Connect with us

Terkini

Solidariti bersama Palestin, PPMM dan NGO lain hadir ke ICJ

Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) dengan kerjasama I-Qanun dan Gabungan Solidariti Pembebasan Palestin (GSPP) hadir ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di The Hague, Belanda bagi mengikuti sesi perbicaraan status pendudukan secara haram rejim penjajah Israel di wilayah Palestin.

Hidayah Sani

Published

on

Foto: Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) dengan kerjasama I-Qanun dan Gabungan Solidariti Pembebasan Palestin (GSPP) di The Hague, Belanda.
  • Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) dengan kerjasama I-Qanun dan Gabungan Solidariti Pembebasan Palestin (GSPP) hadir ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di The Hague, Belanda bagi mengikuti sesi perbicaraan status pendudukan secara haram rejim penjajah Israel di wilayah Palestin.
  • Presiden PPMM, Muhamad Hisham Marzuki berkata pihaknya mencipta satu sejarah penting apabila dapat menghadiri sesi pembukaan pengucapan wakil Palestin secara fizikal pada hari perbicaraan.
  • “Antara perkara dinyatakan dalam ucapan pembukaan tersebut adalah berkenaan undang-undang yang boleh digunapakai dalam menentukan hak asasi manusia di peringkat antarabangsa bagi penduduk Palestin, status pendudukan haram Israel di Palestin, kezaliman Israel dengan tindakan diskriminasi melalui layanan secara apartheid, tindakan penculikan dan pembunuhan penduduk Palestin, hak mempertahan melalui self determination dan layanan hak wanita dan kanak-kanak Palestin,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

KUALA LUMPUR — Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) dengan kerjasama I-Qanun dan Gabungan Solidariti Pembebasan Palestin (GSPP) hadir ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di The Hague, Belanda bagi mengikuti sesi perbicaraan status pendudukan secara haram rejim penjajah Israel di wilayah Palestin.

Presiden PPMM, Muhamad Hisham Marzuki berkata pihaknya mencipta satu sejarah penting apabila dapat menghadiri sesi pembukaan pengucapan wakil Palestin secara fizikal pada hari perbicaraan.

Hisham berkata delegasi sembilan orang itu juga sempat masuk ke galeri bicara awam yang terhad dibuka kepada 10 kekosongan untuk orang awam.

“Antara perkara dinyatakan dalam ucapan pembukaan tersebut adalah berkenaan undang-undang yang boleh digunapakai dalam menentukan hak asasi manusia di peringkat antarabangsa bagi penduduk Palestin, status pendudukan haram Israel di Palestin, kezaliman Israel dengan tindakan diskriminasi melalui layanan secara apartheid, tindakan penculikan dan pembunuhan penduduk Palestin, hak mempertahan melalui self determination dan layanan hak wanita dan kanak-kanak Palestin.

“Kesimpulannya, melalui solidariti kepada rakyat Palestin ini menunjukkan undang-undang antarabangsa juga boleh menjadi usaha lain untuk memberi tekanan kepada rejim zionis Israel dan sekutu-sekutu rapat bahawa tindakan penindasan ini adalah suatu yang tidak dapat diterima norma manusia,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Foto : Delegasi ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa The Hague, Netherlands

Media sebelum ini melaporkan, ICJ akan mengadakan perbicaraan berhubung kesan undang-undang ke atas pendudukan haram Israel di wilayah Palestin sejak 1967, bermula semalam.

Menurut mahkamah tertinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa bersatu (PBB) itu, 52 negara dijangka memberikan keterangan buat pertama kalinya dalam sejarah.

Antaranya termasuk Amerika Syarikat (AS), Russia dan China dalam sesi selama seminggu di hadapan hakim di Istana Keamanan di The Hague, Belanda. — The Merdeka Times

Author

Kolumnis

Bukankah sambut hari raya Aidilfitri sehari sahaja, bukan sebulan?

SEAKAN menjadi adat tradisi di Malaysia, Hari Raya Aidilfitri amat sinonim dengan ‘perayaan sebulan’ di mana ia akan diraikan selama sebulan setelah sebulan berpuasa pada bulan Ramadan.

Research And Development MRM

Published

on

Foto: Gambar sekadar hiasan.

SEAKAN menjadi adat tradisi di Malaysia, Hari Raya Aidilfitri amat sinonim dengan ‘perayaan sebulan’ di mana ia akan diraikan selama sebulan setelah sebulan berpuasa pada bulan Ramadan.

