Connect with us

Terkini

Hukuman penjara Najib dikurangkan kepada enam tahun, denda RM50 juta

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak diberikan pengurangan 50 peratus bagi hukuman penjara 12 tahun yang sedang dijalaninya sejak 2022, sekali gus menyaksikan beliau bakal dibebaskan pada 23 Ogos 2028.

Wartawan TMT

Published

on

Foto: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
  • Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak diberikan pengurangan 50 peratus bagi hukuman penjara 12 tahun yang sedang dijalaninya sejak 2022, sekali gus menyaksikan beliau bakal dibebaskan pada 23 Ogos 2028.
  • Urusetia Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri, juga mengumumkan denda perlu dibayar Najib dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.
  • “Namun, sekiranya denda tidak dibayar, tempoh penjara beliau akan ditambah selama setahun di mana tarikh pembebasan ialah pada 23 Ogos 2029,” katanya dipetik Berita Harian dalam satu kenyataan, hari ini.
  • Pada 28 Julai 2020, Hakim Mahkamah Tinggi (kini Hakim Mahkamah Rayuan) Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali, mendapati Najib bersalah atas tujuh pertuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

KUALA LUMPUR — Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak diberikan pengurangan 50 peratus bagi hukuman penjara 12 tahun yang sedang dijalaninya sejak 2022, sekali gus menyaksikan beliau bakal dibebaskan pada 23 Ogos 2028.

Urusetia Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri, juga mengumumkan denda perlu dibayar Najib dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Bagaimanapun, sekiranya denda itu tidak dibayar maka tempoh penjara bagi Najib akan ditambah setahun dengan tarikh pembebasan beliau dijadualkan pada 23 Ogos 2029.

“Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya Kali Ke-61 telah bersidang pada 29 Januari 2024.

“Lima kertas pengampunan, termasuk permohonan Datuk Seri Najib Razak telah dipertimbangkan oleh Lembaga Pengampunan itu yang dipengerusikan oleh Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (Yang di-Pertuan Agong ketika itu),” katanya dipetik Berita Harian dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut kenyataan itu, selepas mempertimbangkan pendapat dan nasihat, Mesyuarat Lembaga Pengampunan memutuskan Najib diberikan pengurangan 50 peratus bagi hukuman penjara dan pengurangan denda yang perlu dibayar.

“Oleh demikian, Datuk Seri Najib Razak dipersetujui untuk dibebaskan pada tarikh pembebasan awal, iaitu 23 Ogos 2028, dan denda perlu dibayar sebanyak RM210 juta dikurangkan kepada RM50 juta.

“Namun, sekiranya denda tidak dibayar, tempoh penjara beliau akan ditambah selama setahun di mana tarikh pembebasan ialah pada 23 Ogos 2029,” katanya.

Pada 28 Julai 2020, Hakim Mahkamah Tinggi (kini Hakim Mahkamah Rayuan) Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali, mendapati Najib bersalah atas tujuh pertuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Sehubungan itu, Mohd Nazlan menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atas Najib, serta keputusan tersebut dikekalkan Mahkamah Rayuan pada 8 Disember 2021 dan panel lima Hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, pada 23 Ogos 2022. — The Merdeka Times

Author

Terkini

Perundangan baharu kawal selia penerbitan kalimah ‘Allah’ sedang disediakan – KDN

Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang menyediakan perundangan baharu bagi mengawal selia penerbitan yang mengandungi kalimah “Allah” selaras dengan dasar diputuskan Majlis Raja-Raja.

Hidayah Sani

Published

on

Foto: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
  • Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata penggubalan perundangan baharu itu memerlukan penelitian mendalam dari pelbagai aspek sensitif melibatkan keselamatan negara, ketenteraman awam dan keharmonian agama di Malaysia.
  • “Dalam hal ini, KDN perlu melalui proses-proses libat urus dan kerjasama bersama pihak-pihak ditetapkan termasuk pihak JAKIM, Pihak Berkuasa Negeri-negeri, Kerajaan Negeri-negeri dan AGC dalam menyediakan perundangan baharu yang berkenaan sebelum dibentangkan kepada Jemaah Menteri, Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) dan Majlis Raja-Raja. 
  • “Tindakan dan proses ini sedang berjalan bagi mendapatkan satu keputusan yang dipersetujui,” katanya menerusi jawapan bertulis di Parlimen pada Isnin.
  • Beliau menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Mumtaz Md Nawi yang meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan mengapa Kerajaan belum mengumumkan status dan kesan penggunaan terkini mengenai empat kalimah suci orang Islam iaitu lafaz Allah, solat, Kaabah dan Baitullah sedangkan kes melibatkan nama Allah kian meningkat.

