Connect with us

Terkini

McDonald’s Malaysia tarik balik saman terhadap BDS

McDonald’s Malaysia akan menarik balik saman fitnah yang difailkan terhadap Boycott Divestment Sanctions (BDS) Malaysia berikutan hasil positif mediasi dan penjelasan dibuat gerakan itu.

Hidayah Sani

Published

on

Foto: Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia, Datuk Azmir Jaafar.
  • Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia, Datuk Azmir Jaafar berkata saman difailkan itu sebelum ini adalah sebagai langkah untuk memastikan semua pihak memahami dengan jelas tentang kedudukan McDonald’s Malaysia dalam konflik yang berlaku di Timur Tengah ketika ini.
  • “Dengan hasil positif mediasi dan penjelasan dibuat BDS dalam kenyataan terkini mereka, bahawa tindakan pengendali McDonald’s di Israel sama sekali tiada kena mengena dengan McDonald’s Malaysia, kami akan menarik balik saman fitnah tersebut.
  • “Kami tetap teguh dengan pendirian kami untuk tidak menyokong dan tidak terlibat dalam sebarang konflik atau peperangan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
  • Pada Disember tahun lalu, media melaporkan McDonald’s Malaysia memfailkan saman sivil terhadap BDS Malaysia.
  • Pemilik francais McDonald’s di Malaysia, Gerbang Alaf Restaurants Sdn Bhd (GAR) menuntut jumlah kerugian hasil RM3 juta, pampasan untuk pekerja yang diberhentikan (RM1.5 juta) dan tamat tempoh bahan (RM1.5 juta).

KUALA LUMPUR — McDonald’s Malaysia akan menarik balik saman fitnah yang difailkan terhadap Boycott Divestment Sanctions (BDS) Malaysia berikutan hasil positif mediasi dan penjelasan dibuat gerakan itu.

Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia, Datuk Azmir Jaafar berkata saman difailkan itu sebelum ini adalah sebagai langkah untuk memastikan semua pihak memahami dengan jelas tentang kedudukan McDonald’s Malaysia dalam konflik yang berlaku di Timur Tengah ketika ini.

“Dengan hasil positif mediasi dan penjelasan dibuat BDS dalam kenyataan terkini mereka, bahawa tindakan pengendali McDonald’s di Israel sama sekali tiada kena mengena dengan McDonald’s Malaysia, kami akan menarik balik saman fitnah tersebut.

“Kami tetap teguh dengan pendirian kami untuk tidak menyokong dan tidak terlibat dalam sebarang konflik atau peperangan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Azmir berkata pihaknya sangat bersimpati dengan nasib mereka yang tidak bersalah di tengah-tengah konflik melanda di Gaza.

Beliau mengutuk semua bentuk keganasan dan berdoa supaya peperangan segera tamat dan keamanan dapat diwujudkan secara berterusan.

“McDonald’s Malaysia terus menyokong rakyat Palestin yang terkesan melalui sumbangan kami kepada Tabung Kemanusiaan Palestin dan pelbagai inisiatif pengumpulan dana oleh warga kerja kami untuk terus menyokong misi bantuan di Gaza.

“Kami berharap keputusan yang dibuat hari ini membolehkan semua pihak berganding bahu dan menumpukan usaha mencari penyelesaian demi menegakkan keadilan,” katanya. 

Azmir juga berkata pihaknya berbangga menjadi sebahagian anggota masyarakat di Malaysia selepas beroperasi lebih empat dekad di Malaysia dan sebagai perniagaan 100 peratus milik Muslim.

Beliau berkata pihaknya juga akan tetap komited untuk bersikap telus, menjalankan perniagaan yang beretika dan melaksanakan tanggungjawab sosial terhadap seluruh rakyat Malaysia.

Pada Disember tahun lalu, media melaporkan McDonald’s Malaysia memfailkan saman sivil terhadap BDS Malaysia.

Pemilik francais McDonald’s di Malaysia, Gerbang Alaf Restaurants Sdn Bhd (GAR) menuntut jumlah kerugian hasil RM3 juta, pampasan untuk pekerja yang diberhentikan (RM1.5 juta) dan tamat tempoh bahan (RM1.5 juta).

Dalam pernyataan tuntutannya, GAR berkata syarikat itu 100 peratus dimiliki orang Islam dan 55 peratus daripada pelanggannya merupakan Muslim. 

Untuk makluman, mediasi adalah alternatif penyelesaian kes secara baik, tanpa melalui proses perbicaraan penuh dengan mediator terdiri daripada hakim dan pegawai kehakiman berpengalaman. — The Merdeka Times

Author

Kolumnis

Bukankah sambut hari raya Aidilfitri sehari sahaja, bukan sebulan?

SEAKAN menjadi adat tradisi di Malaysia, Hari Raya Aidilfitri amat sinonim dengan ‘perayaan sebulan’ di mana ia akan diraikan selama sebulan setelah sebulan berpuasa pada bulan Ramadan.

