Connect with us

Terkini

Solidariti warga Palestin di Gaza, Ahli Parlimen Malaysia dijadual lawat Rafah

Tiga Ahli Parlimen dan seorang Ahli Dewan Negara mewakili pelbagai parti politik dari Malaysia dijadual melawat sempadan Rafah-Gaza dalam masa terdekat sebagai tanda solidariti kepada Palestin.

A.R. Khan

Published

on

Foto: Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin (kiri) dan Timbalan Menteri Luar Mesir, Hamdi Loza (kanan).
  • Tiga Ahli Parlimen dan seorang Ahli Dewan Negara mewakili pelbagai parti politik dari Malaysia dijadual melawat sempadan Rafah-Gaza dalam masa terdekat sebagai tanda solidariti kepada Palestin.
  • Lawatan ke lintasan sempadan Rafah itu, yang menjadi tempat penyaluran bantuan kemanusiaan Malaysia melalui Ops Ihsan membabitkan kerjasama rapat dengan kerajaan Mesir, antara acara dijadualkan bagi delegasi Malaysia diketuai Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin.
  • Wisma Putra dalam kenyataan media hari ini berkata Ahli Parlimen dari pelbagai parti politik itu adalah Syed Ibrahim Syed Noh (Ledang/PKR), Ahmad Tarmizi Sulaiman (Sik/PAS), Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy (Kalabakan/UMNO) dan Senator Datuk Wira Dr Mohd Hattta Md Ramli (Amanah).
  • Delegasi Malaysia yang berlepas ke Mesir semalam hingga Sabtu ini juga dijadual bertemu Timbalan Menteri Luar Mesir, Hamdi Loza, Ketua Pegawai Eksekutif Bulan Sabit Merah Mesir (ERC), Dr Rami Al Nazer dan melawat ke hospital seliaan Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin (PRCS) di Kaherah.
  • Sebelum ini, sejumlah 100 tan bantuan kemanusiaan dari Malaysia bernilai RM5.6 juta (USD1.2 juta) tiba di Lapangan Terbang El-Arish, Mesir pada November dan Disember 2023.

KUALA LUMPUR – Tiga Ahli Parlimen dan seorang Ahli Dewan Negara mewakili pelbagai parti politik dari Malaysia dijadual melawat sempadan Rafah-Gaza dalam masa terdekat sebagai tanda solidariti kepada Palestin.

Lawatan ke lintasan sempadan Rafah itu, yang menjadi tempat penyaluran bantuan kemanusiaan Malaysia melalui Ops Ihsan membabitkan kerjasama rapat dengan kerajaan Mesir, antara acara dijadualkan bagi delegasi Malaysia diketuai Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin.

Wisma Putra berkata Ahli Parlimen dari pelbagai parti politik itu adalah Syed Ibrahim Syed Noh (Ledang/PKR), Ahmad Tarmizi Sulaiman (Sik/PAS), Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy (Kalabakan/UMNO) dan Senator Datuk Wira Dr Mohd Hattta Md Ramli (Amanah).

Delegasi Malaysia yang berlepas ke Mesir semalam hingga Sabtu ini juga dijadualkan bertemu Timbalan Menteri Luar Mesir, Hamdi Loza, Ketua Pegawai Eksekutif Bulan Sabit Merah Mesir (ERC), Dr Rami Al Nazer dan melawat ke hospital seliaan Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin (PRCS) di Kaherah.

“Intipati perbincangan adalah mengenai kerjasama Malaysia untuk membantu rakyat Palestin di Gaza termasuk yang memerlukan rawatan perubatan di Mesir.

“Acara simbolik penyerahan sumbangan rakyat Malaysia akan diberikan kepada ERC dan PRCS dengan masing-masing berjumlah USD250,000 dan USD500,000,” kata Wisma Putra dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Wisma Putra berkata sejumlah 100 tan bantuan kemanusiaan bernilai RM5.6 juta (USD1.2 juta) tiba di Lapangan Terbang El-Arish, Mesir pada November dan Disember 2023. 

Katanya, barangan dihantar itu merangkumi ubat-ubatan, peralatan perubatan, makanan dan bekalan musim sejuk (selimut, khemah dan pakaian). 

“Bantuan kemanusiaan ini berjaya dilaksanakan dengan sumbangan rakyat Malaysia kepada Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP),” kata Wisma Putra. – The Merdeka Times

Author

Kolumnis

Bukankah sambut hari raya Aidilfitri sehari sahaja, bukan sebulan?

SEAKAN menjadi adat tradisi di Malaysia, Hari Raya Aidilfitri amat sinonim dengan ‘perayaan sebulan’ di mana ia akan diraikan selama sebulan setelah sebulan berpuasa pada bulan Ramadan.

Research And Development MRM

Published

on

Foto: Gambar sekadar hiasan.

