Connect with us

Terkini

Aman Palestin siapkan tiga projek mega di Syria dalam tempoh sekatan akaun

Aman Palestin berjaya menyiapkan tiga projek pembangunan keperluan asas dan komuniti di Syria walaupun berdepan kekangan akibat akaunnya disekat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atas dakwaan penyelewengan dana awam.

Wartawan TMT

Published

on

Foto: Gambar Sekadar Hiasan.
  • Aman Palestin berjaya menyiapkan tiga projek pembangunan keperluan asas dan komuniti di Syria walaupun berdepan kekangan akibat akaunnya disekat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atas dakwaan penyelewengan dana awam.
  • Aman Palestin dalam kenyataan hari ini mengatakan ketiga-tiga projek itu dibina di Al-Bab dan Jarablus, Syria dengan peruntukan USD1,048,612 (RM5.028 juta) yang akan memberi manfaat kepada puluhan ribu masyarakat di kawasan tersebut.
  • Biarpun projek itu berjaya disiapkan, Aman Palestin masih perlu menjelaskan hutang sekitar RM1.918 juta dan menggesa sekatan ke atas akaunnya dapat dihentikan untuk menyempurnakan transaksi tersebut.

KUALA LUMPUR – Aman Palestin berjaya menyiapkan tiga projek pembangunan keperluan asas dan komuniti di Syria walaupun berdepan kekangan akibat akaunnya disekat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atas dakwaan penyelewengan dana awam.

Aman Palestin dalam kenyataan hari ini mengatakan ketiga-tiga projek itu dibina di Al-Bab dan Jarablus, Syria dengan peruntukan USD1,048,612 (RM5.028 juta) yang akan memberi manfaat kepada puluhan ribu masyarakat di kawasan tersebut.

Foto : Projek saluran air.

“Projek yang didirikan antaranya Projek Saluran Air Bersih dari Sungai Furat ke Perkampungan Ataa, Jarablus dengan jangka masa projek selama 15 bulan membabitkan kos USD659,000 (RM3.16 juta).

Foto: Masjid Ghafur.

”Pembinaan Masjid Al-Ghafour, Al-Bab dengan jangka masa pembinaan selama 7 bulan membabitkan kos USD130,000 (RM623,000).

Foto: Pusat Komuniti.

“Projek Pusat Komuniti Perkampungan Ataa, Jarablus dengan jangka masa pembinaan selama 18 bulan, membabitkan kos sebanyak USD259,612 (RM1.24 juta),” katanya di sini hari ini.

Biarpun projek itu berjaya disiapkan dan berakhir sekitar November dan Disember tahun lalu, Aman Palestin masih perlu menjelaskan hutang sekitar RM1.918 juta untuk menyempurnakan transaksi projek tersebut.

“Walaupun projek mega Aman Palestin ini telah berjaya disiapkan, Aman Palestin masih mempunyai hutang perlu dilunaskan sebanyak USD 400,000 (RM1.918 juta) untuk projek saluran air bersih berikutan akaun Aman Palestin yang disekat dan tidak mampu membayar hutang tersebut.

“Pembinaan projek-projek ini jelas tujuannya untuk memberikan kemudahan dan keselesaan kepada penduduk di sekitar Jarablus dan Al-Bab serta memberikan perkembangan yang terbaik dalam taraf hidup masyarakat di sana. 

“Dengan projek ini, Aman Palestin meletakkan harapan agar para penduduk yang mendapat manfaat dapat menggunakan kemudahan dengan sebaiknya demi kelangsungan hidup yang lebih baik.

“Dalam masa yang sama, Aman Palestin menggesa agar akaun Aman Palestin dapat dinyahbekukan dengan segera berikutan ramai lagi saudara kita di Palestin, Syria dan Yaman yang ketika ini amat memerlukan bantuan daripada kita untuk terus hidup,” kata NGO itu. – The Merdeka Times

Author

Kolumnis

Bukankah sambut hari raya Aidilfitri sehari sahaja, bukan sebulan?

SEAKAN menjadi adat tradisi di Malaysia, Hari Raya Aidilfitri amat sinonim dengan ‘perayaan sebulan’ di mana ia akan diraikan selama sebulan setelah sebulan berpuasa pada bulan Ramadan.

Research And Development MRM

Published

on

Foto: Gambar sekadar hiasan.

SEAKAN menjadi adat tradisi di Malaysia, Hari Raya Aidilfitri amat sinonim dengan ‘perayaan sebulan’ di mana ia akan diraikan selama sebulan setelah sebulan berpuasa pada bulan Ramadan.

