Connect with us

Terkini

(VIDEO) Kerajaan digesa nilai ekosistem pendidikan vernakular, Malaysia perlu noktahkan pengasingan sekolah – Pemuda UMNO

Pemuda UMNO menggesa kerajaan melakukan penilaian menyeluruh terhadap ekosistem pendidikan vernakular yang kini merangkumi lebih 1,800 Sekolah Jenis Kebangsaan.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Hidayah Sani

Published

on

Kerajaan digesa nilai ekosistem pendidikan
Foto: Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh.
  • “Telah tiba masa dan ketikanya untuk Malaysia menoktahkan pemisahan dan pengasingan itu,” – Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh
  • Penilaian itu perlu dilakukan dalam aspek keselarasan silibus, penerapan nilai-nilai kenegaraan dan penguasaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
  • “Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia mencadangkan dihidupkan kembali suatu ruang dialog nasional bagi Malaysia meneroka wawasan baharu ke arah integrasi pendidikan negara dalam erti kata yang sebenar-benarnya. 
  • “Menginsafi kerumitan, sensitiviti dan polemik yang melingkari isu ini, Kerajaan tidak mempunyai pilihan melainkan menerajui usaha ini bagi memastikan ia diurus dalam kerangka penuh cermat, di luar pengaruh sentimen, syak wasangka dan hasutan,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Sabtu.
  • Dr Akmal yang juga merupakan ADUN Merlimau berkata pihaknya melihat dengan khuatir perkembangan polemik isu berkenaan yang akhir-akhir ini, menambah api perpecahan yang sedang marak. 

KUALA LUMPUR — Pemuda UMNO menggesa kerajaan melakukan penilaian menyeluruh terhadap ekosistem pendidikan vernakular yang kini merangkumi lebih 1,800 Sekolah Jenis Kebangsaan.

Ketua Pemudanya, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata penilaian itu perlu dilakukan dalam aspek keselarasan silibus, penerapan nilai-nilai kenegaraan dan penguasaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Beliau berkata kajian menyeluruh berhubung peluang penambahbaikan ekosistem pendidikan kebangsaan juga perlu dilakukan bagi memberi insentif dan tarikan kepada penyertaan murid berbilang bangsa.

Selain itu, dicadangkan juga pelaksanaan peta jalan jangka sederhana dan panjang ke arah model integrasi pendidikan di atas pasak kebersamaan nilai dan semangat kekitaan di antara rakyat berbilang bangsa, tanpa menyisihkan hak kaum-kaum di Malaysia untuk memelihara warisan bahasa ibunda masing-masing.

“Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia mencadangkan dihidupkan kembali suatu ruang dialog nasional bagi Malaysia meneroka wawasan baharu ke arah integrasi pendidikan negara dalam erti kata yang sebenar-benarnya. 

“Menginsafi kerumitan, sensitiviti dan polemik yang melingkari isu ini, Kerajaan tidak mempunyai pilihan melainkan menerajui usaha ini bagi memastikan ia diurus dalam kerangka penuh cermat, di luar pengaruh sentimen, syak wasangka dan hasutan,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Sabtu.

Foto: Tangkap layar Dr Muhamad Akmal Saleh di Facebook.

Dr Akmal yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau berkata pihaknya melihat dengan khuatir perkembangan polemik isu berkenaan yang akhir-akhir ini, menambah api perpecahan yang sedang marak. 

Beliau berkata segala apa berlaku ketika ini adalah cerminan walaupun hampir 70 tahun kemerdekaan dicapai, masih wujud suatu jurang nilai dan pemisahan persefahaman di antara rakyat Malaysia yang berbilang bangsa.

“Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia berpandangan bahawa ketegangan yang kian melarat ini adalah berakar daripada sistem pemisahan dan pengasingan yang dilaksanakan bermula di peringkat paling asas kehidupan rakyat, iaitu sejak dari bangku sekolah.

“Telah tiba masa dan ketikanya untuk Malaysia menoktahkan pemisahan dan pengasingan itu,” katanya. 

Isu sekolah vernakular sekali lagi menjadi perbahasan apabila Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok pada 4 Mac lalu, dilaporkan melabel Felo Kanan Majlis Profesor Negara (MPN), Profesor Emeritus Datuk Dr Teo Kok Seong sebagai rasis dalam Dewan Rakyat kerana membuat kenyataan didakwa berbaur hasutan berkenaan masyarakat Cina.

Ini susulan Kok Seong baru-baru ini dalam satu klip video di TikTok @themerdekatimes, mengatakan orang Cina tidak memandang tinggi kepada bangsa Melayu, sebaliknya mereka memandang hina, melihat bangsa Melayu sebagai tidak berkebolehan, tidak bijak seperti mereka, malas dan sebagainya hingga menyebabkan mereka enggan berintegrasi dan mempelajari bahasa Melayu.

Kok Seong berkata demikian ketika mengulas punca utama perpaduan kaum masih tidak sempurna hari ini selepas menyatakan penubuhan sekolah vernakular tidak boleh melebihi sekolah kebangsaan kerana ia hanya aliran sampingan, seharusnya tidak boleh mengatasi bilangan sekolah kebangsaan yang menjadi aliran utama sistem pendidikan negara.

Beliau tidak menafikan sekolah vernakular sememangnya menjadi penghalang kepada usaha mewujudkan perpaduan negara dan kaum. –- The Merdeka Times

Author