Connect with us

Terkini

“Isu kampung baharu Cina sudah tutup”– Kor Ming

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming menyifatkan isu kampung baharu Cina sudah tutup dan beliau enggan memanjangkan lagi perkara tersebut.

Wartawan TMT

Published

on

Foto: Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.
  • Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming menyifatkan isu kampung baharu Cina sudah tutup dan beliau enggan memanjangkan lagi perkara tersebut.
  • “Janganlah…saya tahu, saya komen satu perkataan saja lari tajuk (tafsiran lari). Itu ‘story’ (isu) pun sudah tutup…kita ‘move on’, tak jadi isu pun… Tiada isu,” katanya.
  • Apabila sesebuah kawasan itu diiktiraf sebagai tapak warisan dunia, secara automatik penduduk yang menghuni kawasan itu akan dianggap orang asal dan segala aspek berkaitan pendidikan, budaya serta bahasa akan turut diperakukan. – Asyraf Wajdi
  • Pada Jun tahun lalu, Kor Ming pernah dilapor mencalonkan tujuh kampung baharu di Pulau Pinang, Selangor, Perak, Melaka dan Johor sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.

IPOH – Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming menyifatkan isu kampung baharu Cina sudah tutup dan beliau enggan memanjangkan lagi perkara tersebut.

Sewaktu diminta media untuk mengulas isu tersebut, Kor Ming kelihatan cuba mengelak daripada memberi sebarang jawapan kerana bimbang disalah tafsir mana-mana pihak.

“Janganlah…saya tahu, saya komen satu perkataan saja lari tajuk (tafsiran lari). Itu ‘story’ (isu) pun sudah tutup…kita ‘move on’, tak jadi isu pun… Tiada isu,” katanya.

Beliau ditemui media selepas merasmikan pembangunan landskap persekitaran kehidupan di Taman Woodlands, Bandar Baru Tambun di sini malam tadi.

Menteri itu sebelum ini mencadangkan pencalonan kampung baharu Cina di Selangor sebagai Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Cadangan itu bagaimanapun menurut Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi langsung tidak diketahui pihaknya berikutan beliau tidak pernah dihubungi oleh Kor Ming untuk berbincang mengenai isu pencalonan tersebut.

Malah beliau juga tidak tahu siapakah pemimpin UMNO yang didakwa sudah dihubungi Kor Ming berhubung perkara itu.

Ahmad Zahid menyatakan parti yang dipimpinnya tetap dengan pendirian menolak keras cadangan Kor Ming yang juga Naib Pengerusi DAP itu sebagaimana kenyataan rasmi dikeluarkan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki sebelum itu.

Asyraf Wajdi sebelum ini dilapor berkata, cadangan Kor Ming itu bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan yang mengiktiraf hanya Bumiputera sebagai penduduk asal dengan hak keistimewaan tertentu.

Katanya, ia memandangkan apabila sesebuah kawasan itu diiktiraf sebagai tapak warisan dunia, secara automatik penduduk yang menghuni kawasan itu akan dianggap orang asal dan segala aspek berkaitan pendidikan, budaya serta bahasa akan turut diperakukan.

Pada Jun tahun lalu, Kor Ming pernah dilapor mencalonkan tujuh kampung baharu di Pulau Pinang, Selangor, Perak, Melaka dan Johor sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO. – The Merdeka Times

Author

Kolumnis

Bukankah sambut hari raya Aidilfitri sehari sahaja, bukan sebulan?

SEAKAN menjadi adat tradisi di Malaysia, Hari Raya Aidilfitri amat sinonim dengan ‘perayaan sebulan’ di mana ia akan diraikan selama sebulan setelah sebulan berpuasa pada bulan Ramadan.

Research And Development MRM

Published

on

Foto: Gambar sekadar hiasan.

SEAKAN menjadi adat tradisi di Malaysia, Hari Raya Aidilfitri amat sinonim dengan ‘perayaan sebulan’ di mana ia akan diraikan selama sebulan setelah sebulan berpuasa pada bulan Ramadan.

Ia merupakan musim perayaan yang sangat dinantikan dan dirai penuh kegembiraan di mana waktu ini digunakan untuk menziarahi ke rumah keluarga dan rakan-rakan bagi merapatkan lagi hubungan silaturrahim.