Ia merupakan musim perayaan yang sangat dinantikan dan dirai penuh kegembiraan di mana waktu ini digunakan untuk menziarahi ke rumah keluarga dan rakan-rakan bagi merapatkan lagi hubungan silaturrahim.

Selama sebulan juga, terutamanya masyarakat Melayu Muslim, rumah-rumah mereka akan ‘dibuka’ dengan menghidangkan pelbagai juadah dan rumah dihias cantik untuk menyambut tetamu yang datang.

Namun, persoalan yang sering timbul adalah ‘Adakah tradisi ‘raya sebulan’ ini bertepatan dengan syariat Islam? Bukankah Islam hanya menganjurkan sehari sahaja dalam menyambut Aidilfitri, bukannya sebulan?’

Menariknya, persoalan ini telahpun dijawab menerusi artikel ‘Irsyad Al-Fatwa Siri Ke-684: Bolehkah Menyambut Hari Raya selama Sebulan Syawal’ dan ‘Al-Kafi #1296: Sambut Hari Raya Sebulan itu Bid’ah?’ di laman sesawang rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

Artikel itu mengatakan sememangnya Hari Raya Aidilfitri yang disyariatkan hanyalah pada satu Syawal. Ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW ketika baginda tiba di Madinah, penduduk Madinah menyambut dua perayaan. Lalu Baginda SAW bersabda,

“Sesungguhnya Allah telah menggantikan kepada kamu dua hari yang terbaik iaitu Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha.” (Riwayat Ahmad, No. 12362)

Ini bermakna, hanya dua perayaan disyariatkan bagi umat Islam untuk dirayakan atas perintah Allah SWT.

Namun, apakah membezakan hari raya yang disyariatkan dengan hari-hari lain? Bezanya adalah pada amalan ibadat yang khusus diperintahkan untuk dilakukan pada hari tersebut.

Sebagai contoh, Hari Raya Aidilfitri disyariatkan melakukan ibadah solat hari raya, menunaikan zakat fitrah dan takbir yang hanya berlaku pada satu Syawal. Bahkan, pada hari tersebut umat Islam diharamkan berpuasa.

Dan sesudah hari tersebut tidak disyariatkan dengan apa-apa amalan ibadat khusus. Tiada lagi ibadat seperti solat sunat, mandi sunat dan takbir hari raya.

Maka, amalan ziarah-menziarahi sanak saudara bukanlah satu amalan ibadat yang dikhususkan dalam perayaan Aidilfitri. Ia hanyalah suatu tradisi yang baik dan diharuskan dalam Islam.

Mengikut Pejabat Mufti WP, mana-mana adat tradisi yang tidak bertentangan dengan nas-nas syarak, maka hukum asalnya adalah harus. Dalam kaedah Fiqh disebutkan:

“Asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut)” (Al-Asyhbah wa al-Nazoir, ms. 60)

Bahkan tiada sesiapa pun mengikat amalan seperti ziarah-menziarahi, bermaafan, menjamu makan dan seumpamanya hanya mesti diadakan pada hari raya.

Ia sekadar tradisi diamalkan demi mengambil keberkatan bulan Syawal yang mulia.

Kesimpulannya, hari raya Aidilfitri yang disyariatkan sememangnya pada satu Syawal. Namun, tiada masalah untuk menyambut hari raya dengan melakukan ziarah-menziarahi sepanjang Syawal kerana ia merupakan kebiasaan yang baik dan ia diharuskan dalam Islam.

Malah, dalam satu hadis Rasulullah SAW pernah menceritakan betapa cintanya Allah SWT kepada mereka yang menziarahi orang lain. Sabdanya

“Seorang lelaki menziarahi saudaranya di satu perkampungan yang lain. Lalu Allah menghantar malaikat untuk berada di jalan ke kampung yang ingin dia tuju. Apabila lelaki itu sudah mendekat, malaikat itu bertanya: Ke manakah engkau mahu pergi? Jawab lelaki itu: Aku mahu menziarahi saudaraku yang ada di kampung ini. Malaikat berkata: Adakah engkau ada harta yang ingin diberikan kepadanya? Lelaki itu berkata: Tidak. Sesungguhnya aku mencintainya kerana Allah. Malaikat itu berkata: Sesungguhnya aku adalah utusan Allah yang dihantar kepada engkau. Allah mencintai engkau sebagaimana engkau mencintai saudara engkau itu.” (Riwayat Muslim, No. 6714) –The Merdeka Times

Penafian: Artikel yang disiarkan The Merdeka Times ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak semestinya menggambarkan pendirian Editorial The Merdeka Times dalam isu yang dikupas.

Author

Teruskan Membaca

Kata Kunci

Trending