SEAKAN menjadi adat tradisi di Malaysia, Hari Raya Aidilfitri amat sinonim dengan ‘perayaan sebulan’ di mana ia akan diraikan selama sebulan setelah sebulan berpuasa pada bulan Ramadan.

Ia merupakan musim perayaan yang sangat dinantikan dan dirai penuh kegembiraan di mana waktu ini digunakan untuk menziarahi ke rumah keluarga dan rakan-rakan bagi merapatkan lagi hubungan silaturrahim.

Selama sebulan juga, terutamanya masyarakat Melayu Muslim, rumah-rumah mereka akan ‘dibuka’ dengan menghidangkan pelbagai juadah dan rumah dihias cantik untuk menyambut tetamu yang datang.

Namun, persoalan yang sering timbul adalah ‘Adakah tradisi ‘raya sebulan’ ini bertepatan dengan syariat Islam? Bukankah Islam hanya menganjurkan sehari sahaja dalam menyambut Aidilfitri, bukannya sebulan?’

Menariknya, persoalan ini telahpun dijawab menerusi artikel ‘Irsyad Al-Fatwa Siri Ke-684: Bolehkah Menyambut Hari Raya selama Sebulan Syawal’ dan ‘Al-Kafi #1296: Sambut Hari Raya Sebulan itu Bid’ah?’ di laman sesawang rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

Artikel itu mengatakan sememangnya Hari Raya Aidilfitri yang disyariatkan hanyalah pada satu Syawal. Ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW ketika baginda tiba di Madinah, penduduk Madinah menyambut dua perayaan. Lalu Baginda SAW bersabda,

“Sesungguhnya Allah telah menggantikan kepada kamu dua hari yang terbaik iaitu Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha.” (Riwayat Ahmad, No. 12362)

Ini bermakna, hanya dua perayaan disyariatkan bagi umat Islam untuk dirayakan atas perintah Allah SWT.

Namun, apakah membezakan hari raya yang disyariatkan dengan hari-hari lain? Bezanya adalah pada amalan ibadat yang khusus diperintahkan untuk dilakukan pada hari tersebut.

Sebagai contoh, Hari Raya Aidilfitri disyariatkan melakukan ibadah solat hari raya, menunaikan zakat fitrah dan takbir yang hanya berlaku pada satu Syawal. Bahkan, pada hari tersebut umat Islam diharamkan berpuasa.

Dan sesudah hari tersebut tidak disyariatkan dengan apa-apa amalan ibadat khusus. Tiada lagi ibadat seperti solat sunat, mandi sunat dan takbir hari raya.

Maka, amalan ziarah-menziarahi sanak saudara bukanlah satu amalan ibadat yang dikhususkan dalam perayaan Aidilfitri. Ia hanyalah suatu tradisi yang baik dan diharuskan dalam Islam.

Mengikut Pejabat Mufti WP, mana-mana adat tradisi yang tidak bertentangan dengan nas-nas syarak, maka hukum asalnya adalah harus. Dalam kaedah Fiqh disebutkan:

“Asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut)” (Al-Asyhbah wa al-Nazoir, ms. 60)

Bahkan tiada sesiapa pun mengikat amalan seperti ziarah-menziarahi, bermaafan, menjamu makan dan seumpamanya hanya mesti diadakan pada hari raya.

Ia sekadar tradisi diamalkan demi mengambil keberkatan bulan Syawal yang mulia.

Kesimpulannya, hari raya Aidilfitri yang disyariatkan sememangnya pada satu Syawal. Namun, tiada masalah untuk menyambut hari raya dengan melakukan ziarah-menziarahi sepanjang Syawal kerana ia merupakan kebiasaan yang baik dan ia diharuskan dalam Islam.

Malah, dalam satu hadis Rasulullah SAW pernah menceritakan betapa cintanya Allah SWT kepada mereka yang menziarahi orang lain. Sabdanya

“Seorang lelaki menziarahi saudaranya di satu perkampungan yang lain. Lalu Allah menghantar malaikat untuk berada di jalan ke kampung yang ingin dia tuju. Apabila lelaki itu sudah mendekat, malaikat itu bertanya: Ke manakah engkau mahu pergi? Jawab lelaki itu: Aku mahu menziarahi saudaraku yang ada di kampung ini. Malaikat berkata: Adakah engkau ada harta yang ingin diberikan kepadanya? Lelaki itu berkata: Tidak. Sesungguhnya aku mencintainya kerana Allah. Malaikat itu berkata: Sesungguhnya aku adalah utusan Allah yang dihantar kepada engkau. Allah mencintai engkau sebagaimana engkau mencintai saudara engkau itu.” (Riwayat Muslim, No. 6714) –The Merdeka Times

Penafian: Artikel yang disiarkan The Merdeka Times ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak semestinya menggambarkan pendirian Editorial The Merdeka Times dalam isu yang dikupas.

Author

Teruskan Membaca

Kata Kunci

Trending