Research And Development MRM

Published

on

Foto: Gambar sekadar hiasan.

SEAKAN menjadi adat tradisi di Malaysia, Hari Raya Aidilfitri amat sinonim dengan ‘perayaan sebulan’ di mana ia akan diraikan selama sebulan setelah sebulan berpuasa pada bulan Ramadan.

Ia merupakan musim perayaan yang sangat dinantikan dan dirai penuh kegembiraan di mana waktu ini digunakan untuk menziarahi ke rumah keluarga dan rakan-rakan bagi merapatkan lagi hubungan silaturrahim.

Selama sebulan juga, terutamanya masyarakat Melayu Muslim, rumah-rumah mereka akan ‘dibuka’ dengan menghidangkan pelbagai juadah dan rumah dihias cantik untuk menyambut tetamu yang datang.

Namun, persoalan yang sering timbul adalah ‘Adakah tradisi ‘raya sebulan’ ini bertepatan dengan syariat Islam? Bukankah Islam hanya menganjurkan sehari sahaja dalam menyambut Aidilfitri, bukannya sebulan?’

Menariknya, persoalan ini telahpun dijawab menerusi artikel ‘Irsyad Al-Fatwa Siri Ke-684: Bolehkah Menyambut Hari Raya selama Sebulan Syawal’ dan ‘Al-Kafi #1296: Sambut Hari Raya Sebulan itu Bid’ah?’ di laman sesawang rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

Artikel itu mengatakan sememangnya Hari Raya Aidilfitri yang disyariatkan hanyalah pada satu Syawal. Ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW ketika baginda tiba di Madinah, penduduk Madinah menyambut dua perayaan. Lalu Baginda SAW bersabda,

“Sesungguhnya Allah telah menggantikan kepada kamu dua hari yang terbaik iaitu Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha.” (Riwayat Ahmad, No. 12362)

Ini bermakna, hanya dua perayaan disyariatkan bagi umat Islam untuk dirayakan atas perintah Allah SWT.

Namun, apakah membezakan hari raya yang disyariatkan dengan hari-hari lain? Bezanya adalah pada amalan ibadat yang khusus diperintahkan untuk dilakukan pada hari tersebut.

Sebagai contoh, Hari Raya Aidilfitri disyariatkan melakukan ibadah solat hari raya, menunaikan zakat fitrah dan takbir yang hanya berlaku pada satu Syawal. Bahkan, pada hari tersebut umat Islam diharamkan berpuasa.

Dan sesudah hari tersebut tidak disyariatkan dengan apa-apa amalan ibadat khusus. Tiada lagi ibadat seperti solat sunat, mandi sunat dan takbir hari raya.

Maka, amalan ziarah-menziarahi sanak saudara bukanlah satu amalan ibadat yang dikhususkan dalam perayaan Aidilfitri. Ia hanyalah suatu tradisi yang baik dan diharuskan dalam Islam.

Mengikut Pejabat Mufti WP, mana-mana adat tradisi yang tidak bertentangan dengan nas-nas syarak, maka hukum asalnya adalah harus. Dalam kaedah Fiqh disebutkan:

“Asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut)” (Al-Asyhbah wa al-Nazoir, ms. 60)

Bahkan tiada sesiapa pun mengikat amalan seperti ziarah-menziarahi, bermaafan, menjamu makan dan seumpamanya hanya mesti diadakan pada hari raya.

Ia sekadar tradisi diamalkan demi mengambil keberkatan bulan Syawal yang mulia.

Kesimpulannya, hari raya Aidilfitri yang disyariatkan sememangnya pada satu Syawal. Namun, tiada masalah untuk menyambut hari raya dengan melakukan ziarah-menziarahi sepanjang Syawal kerana ia merupakan kebiasaan yang baik dan ia diharuskan dalam Islam.

Malah, dalam satu hadis Rasulullah SAW pernah menceritakan betapa cintanya Allah SWT kepada mereka yang menziarahi orang lain. Sabdanya

“Seorang lelaki menziarahi saudaranya di satu perkampungan yang lain. Lalu Allah menghantar malaikat untuk berada di jalan ke kampung yang ingin dia tuju. Apabila lelaki itu sudah mendekat, malaikat itu bertanya: Ke manakah engkau mahu pergi? Jawab lelaki itu: Aku mahu menziarahi saudaraku yang ada di kampung ini. Malaikat berkata: Adakah engkau ada harta yang ingin diberikan kepadanya? Lelaki itu berkata: Tidak. Sesungguhnya aku mencintainya kerana Allah. Malaikat itu berkata: Sesungguhnya aku adalah utusan Allah yang dihantar kepada engkau. Allah mencintai engkau sebagaimana engkau mencintai saudara engkau itu.” (Riwayat Muslim, No. 6714) –The Merdeka Times

Penafian: Artikel yang disiarkan The Merdeka Times ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak semestinya menggambarkan pendirian Editorial The Merdeka Times dalam isu yang dikupas.

Author

Teruskan Membaca

Trending