KUALA LUMPUR — Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang menyediakan perundangan baharu bagi mengawal selia penerbitan yang mengandungi kalimah “Allah” selaras dengan dasar diputuskan Majlis Raja-Raja.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata penggubalan perundangan baharu itu memerlukan penelitian mendalam dari pelbagai aspek sensitif melibatkan keselamatan negara, ketenteraman awam dan keharmonian agama di Malaysia.

“Dalam hal ini, KDN perlu melalui proses-proses libat urus dan kerjasama bersama pihak-pihak ditetapkan termasuk pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Pihak Berkuasa Negeri-negeri, Kerajaan Negeri-negeri dan Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam menyediakan perundangan baharu yang berkenaan sebelum dibentangkan kepada Jemaah Menteri, Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) dan Majlis Raja-Raja. 

“Tindakan dan proses ini sedang berjalan bagi mendapatkan satu keputusan yang dipersetujui,” katanya menerusi jawapan bertulis di Parlimen pada Isnin.

Beliau menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Mumtaz Md Nawi yang meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan mengapa Kerajaan belum mengumumkan status dan kesan penggunaan terkini mengenai empat kalimah suci orang Islam iaitu lafaz Allah, solat, Kaabah dan Baitullah sedangkan kes melibatkan nama Allah kian meningkat.

Pada 23 Oktober 2023,  media melaporkan garis panduan baharu mengenai Arahan Pentadbiran KDN berkaitan penggunaan kalimah Allah akan diteliti dan diputuskan pada mesyuarat Majlis Raja-Raja pada minggu terbabit.

Saifuddin dilaporkan mengatakan cadangan garis panduan itu sudah dikemukakan kepada MKI selepas selesai lima sesi libat urus diadakan sebelum ini.

Katanya, KDN akan mengambil panduan hasil mesyuarat Majlis Raja-Raja itu untuk mengadakan garis panduan baharu bagi isu penggunaan kalimah Allah.

KDN sebelum ini mengadakan sesi libat urus dengan pelbagai pihak, termasuk AGC, Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, JAKIM, Majlis Profesor Malaysia dan Persatuan-persatuan Peguam Muslim Syarie Malaysia.

Ia susulan KDN dan kerajaan Malaysia pada 15 Mei 2023 dilaporkan menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah ‘Allah’ dan tiga perkataan Arab yang lain dalam penerbitan bahan agama mereka bagi tujuan pembelajaran.

Keputusan Mahkamah Tinggi itu dibuat pada 10 Mac 2021 selepas membenarkan permohonan semakan kehakiman seorang wanita beragama Kristian, Jill Ireland Lawrence Bill yang memohon perisytiharan mengenai hak perlembagaannya berhubung penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan agama berkenaan. 

Memetik BERNAMA, Jill Ireland dilaporkan memohon semakan kehakiman pada 20 Ogos 2008 supaya dikembalikan lapan cakera padat (CD) dengan tajuk mengandungi kalimah ‘Allah’ yang dirampas daripadanya pada 11 Mei 2008 dan perisytiharan mengenai hak perlembagaannya berhubung penggunaan kalimah itu dalam penerbitan Kristian.

Mahkamah pada 2014 memerintahkan CD itu dipulangkan dan setelah melalui beberapa proses, memutuskan arahan KDN pada 1986 untuk tidak membenarkan penggunaan empat perkataan itu menyalahi undang-undang dan tidak rasional. — The Merdeka Times

Sokong TMT media berani, benar & bebas di https://support.themerdekatimes.com/

Author

Teruskan Membaca

Kata Kunci

Trending