malaysia mematuhi piawaian antarabangsa dan peraturan makanan tempatan.

Nestle Malaysia berkata ia termasuk keperluan pelabelan khusus dalam produk mereka yang mengikut had ambang untuk karbohidrat dan gula tambahan.

Katanya, susu formula bayi Nestle dan Wyeth menggunakan laktosa sebagai sumber tunggal karbohidrat. 

“Laktosa juga sumber utama karbohidrat dalam susu tumbesaran Nestle dan Wyeth.

“Begitu juga bijirin bayi Nestle mematuhi kedua-dua piawaian antarabangsa dan peraturan makanan Malaysia.

“Di mana sahaja produk kami dijual, profil pemakanannya mematuhi semua peraturan tempatan yang terpakai,” kata Nestle Malaysia dalam kenyataan yang dipetik New Straits Times semalam.

Nestle Malaysia bagaimanapun berkata sedikit variasi dalam resipi merentas negara akan bergantung kepada beberapa faktor, termasuk memenuhi keperluan peraturan tempatan dan ketersediaan bahan tempatan.

Kajian Public Eye dan International Baby Food Action Network (IBFAN) sebelum ini mendapati tahap gula tambahan yang tinggi dalam produk Nestle menyasarkan bayi di Asia, Afrika dan Amerika Latin.

Kajian dikongsikan Al Jazeera Plus (AJ+) dalam Instagram semalam mendapati bijirin berasaskan gandum, Cerelac untuk bayi berusia enam bulan mempunyai 6 gram (g) gula tambahan di Thailand, 5.2g gula tambahan di Ethiopia dan 4g gula tambahan di Afrika Selatan.

Sedangkan produk sama yang dijual di United Kingdom (UK) dan Jerman tidak mengandungi sebarang gula tambahan. – The Merdeka Times

Author

Teruskan Membaca

Kata Kunci

Trending