Selama sebulan juga, terutamanya masyarakat Melayu Muslim, rumah-rumah mereka akan ‘dibuka’ dengan menghidangkan pelbagai juadah dan rumah dihias cantik untuk menyambut tetamu yang datang.

Namun, persoalan yang sering timbul adalah ‘Adakah tradisi ‘raya sebulan’ ini bertepatan dengan syariat Islam? Bukankah Islam hanya menganjurkan sehari sahaja dalam menyambut Aidilfitri, bukannya sebulan?’

Menariknya, persoalan ini telahpun dijawab menerusi artikel ‘Irsyad Al-Fatwa Siri Ke-684: Bolehkah Menyambut Hari Raya selama Sebulan Syawal’ dan ‘Al-Kafi #1296: Sambut Hari Raya Sebulan itu Bid’ah?’ di laman sesawang rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

Artikel itu mengatakan sememangnya Hari Raya Aidilfitri yang disyariatkan hanyalah pada satu Syawal. Ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW ketika baginda tiba di Madinah, penduduk Madinah menyambut dua perayaan. Lalu Baginda SAW bersabda,

“Sesungguhnya Allah telah menggantikan kepada kamu dua hari yang terbaik iaitu Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha.” (Riwayat Ahmad, No. 12362)

Ini bermakna, hanya dua perayaan disyariatkan bagi umat Islam untuk dirayakan atas perintah Allah SWT.

Namun, apakah membezakan hari raya yang disyariatkan dengan hari-hari lain? Bezanya adalah pada amalan ibadat yang khusus diperintahkan untuk dilakukan pada hari tersebut.

Sebagai contoh, Hari Raya Aidilfitri disyariatkan melakukan ibadah solat hari raya, menunaikan zakat fitrah dan takbir yang hanya berlaku pada satu Syawal. Bahkan, pada hari tersebut umat Islam diharamkan berpuasa.

Dan sesudah hari tersebut tidak disyariatkan dengan apa-apa amalan ibadat khusus. Tiada lagi ibadat seperti solat sunat, mandi sunat dan takbir hari raya.

Maka, amalan ziarah-menziarahi sanak saudara bukanlah satu amalan ibadat yang dikhususkan dalam perayaan Aidilfitri. Ia hanyalah suatu tradisi yang baik dan diharuskan dalam Islam.

Mengikut Pejabat Mufti WP, mana-mana adat tradisi yang tidak bertentangan dengan nas-nas syarak, maka hukum asalnya adalah harus. Dalam kaedah Fiqh disebutkan:

“Asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut)” (Al-Asyhbah wa al-Nazoir, ms. 60)

Bahkan tiada sesiapa pun mengikat amalan seperti ziarah-menziarahi, bermaafan, menjamu makan dan seumpamanya hanya mesti diadakan pada hari raya.

Ia sekadar tradisi diamalkan demi mengambil keberkatan bulan Syawal yang mulia.

Kesimpulannya, hari raya Aidilfitri yang disyariatkan sememangnya pada satu Syawal. Namun, tiada masalah untuk menyambut hari raya dengan melakukan ziarah-menziarahi sepanjang Syawal kerana ia merupakan kebiasaan yang baik dan ia diharuskan dalam Islam.

Malah, dalam satu hadis Rasulullah SAW pernah menceritakan betapa cintanya Allah SWT kepada mereka yang menziarahi orang lain. Sabdanya

“Seorang lelaki menziarahi saudaranya di satu perkampungan yang lain. Lalu Allah menghantar malaikat untuk berada di jalan ke kampung yang ingin dia tuju. Apabila lelaki itu sudah mendekat, malaikat itu bertanya: Ke manakah engkau mahu pergi? Jawab lelaki itu: Aku mahu menziarahi saudaraku yang ada di kampung ini. Malaikat berkata: Adakah engkau ada harta yang ingin diberikan kepadanya? Lelaki itu berkata: Tidak. Sesungguhnya aku mencintainya kerana Allah. Malaikat itu berkata: Sesungguhnya aku adalah utusan Allah yang dihantar kepada engkau. Allah mencintai engkau sebagaimana engkau mencintai saudara engkau itu.” (Riwayat Muslim, No. 6714) –The Merdeka Times

Penafian: Artikel yang disiarkan The Merdeka Times ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak semestinya menggambarkan pendirian Editorial The Merdeka Times dalam isu yang dikupas.

Author

Teruskan Membaca

Trending