Ia merupakan musim perayaan yang sangat dinantikan dan dirai penuh kegembiraan di mana waktu ini digunakan untuk menziarahi ke rumah keluarga dan rakan-rakan bagi merapatkan lagi hubungan silaturrahim.

Selama sebulan juga, terutamanya masyarakat Melayu Muslim, rumah-rumah mereka akan ‘dibuka’ dengan menghidangkan pelbagai juadah dan rumah dihias cantik untuk menyambut tetamu yang datang.

Namun, persoalan yang sering timbul adalah ‘Adakah tradisi ‘raya sebulan’ ini bertepatan dengan syariat Islam? Bukankah Islam hanya menganjurkan sehari sahaja dalam menyambut Aidilfitri, bukannya sebulan?’

Menariknya, persoalan ini telahpun dijawab menerusi artikel ‘Irsyad Al-Fatwa Siri Ke-684: Bolehkah Menyambut Hari Raya selama Sebulan Syawal’ dan ‘Al-Kafi #1296: Sambut Hari Raya Sebulan itu Bid’ah?’ di laman sesawang rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

Artikel itu mengatakan sememangnya Hari Raya Aidilfitri yang disyariatkan hanyalah pada satu Syawal. Ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW ketika baginda tiba di Madinah, penduduk Madinah menyambut dua perayaan. Lalu Baginda SAW bersabda,

“Sesungguhnya Allah telah menggantikan kepada kamu dua hari yang terbaik iaitu Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha.” (Riwayat Ahmad, No. 12362)

Ini bermakna, hanya dua perayaan disyariatkan bagi umat Islam untuk dirayakan atas perintah Allah SWT.

Namun, apakah membezakan hari raya yang disyariatkan dengan hari-hari lain? Bezanya adalah pada amalan ibadat yang khusus diperintahkan untuk dilakukan pada hari tersebut.

Sebagai contoh, Hari Raya Aidilfitri disyariatkan melakukan ibadah solat hari raya, menunaikan zakat fitrah dan takbir yang hanya berlaku pada satu Syawal. Bahkan, pada hari tersebut umat Islam diharamkan berpuasa.

Dan sesudah hari tersebut tidak disyariatkan dengan apa-apa amalan ibadat khusus. Tiada lagi ibadat seperti solat sunat, mandi sunat dan takbir hari raya.

Maka, amalan ziarah-menziarahi sanak saudara bukanlah satu amalan ibadat yang dikhususkan dalam perayaan Aidilfitri. Ia hanyalah suatu tradisi yang baik dan diharuskan dalam Islam.

Mengikut Pejabat Mufti WP, mana-mana adat tradisi yang tidak bertentangan dengan nas-nas syarak, maka hukum asalnya adalah harus. Dalam kaedah Fiqh disebutkan:

“Asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut)” (Al-Asyhbah wa al-Nazoir, ms. 60)

Bahkan tiada sesiapa pun mengikat amalan seperti ziarah-menziarahi, bermaafan, menjamu makan dan seumpamanya hanya mesti diadakan pada hari raya.

Ia sekadar tradisi diamalkan demi mengambil keberkatan bulan Syawal yang mulia.

Kesimpulannya, hari raya Aidilfitri yang disyariatkan sememangnya pada satu Syawal. Namun, tiada masalah untuk menyambut hari raya dengan melakukan ziarah-menziarahi sepanjang Syawal kerana ia merupakan kebiasaan yang baik dan ia diharuskan dalam Islam.

Malah, dalam satu hadis Rasulullah SAW pernah menceritakan betapa cintanya Allah SWT kepada mereka yang menziarahi orang lain. Sabdanya

“Seorang lelaki menziarahi saudaranya di satu perkampungan yang lain. Lalu Allah menghantar malaikat untuk berada di jalan ke kampung yang ingin dia tuju. Apabila lelaki itu sudah mendekat, malaikat itu bertanya: Ke manakah engkau mahu pergi? Jawab lelaki itu: Aku mahu menziarahi saudaraku yang ada di kampung ini. Malaikat berkata: Adakah engkau ada harta yang ingin diberikan kepadanya? Lelaki itu berkata: Tidak. Sesungguhnya aku mencintainya kerana Allah. Malaikat itu berkata: Sesungguhnya aku adalah utusan Allah yang dihantar kepada engkau. Allah mencintai engkau sebagaimana engkau mencintai saudara engkau itu.” (Riwayat Muslim, No. 6714) –The Merdeka Times

Penafian: Artikel yang disiarkan The Merdeka Times ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak semestinya menggambarkan pendirian Editorial The Merdeka Times dalam isu yang dikupas.

Author

Teruskan Membaca

Kata Kunci

Trending